Pencarian pingat emas pertama Malaysia dari temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik, mungkin berakhir pada Ahad ini selepas Datuk Lee Chong Wei menempah tiket ke acara akhir badminton perseorangan lelaki.
Chong Wei akan menghadapi musuh tradisi, Lin Dan dari China selepas pemain Malaysia itu menundukan seorang lagi pemain dari Tembok Besar, Chen Long 21-12, 21-10 dalam masa 54 minit pada pertemuan separuh akhir hari ini.
Sementara Lin Dan yang akan mempertahankan pingat emas dari edisi Beijing 2008, menjinakkan pemain Korea Selatan Lee Hyun Il, 21-12, 21-10 dalam masa 39 minit dalam satu lagi persaingan separuh akhir.
Pertemuan epik kedua-dua pemain handalan dunia pada final Ahad ini yang akan berlangsung di Arena Wembley pastinya mengulangi persaingan mereka di final di Beijing, empat tahun lepas.
Pada pertemuan tersebut, Chong Wei tewas 12-21, 8-21 kepada Lin Dan yang ketika itu bermain di laman sendiri.
Di lapangan memanah Lord's Cricket Ground, pemanah muda negara Khairul Anuar Mohamad gagal melangkah ke separuh akhir acara Recurve individu selepas tumpas 2-6 kepada pemanah Jepun Takaharu Furukawa pada saingan suku akhir.
Angin kencang di venue pertandingan menyebabkan konsentrasi Khairul Anuar terjejas sebelum tumpas kepada lawannya yang sudah beraksi sebanyak tiga kali dalam Sukan Olimpik.
Walaupun pemanah negara pulang dengan tangan kosong tetapi Khairul Anuar, yang memiliki ranking ke-20 dunia, telah menyamai pencapaian rakan sepasukan Cheng Chu Sian yang tersingkir pada peringkat suku akhir di Sukan Olimpik 2008 di Beijing.
Terdahulu, pada saingan penyingkiran di sebelah pagi, Khairul Anuar menumpaskan pemanah Britain Larry Godfrey 6-5 sebelum mara ke suku akhir.
Di Velodrome London, pelumba tunggal wanita negara dalam acara berbasikal trek, Fatehah Mustafa tersingkir awal selepas hanya menduduki tangga kelima daripada enam pelumba yang bersaing dalam sesi Saringan 2, acara keirin.
Hanya tiga pelumba di tangga teratas layak ke pusingan seterusnya.
Esok, hari kelapan temasya yang bermula pada Sabtu lepas, tumpuan pastinya terarah di Arena Wembley.
Beregu nombor lapan dunia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong akan cuba menjejaki langkah Chong Wei mara final bila mereka berdepan pilihan utama kejohanan, Cai Yun/Fu Haifeng dari China di peringkat separuh akhir.
Beregu negara yang terakhir mara ke separuh akhir Sukan Olimpik ialah Choong Tan Fook/Lee Wan Wah, pada edisi di Sydney, pada 2000.
Di Pusat Akuatik, Cheong Jun Hoong, Ng Yan Yee akan beraksi dalam acara separuh akhir wanita 3m papan anjal sementara pelumba yang digelar 'Pocketrocketman' Mohd Azizulhasni Awang akan memulakan cabaran dalam acara pecut lelaki.
Khairulnizam Mohd Afendy akan melengkapkan jadual pertandingan sukan pelayaran dalam acara Dinghy perseorangan di perairan Weymouth dan Portland.
- Bernama