Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN " Ignorantia juris non excusat" dalam perundangan membawa makna " ignorance of the law is not an excuse" .

Beredar di Facebook dan Internet kini adalah ura-ura pengharaman buku Perempuan Nan Bercinta oleh Faisal Tehrani.

Malaysiakini bertarikh 6 Julai 2012 melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM sedang menimbangkan untuk mengharamkan novel yang baharu beberapa hari dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada tarikh yang sama dilaporkan, Datuk Seri Najib Razak ( bawah, kiri ) ketika melancarkan buku tersebut pada 3 Julai yang lalu menegaskan masyarakat penulis mempunyai kebebasan berkarya ketika merujuk kepada visi Syed Jamaluddin al Afghani.

Faisal Tehr NONE ani kemudiannya dalam laporan Malaysiakini pada 7 Julai 2012 menegaskan agar pegawai Jakim tidak menggunakan kuasa untuk menjawab bukunya.

Kalau menurut sejarah, kebanyakan buku yang diharamkan berdasarkan empat tema besar iaitu politik, seksual, agama dan sosial. Betapa peliknya sejarah, Gabenor Wilayah Hunan, China pada 1931 telah mengharamkan buku Alice In Wonderland atas alasan "binatang tidak sepatutnya menggunakan bahasa manusia" dan "adalah salah meletakkan haiwan sebaris dengan kedudukan manusia".

Dr Zhivago karangan Boris Pasternak yang diharamkan di Rusia sehingga 1988 kerana mengkritik Parti Bolshevik juga aneh. Agensi Perisikan Pusat (CIA) dikaitkan dengan cetak rompak versi bahasa Rusia ketika Pasternak mengumumkan penolakan Hadiah Nobel seminggu setelah menerima hadiah tersebut pada 1958.

Budaya haram lwn budaya hujah

Saya percaya Islam sebuah agama yang meraikan ilmu. Hanya di zaman Greek (pra-Islam) sahaja terdapat pembahagian antara ilmu pengetahuan ( knowledge ) dengan hikmah ( wisdom ).

Sayyid Wahid Akhtar dalam makalahnya The Islamic Concept of Knowledge menyatakan pihak yang melakukan pembahagian di antara pengetahuan dan hikmah terhadap epistemologi Islam meletakkan Islam kembali ke pemikiran purba seperti era Greek.

Menurutnya lagi, Islam adalah agama yang mengajak umatnya menggunapakai intelek dan ilmu untuk mencapai kebenaran.

Sebongkah Batu di Kuala Berang Namun menurut pemerhatian sekian ramai individu yang berkempen agar buku seperti Sebongkah Batu di Kuala Berang (kanan) mahupun Perempuan Nan Bercinta diharamkan tidak pun membaca buku-buku tersebut.

Inilah masalah akar kepada isu ini sebenarnya. Pertama, orang yang mengkritik dan berkempen ke arah usaha pengharaman ini sedikit pun tidak membaca buku dan mengambil tahu mengenai kandungan buku tersebut.

Kedua, hampir tiada usaha ilmiah dilakukan atas dasar tanggungjawab untuk menjawab buku yang dituduh menyesatkan ini. Ini sama sekali bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Saya fikir adalah lebih baik jika kita ubah budaya haram mengharam ini kepada budaya kritik. Bukankah kiranya menggunakan akal, intelek dan asas ilmu untuk membuat kritik dan hujah balas akan memberi nilai tambah yang lebih besar buat Ahlus Sunnah Wal Jamaah?

Raikan perbahasan ini di blog-blog, kritiklah sehingga ribuan kritikan sekalipun, terbitkan sehingga berpuluh buku hujah balas agar pemahaman masyarakat dapat diperkemas.

Kes ini serupa seperti menyalahkan negara China kerana membuat Radio Bible sedangkan negara kita sendiri ‘malas' untuk membuat ‘Radio Quran'.

Nyayian Rumi: 'Keldai sudah hilang'

Rumi dalam Matsnawi menceritakan bagaimana seorang pengembara yang bermalam di sebuah rumah sufi telah memberi kepercayaan kepada penjaga pintu rumah tersebut untuk menjaga keldainya.

Malangnya seorang ‘sufi' yang lain mengambil keldai pengembara tersebut, menjual dan seterusnya menjamu pengembara tersebut dengan makanan yang enak-enak.

azlan Pengembara tersebut setelah kekenyangan malah menari dan menyanyi mengikut rentak " khar biraft u khar biratf u khar biraft" yang bermaksud "keldai telah hilang, keldai telah hilang, keldai telah hilang".

Hanyalah di waktu pagi, ketika semua orang telah tiada pengembara tersebut menyedari makna nyanyian pada malam sebelumnya.

Dalam cerita tersebut, William C Chittick menyandarkan keldai membawa makna human lifetime . Lagu nyanyian pengembara yang diambil dari orang lain adalah ilmu pengetahuan dan maklumat yang diambil tanpa mengetahui kepentingannya sementara pagi memberi makna kematian, di mana roh bangun menemui realiti.

