Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Pendita Za'ba menegaskan bahawa satu sekte atau mazhab tidak dapat memberi kepuasan kepada seseorang Muslim kerana sebagai umat Islam kita harus dilatih melihat keluasan, bukan kesempitan ruang:

"Maka hanyalah orang-orang kemudian yang kurang pengenalan sahaja telah menyempitkan kawasan ini dengan menghukumkan tidak boleh berpindah-pindah dari satu mazhab kepada lain mazhab jika tidak diketahui semuanya kaedah-kaedah tiap-tiap mazhab itu sebagaimana ahli-ahlinya sendiri. Padahal kita dan kebanyakan orang alim kita pun, pengajian atau mazhab Shafi'i atau Hanafi sahaja pun tidak boleh terhabiskan seumur hidup. Sesungguhnya inilah pemandangan orang yang sempit hatinya, sempit fikirannya dan sempit kira-kira - orang yang tiada harapan boleh maju dan bersendiri dalam hal ehwal pengajian agamanya." (Za'ba, 2009: 147).

Za'ba selaku tokoh yang disebut-sebut oleh Mohd Affandi Hassan (2008: 103) sebagai ‘panduan lama' dalam hal menjadikan ‘seni untuk ilmu sebagai asas penulisan kreatif' para sasterawan.

Za'ba sebagai ‘panduan lama' ini tidak terlepas dari label yang bertujuan untuk memencilkannya. Za'ba dituduh sebagai ‘berfaham Muktazilah' dan karya-karyanya telah diharamkan di Perak dalam tahun 1930an (Mohd Asri Zainul Abidin, 2010: 290).

"Kira-kira pada pertengahan tahun 1930, maka kita dapati pula kitab Rahasia Ejaan Jawi yang diterbitkan oleh Malayan Publishing House, Singapura. Malangnya buku ini hanya tercetak baru separuh sahaja oleh kerana mendapat halangan dan tentangan dari Tuan OT Dussek yang pada waktu itu menjadi Pengetua Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Kira-kira pada waktu yang sama, maka terbitlah karya beliau yang berjudul Falsafah Takdir (Syaukat al Azali dalam Islam). Kitab ini terdiri dari kira-kira 300 halaman tetapi apabila baru sahaja sepertiga tercetak, maka Pejabat Agama Perak telah melarang penerbitannya, kononnya bertentangan dengan ajaran agama di Perak pada waktu itu. Pada tahun 1927, maka terbit pula sebuah lagi buah tangan beliau yang diberi nama Pendapatan Perbahasaan Ulama Berkenaan Dengan Kada dan Kadar yang terdiri kira-kira 60 halaman. Buku ini dicetak di Pulau Pinang tetapi dilarang keras di Perak kerana beliau kononnya telah dianggap membuat satu pembaharuan dalam ajaran Islam dan beliau telah dicap sebagai seorang kafir. Ini ialah semata-mata kerana beliau telah memasukkan aliran Muktazilah yang bertentangan dengan ajaran Mufti di negeri Perak pada masa itu" (Abdullah Hussain dan Khalid M. Hussain, 2000: 12).

Sebagai mangsa pelarangan karya, Za'ba tidak mengalah malah seperti yang disebut lebih awal, beliau menekankan; "orang-orang kemudian yang kurang pengenalan sahaja telah menyempitkan kawasan ini dengan menghukumkan tidak boleh berpindah-pindah dari satu mazhab kepada lain mazhab."

Hari ini, Dewan Bahasa dan Pustaka tanpa mengambil kira label kafir dan Muktazilah terhadap Za'ba telah menghargai karya-karya beliau kembali dan menerbitkannya semula dengan pakej baharu. Mohd Asri Zainul Abidin (2010: 387) menyatakan "Dewan Bahasa telah mengambil tanggungjawab yang betul dengan mencetaknya" kembali.

