Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Menteri Sumber Manusia, Datuk Fong Chan Onn, hari ini menarik kenyataannya di Dewan Rakyat semalam yang menyebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, "tidak bersetuju" menetapkan upah minimum RM1,200 sebulan.

Fong mengeluarkan kenyataan itu dalam jawabannya kepada soalan wakil DAP, Teresa Kok Suh Sim, yang ingin mengetahui tarikh pelaksanaan dasar tersebut.

Dalam soalannya, Teresa menyebutkan bahawa dalam satu pertemuan dengan rombongan dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebelum pilihan raya umum lalu, Perdana Menteri pernah berjanji akan menetapkan kadar itu.

Wakil rakyat kawasan Seputeh itu memberitahu malaysiakini bahawa beliau menerima teks baru jawapan Fong hari ini.

"Saya terima jawapan bertulis tersebut pagi ini melalui kiriman faksimili," jelas Teresa.

Teks baru itu membuang ayat pada baris pertama, "YAB Perdana Menteri tidak menyatakan beliau tidak bersetuju" tetapi mengekalkan semua teks yang diedarkan semalam untuk anggota Dewan Rakyat dan media.

Teks jawaban lisan yang baru bermula dengan ayat pada baris kedua yang menyebutkan kesediaan kerajaan memberikan pertimbangan terhadap kadar gaji minimum yang disaran MTUC.

Apabila ditanya sebab-sebab pembetulan itu, Teresa berkata beliau tidak dimaklumkan tentang perkara itu. Beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada semua anggota dewan menerima jawaban baru daripada Fong itu.

Wakil pembangkang wanita itu bagaimanapu mengalu-alukan sikap kerajaan untuk menetapkan gaji minimum.

"Saya mengalu-alukan pertimbangan kerajaan dan berharap pindaan itu bukan hanya di atas kertas (jawapan) semata-mata tetapi kerajaan perlulah serius bagi menimbangkan kajian yang telah dijalankan oleh MTUC itu," kata Teresa.

Dua tahun lalu, ketika merasmikan mesyuarat agung MTUC, Dr Mahathir berkata pekerja sewajarnya mendapat gaji sekurang-kurangnya RM1,200.

"Saya berharap majikan tidak berasa takut apabila mereka mendengar (keputusan) ini. Kami tidak melaksanakan (kadar upah minimum) sekarang tetapi sedang menuju ke arah itu," kata Dr Mahathir, seperti dilaporkan Sunday Star pada 10 Ogos.

Kenyataan Perdana Menteri ini turut disiarkan oleh akhbar-akhbar utama lain.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS