DAP mendedahkan dokumen yang didakwa membuktikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar terlibat dalam satu perusahaan kolam ternakan udang di Tanjung Karang, Selangor.
ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim hari ini menunjukkan satu salinan akuan sumpah bertarikh 11 Januari 2011 dan satu dokumen permohonan kaveat bertarikh sama ke atas tanah yang disewa syarikat itu daripada Noh Omar.
"Saya ada dokumen Syarikat Pristine Agrofood yang dalam akuan sumpahnya menyatakan syarikatnya ada usaha sama dengan Noh bin Omar.
"Surat kaveat yang saya ada, syarikat ini (juga) bersetuju mengusahakan tanah itu bersama Noh Omar.
"Ini (adalah) usaha sama. Beliau tak nafikan akuan sumpah ini," kata Ng selepas mengetuai satu demonstrasi di hadapan tapak projek tersebut pagi ini.
Menurut Ng, kaveat berkenaan bertujuan untuk menghalang Noh daripada menjual tanah berkenaan selama perjanjian itu berkuatkuasa.
Ng mendakwa surat akuan sumpah itu membuktikan Noh Omar terlibat dalam projek itu lebih daripada sebagai pemilik tanah yang menyewakan tanahnya.
"Syarikat tersebut telah bersetuju mengusahakan hartanah bersama dengan Noh bin Omar [nombor kad pengenalan dan alamat disertakan] dengan jaminan harga sekurang-kurangnya RM25,200 sahaja setahun. Sesalinan perjanjian usahasama bertarikh 5 Januari 2011 dilampirkan di sini," surat itu dipetik.
Katanya, "usahasama" yang disebut dalam dokumen itu menimbulkan "keraguan yang munasabah" dan definisi istilah itu juga sangat luas.
"Jadi kita mahu pihak berkuasa siasat. Sama ada (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak), polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.
Beliau memberi contoh, seorang menteri perumahan boleh membeli rumah tetapi menteri berkenaan tidak boleh terlibat dalam mana-mana syarikat perumahan.
Justeru, prinsip yang sama katanya diguna pakai dalam kes projek udang yang membabitkan Noh Omar, katanya.
"Noh Omar boleh makan udang termasuk otak udangnya tetapi dia tak boleh ternak udang. Ini salah guna kuasa.
"Orang yg kononnya nak jadi menteri besar Selangor ini wajib tampil ke depan dan jawab (dakwaan ini)," kata Ng lagi.
Pengarah syarikat Pristine Agrofood, Chu Bak Teck ketika dihubungi hari ini menegaskan sekali lagi bahawa Noh Omar hanyalah tuan tanah dan tidak terlibat dalam operasi kolam udang itu.
Lindungi kepentingan
Chu juga mengakui bahawa beliau menggunakan istilah "usahasama" dalam surat tersebut, namun beliau menjelaskan bahawa tindakan itu hanyalah untuk melindungi kepentingan syarikatnya.
"Perjanjian itu sebenarnya satu perjanjian penyewaan, tapi kita tulis seperti satu perjanjian usahasama. Ini untuk melindungi kedua-dua pihak.
"Kita mahu ikat Noh Omar (kiri) , supaya dia tidak jual tanah ini dan menyebabkan kerugian kepada kita," katanya kepada Malaysiakini .
Noh pula pada 14 Julai lalu dilaporkan mengakui mempunyai pegangan dalam satu perniagaan penternakan udang di Tanjong Karang, dan menegaskan tidak ada salahnya berbuat demikian.
Akhbar Sin Chew Daily pada hari itu melaporkan, Noh mendakwa masih belum dilantik sebagai menteri ketika tanah seluas 30 ekar di Bagan Tengkorak itu dimilikinya.
Bagaimanapun, dua hari kemudian beliau menafikan mempunyai sebarang pegangan kewangan dalam projek penternakan udang di Tanjung Karang yang diuruskan oleh Pristine Agrofood Sdn Bhd.
"Pegangan" yang dimaksudkannya, seperti dilaporkan Sin Chew , jelas Noh, tidak lebih daripada bermaksud tanah yang dipajakkannya kepada syarikat.
Isu berhubung projek ternakan udang tersebut pertama kali dibangkitkan Ng ketika membentangkan satu usul di DUN Selangor bagi menyekat wakil rakyat Selangor dan ahli majlis di negeri tersebut daripada membeli tanah semasa tempoh khidmat mereka.
Malaysiakini sedang mendapatkan komen susulan daripada Noh.