"Saya sungguh kesal dan saya tidak akan buat lagi kerja yang sia-sia dan tidak bermanfaat begini."
Demikian luah Muhamad Hasyim Che Ngah yang pinjamannya ditamatkan Yayasan Terengganu (YT) selepas didapati menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, Mesir, tahun lepas.
Muhamad Hasyim, 21, pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Al-Azhar adalah antara sembilan anak Terengganu yang menerima nasib itu, dan hari ini beliau menemui Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bagi merayu agar pinjamannya disambung semula.
"Saya sebelum ini telah diluluskan pinjaman oleh YT sebanyak RM301,144. Daripada jumlah itu saya telah belanja sebanyak RM170,000 untuk yuran pengajian dan sara hidup," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.
Beliau yang datang bersama bapanya Che Ngah Abdullah, 57, berkata sejak pinjamannya ditamatkan pada Julai tahun lepas, tidak ada pihak lain yang tampil membantunya dalam meneruskan pengajian.
"Di sini saya merayu agar saya diberi peluang kedua dan pinjaman saya dikembalikan oleh yayasan. Saya berjanji tidak akan melakukan perkara yang sama pada masa depan dan saya berjanji untuk memberi tumpuan kepada pelajaran," katanya yang pulang bercuti selama dua bulan.
Mengulas perhimpunan tersebut, Muhamad Hasyim berkata beliau mengetahuinya menerusi rakan dan juga Internet beberapa hari sebelum perhimpunan berlangsung, selain diberitahu mengenai pemakaian baju-T berwarna kuning.
"Saya tidak membeli baju itu, sebaliknya diberi percuma oleh seorang rakyat Malaysia yang tidak dikenalinya.
"Pada hari kejadian 9 Julai tahun lepas, saya diajak dan dipengaruhi oleh beberapa rakan untuk memakai baju-T. Saya mengaku hadir ke perhimpunan itu tetapi tidak memakai dan tidak membawa baju berkenaan," katanya.
Muhamad Hasyim juga menyeru rakan dan pelajar lain agar tidak terlibat dengan perhimpunan seperti itu dan sebarang penganjuran aktiviti yang boleh merugikan diri sendiri serta keluarga.
Sementara itu menteri besar berkata keputusan rayuan Muhamad Hashim akan diketahui selepas mesyuarat Lembaga Pengarah pada September ini.
"Kita dah cakap awal-awal lagi pergi ke sana hanya untuk belajar. Jangan terlibat dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan merugikan pelajar," kata Ahmad.
Daripada sembilan pelajar terbabit, hanya Muhamad Hasyim membuat rayuan.
- Bernama