Saya percaya Dr Mohd Asri Zainul Abidin selaku bekas Mufti Perlis konsisten dalam bersikap, meskipun beliau ketika masih memimpin pihak berkuasa agama negeri Perlis telah mengirimi surat rasmi bertarikh 6 Februari 2008 kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya karya saya Ketupat Cinta dilarang dengan alasan "menggunakan pegangan dan fahaman Syiah mengenai sambutan Asyura" (Jimadie Shah Othman, 2008).

Sebenarnya bukan saya seorang sahaja yang cuba menegakkan idea supra mazhab atau heterosektual dalam persuratan ini. Seorang pengarang muda, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (2012) dalam tulisannya berjudul "Sastera Ilmi Sebagai Pemangkin Budaya Intelektualisme Dalam Peradaban Ummah: Satu renungan Awal" menyebutkan contoh-contoh ‘sastera Ilmi' yang boleh dijadikan pedoman.

Antara lain beliau merujuk Masnawi karya Jalaluddin Rumi, al-Jahiz dengan Kitab al Bukhala, Manteq-a-Tayr dan Tadhkirat al-Awliya oleh Farid al-Din Attar , Shah-namah oleh Firdwasi, dan Diwan oleh Hafiz Shirazi. Wan Ahmad Fayshal turut menyatakan di bawah subtopik ‘Sejarah dan Contoh Sastera Ilmi' bahawa pedoman ‘sastera falsafi' yang tidak harus dilupakan ialah Hayy ibn Yaqzan oleh Ibn Tufayl, dan paling menarik apabila beliau menyebutkan; "selain karya Ibn Tufayl, Rasa'il Ikhwan al-Safa turut memuatkan kisah falsafah dan sufi di dalamnya" (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, 2012:218-219).

Saya tidak percaya Wan Ahmad Fayhsal hanya pandai melakukan name droppings , sebagai intelek muda yang bercita-cita memperjuangkan kebaikan dan kebijaksanaan untuk ummah, mustahil beliau tidak mengetahui ‘Diwan oleh Hafiz Shirazi' itu adalah antara karya persuratan Syiah yang hebat.

Bahkan saya sendiri tidak sampai berani merujuk Shah-namah oleh Firdwasi kerana tepunya unsur-unsur Zoroastrianisme dalam karya tersebut (Azar Nafisi, 2004: xix). Selain itu beliau turut menyebut Rasa'il Ikhwan al-Safa yang merupakan karya besar intelektual Syiah dari sekte Ismailiyyah.

Harus diingatkan Ibu Taimiyyah yang menjadi rujukan golongan salaf hari ini menolak Rasa'il Ikhwan al-Safa kerana dianggap "doktrin yang menjadi sandaran Syiah Ismailiyyah ini bertentangan sama sekali dengan Islam" (Michot YJ, 2008).

Sehubungan dengan itu, saya ingin mengucapkan syabas kepada beliau atas keberanian di luar duga ini.

Beza besar saya dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ialah beliau sekadar mampu menyaran dan memetik karya-karya tersebut sebagai "contoh sastera ilmi" atau "sastera falsafi" (saya percaya beliau menulis contoh-contoh tersebut dalam keadaan tidak jahil dan sedar).

Sedangkan saya sebagai pengarang kreatif dan sarjana sastera bandingan berusaha keras untuk mempraktikkannya. Saya tidak puas sekadar bercontoh-contoh sahaja, saya juga tidak peduli dihunjam atas nama kebenaran; saya lebih suka mengamalkan sekelumit ilmu yang ada tersebut dan menerapkannya dalam karya-karya saya; jika tidak slogan hanya tinggal slogan retorik dan tentulah itu bukan jati diri seorang rausyanfikir yang genuine.

Adalah lebih mendukacitakan, lagi menyedihkan, seorang pengarang beragama Hindu boleh memahami, menghayati dan menghadami idea-idea supra mazhab dan rumus heterosektual ini berbanding pengarang-pengarang beragama Islam. Uthaya Sankar SB (2012) dalam tulisannya menyebutkan:

"Saya mengambil peluang mengenali ahlul bait yang sangat menarik dan amat sayang jika diabaikan semata-mata kerana perbezaan mazhab/politik."