Rumi menggunakan cerita tersebut untuk membayangkan kesan buruk terhadap ‘taklid' atau ‘peniruan'. Chittick dalam makalahnya Rumi's Path Of Realization menegaskan ilmu melalui peniruan akan menyebabkan manusia dihalang dari menemui kebenaran.

Dalam konteks ini, tradisi memandang rendah kepada keupayaan akal dan fikiran manusia seperti ini adalah tradisi zaman medieval yang dipandu oleh feudalisme. Sudah sampai masanya masyarakat dipandu oleh budaya fikir melalui akal dan intelek tanpa ketakutan terhadap monopoli benda asing.

Dari satu sisi yang lain, penerapan asas yang kuat akan membantu seseorang berhadapan dengan idea baharu. Maka fokus utama yang perlu diberi perhatian Jakim adalah penekanan terhadap penerapan asas yang kuat berbanding penguatkuasaan.

Das Ding An Sich ' & gelanggang baharu

Dari sisi falsafah, M Said Marsaoly menegaskan pertanyaan serius yang selalu mendapat perhatian: dapatkan manusia mengetahui sesuatu seadanya?.

Filsuf Jerman, Immanuel Kant menyatakan manusia sebagai subjek yang mengetahui tidak mungkin mengetahui seadanya. Premis Kant, pengetahuan hanya dapat diperoleh dengan sintesis antara indera dan dua belas kategori dalam fikiran manusia.

Ketidakmampuan subjek manusia mengetahui ini dikaitkan dengan manusia yang sentiasa berada dalam ruang waktu. Kesimpulan Kant, "D as Ding An Sich" , tidak terjangkau akal murni, hanya diterima oleh akal praktis kemudiannya menjadi model epistemologi.

NONE Malangnya persoalan ini telah lama dijawab oleh Mulla Sadra yang hidup 152 tahun lebih awal dari Kant melalui teori pengetahuan ‘hudhuri'.

Knowledge by presence' Mulla Sadra menyatakan selagi manusia tidak mengetahui pengetahuan diri dan jahil tentang kehadiran dirinya pada dirinya sendiri, selagi itulah dia tidak akan dapat menangkap makna pengetahuan dengan kehadiran.

Dalam bahasa mudahnya, pengetahuan terhadap sesuatu adalah perkara yang mungkin, jika manusia berjaya mengetahui siapa dirinya yang sesungguhnya seterusnya berjaya mengetahui segala sesuatu sebagaimana hakikatnya.

Jika benar kedua buah buku Sebongkah Batu di Kuala Berang dan Perempuan Nan Bercinta diharamkan Jakim, ini bermakna Faisal Tehrani ( atas ) berjaya memberi nafas baharu buat dunia persuratan Melayu dengan memberi makna baharu terhadap ruang lingkup fiksyen dan ilmu.

Novel versi baharu seperti ini bukan sahaja fiksyen semata-mata tetapi mempunyai ‘pemberatan nilai' yang diragui oleh pihak berkuasa.

Tradisi sastera dan penulisan Sunni, terutamanya persuratan Melayu akan lebih mekar sekiranya Jakim merekrut 1,000 pemuda dalam bidang sastera Islami berbanding menguatkuasakan undang-undang dalam suatu masa yang terhad.

Sejarah pengharaman buku sebenarnya banyak memberi gambaran terhadap sejarah ketakutan sosial. Dari politik hingga moral, penapisan terhadap penulisan menunjukkan analisis singkat pihak berkuasa terhadap kebolehan masyarakat membuat tafsiran atau penghakiman.

Budaya penulisan sejak diperkenalkan mempunyai kapasiti untuk mencerahkan, membimbing, memberi hiburan ataupun menyinggung, kadangkala dalam satu masa.

Realiti ‘ sarcasm society ' kita, anak muda diraikan dengan budaya ‘pengharaman buku'. Buku dan ilmu tidak mendapat tempat yang selayaknya untuk anak muda.

Anak muda asyik dihadapkan dengan budaya baharu, budaya ‘K-Pop' dan ‘ ignorantia juris non excusat ' hanyalah retorik ketika budaya feudal ilmu masih menebal di kalangan intelektual.

Lebih-lebih lagi di dalam ‘ sarcasm society ', kita punyai ramai rausyanfikir jadi-jadian.

Rausyanfikir sebenar, Ali Syariati di dalam On The Plight Of Oppressed People (1980) menyatakan:

"Di waktu ini dan di masyarakat ini, kita benar-benar memerlukannya. Ia tidak seperti para pemikir, para filosof dan orang-orang lain yang hanya berfikir tanpa bertindak dan berjuang atau orang-orang yang biasa bertindak tanpa berfikir, hikmah dan ketakwaan.".


ZUL FIKRI ZAMIR MOHAMAD MUNIR felo penyelidik Artist For d'Oppressed (AfdO). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS