Sasterawan negara Datuk A Samad Said dan lima lagi anggota jawatankuasa penganjur BERSIH 2.0 memohon untuk menjadi pencelah dalam kes saman kerajaan ke atas 10 yang lain dalam jawatankuasa tersebut.
Lima lagi anggota tersebut merupakan Yeo Yang Poh, Hishamuddin Md Rais, Ahmad Syukri Che Razab, Subramaniam Pillay dan Liaw Kok Fah.
Kerajaan persekutuan pada 15 Mei memfailkan saman RM122,000 ke atas pengerusi bersama gabungan NGO itu, Datuk S Ambiga dan sembilan anggota jawatankuasanya atas kerosakan yang berlaku semasa perhimpuan BERSIH 3.0.
Samad yang juga pengerusi bersama BERSIH 2.0, tidak disertakan dalam saman berkenaan.
Seorang daripada 10 defendan yang dinamakan dalam saman tersebut, Haris Fathillah atau lebih dikenali sebagai aktivis dan penulis blog Haris Ibrahim, memohon untuk menggugurkan saman tersebut dengan alasan bahawa beliau bukan penganjur perhimpunan itu.
Hakim John Louis O' Hara menetapkan 10 Ogos untuk mendengar permohonan daripada pencelah berkenaan, dan tarikh sama untuk sebutan kes saman itu.