Impian saya ialah untuk mendobrak tembok feudalisme dalam persuratan, satu dunia persuratan yang disarati ilmu; di mana pelbagai mazhab saling memanfaat dan menggembleng idea tokoh-tokoh mereka.

Sebuah dunia ‘bijak-membijaksanakan' yang digambarkan oleh Wan Mohd Nor Wan Daud (2006: xvii) sebagai ‘pohon meranti yang tegap-teguh' iaitu sebagai cerminan kepada sikap Presiden Republik Islam Iran Mohammad Khatami yang menghargai pemikiran sarjana berbeza mazhab lantas mengatakan, "saya masih ingat kata-kata pertama yang diucapkan oleh bekas Presiden Iran, Mohamad Khatami kepada Prof al-Attas apabila bekas presiden itu menjemputnya ke biliknya di Hotel Shangri La Kuala Lumpur pada petang sabtu 11 Feb 2006: Prof Al-Attas, kebijaksanaan anda telah memberi manfaat kepada kami di Iran".

Saya meyakini sepenuhnya ‘bijak-membijaksanakan' dan ‘manfaat memanfaatkan' yang dimaksudkan oleh Wan Mohd Nor Wan Daud ini tidak berlaku satu pihak tetapi merupakan lalu lintas ilmu yang saling bertemu demi berdepan gejala yang membengkokkan Islam yang lurus.

Saya berpendapat Wan Mohd Nor Wan Daud sebagai ilmuan yang berketokohan menyatakan hal di atas dengan ikhlas dan jujur meskipun dalam karya beliau yang berjudul Ayatullah Ruhullah Khomeini beberapa tahun sebelum , Wan Mohd Nor Wan Daud (2003) telah memperkecilkan sumbangan ulama besar Syiah dari Iran, iaitu Imam Khomeini.

Perluasan tasawur dalam bidang pendidikan yang dicadangkan oleh Syed Naguib al-Attas (1980: 42), bahawa " educational system throughout the Muslim world, must reflect not only the Sunni understanding of it, but also accomodate the Shi'i interpretation " kini boleh dikemukakan pula dalam bidang persuratan.

Hal ini dapat diakui, seperti yang disebutkan oleh Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri Malaysia ketika melancarkan 30 judul karya asli terbitan Institut Terjemahan dan Buku di Seri Perdana pada 3 Julai 2012 adalah sesuatu yang mesti kerana pemanfaatan ilmu dari pelbagai tamadun Islam akan membolehkan perluasan tasawur; "Penulis tempatan perlu memperluaskan tasawur dengan menerokai dunia untuk menimba ilmu yang boleh dikongsi bersama rakyat selain mencatat kesusasteraan dan perbukuan di luar sana" (Magendran Rajagopal, 2012).

Faham heterosektual atau idea supra mazhab ini tentu sahaja akan menjadikan ummah ‘meranti yang tegap-teguh', dan seperti yang telah terlihat pada tulisan Uthaya Sankar SB (2012) ia dapat mencerahkan saudara-saudara kaum bukan Islam juga.

Adalah suatu petaka apabila Dr Burhanuddin al Helmy, Ustaz Yusoff Zaki, Syed Hussein al-Atas, dan Pendita Za'ba tidak berkesempatan untuk memantap, mengukuh, merumus dan menggagaskan idea-idea di atas secara rapi, teratur, berkesan dan boleh diaplikasikan dalam gerakan persuratan.

Maka, mengambil kira pandangan dan idea murni tokoh-tokoh besar di atas, saya berasa terpanggil selaku seorang sarjana untuk menyahut seruan dan cabaran yang dikemukakan.

Sudah tentulah saya melakukannya dengan harapan, masyarakat sastera kita semakin bersedia kerana idea-idea tersebut telah pun berjalan selama beberapa dekad. Demi memandangkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga telah dengan berani membuka gelanggang, maka saya kira elok satu penggemblengan tenaga dan fikiran dilakukan segera untuk merumus, membentuk dan menggubah sejenis persuratan supra mazhab yang boleh dimanfaatkan oleh penganut Islam dan bukan Islam.

Saya percaya beberapa jurus pemikiran jika digerakkan kepada satu kesatuan akan menghasilkan kesepakatan dan manfaat yang lumayan.

Tentu sahaja acuan baharu ini akan menjadi satu natijah yang bermanfaat untuk masyarakat dan ummah, moga-moga gagasan tajam ini tidak ditumpulkan secara paksa oleh segelintir (meminjam ungkapan Za'ba) ‘orang yang sempit hatinya, sempit fikirannya dan sempit kira-kira'.

Bahagian pertama: 'Saat kita perlukan sergahan minda'


NONE DR MOHD FAIZAL MUSA atau nama penanya Faisal Tehrani bertugas sebagai felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

RUJUKAN:

Yusoff Zaki Yacob. 1986. ‘Masalah Pengasingan Sasterawan Melayu Dari Intelektualisme Islam'. Dlm. Ismail Hussein & Hamzah Hamdani (penyt.). Sastera dan Agama . Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Abdullah Taib. 1985. Asas-Asas Antropologi. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Uthaya Sankar SB. 2012. ‘ Perempuan Nan Bercinta '. The Malaysian Insider . 25 Jun.

Jimadie Shah Othman. 2008. ‘ Dr Asri Tuduh Faisal Berbohong '. Malaysiakini . 2 Jun.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. 2012. ‘Sastera Ilmi Sebagai Pemangkin Budaya Intelektualisme Dalam Peradaban Ummah: Satu renungan Awal'. Dlm. Mohamad Saleeh Rahamad et.al (pnyt.). Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran . Persatuan Penulis Nasional Malaysia: Kuala Lumpur.

Azar Nafisi. 2004. ‘Foreword'. Dlm. Abolqasem Ferdowsi. Shahnameh : The Persian Book of Kings. Terj. Davis D. Penguin Books: New York.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 2006. ‘Prakata'. Dlm. Khalif Muammar. Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal. Akademi Kajian Ketamadunan: Sungai Ramal Dalam.

Michot YJ. 2008. ‘Misled and Misleading Yet Central in Their Influence: Ibn Taymiyya's Views on the Ikhwan al-Safa'. Dlm. El-Bizri N (ed.). The Ikhwan al-Safa and their Rasa'il. Oxford University Press in Association & The Institute of Ismaili Studies: New York. 139-179.

Burhanuddin al-Helmi. 2005. Simposium Tasauf dan Tarikat Edisi Rumi. Pustaka Muda: Ipoh.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid. 2010. Islamic Education in Malaysia . RSIS Monograph No 18. S. Rajaratnam School of International Studies: Singapore.

Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas. 1979. ‘Preliminary Thoughts on the Nature of Knowledge and the Definition and Aims of Education'. Dlm. Syed Muhammad al-Naquib Al-Attas. (ed). Aims and Objectives of Islamic Education . Hodder and Stoughton for King Abdul Aziz University. Jeddah.

Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas. 1980. The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education . Muslim Youth Movement of Malaysia ABIM: Kuala Lumpur.

Syed Hussein al-Atas. 1979. Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah . Pustaka Nasional Pte Ltd: Singapura.

Magendran Rajagopal. 2012. ‘Perluas Tasawur: PM'. Berita Harian . 4 Julai. Hlm: 2.

Mohd Asri Zainul Abidin. 2010. Mengemudi Bahtera Perubahan Minda . Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd: Kuala lumpur.

Za'ba. 2009. Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat . Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Abdullah Hussain dan Khalid M. Hussain. 2000. Pendeta Za'ba Dalam Kenangan . Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Mohd Affandi Hassan. 2008. ‘Gagasan Persuratan Baru dan Cabaran Intelektual'. Dlm. Mohd Affandi Hassan, Ungku Maimunah Mohd Tahir, Mohd Zariat Rani. Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan. Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 2003. Mutiara Taman Adabi: Kumpulan Puisi Mengenai Agama, Filsafat dan Masyarakat . Dian Darulnaim: Kota Bharu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS