Most Read
Most Commented
Read more like this

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, yang mengaku bersalah menyebabkan "kecederaan ringan" kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini dijatuhkan hukuman dua bulan penjara dan denda RM2,000.

Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir, bagaimanapun membenarkan Rahim bebas dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu proses rayuan. Akhtar berkata mahkamah menerima hujah rayuan Rahim semalam untuk meringankan hukuman.

Kelihatan tenang sepanjang perbicaraan, Rahim yang berpakaian kot kelabu seperti semalam dengan segera membayar ikat jamin dan bergegas melalui tangga khas bagi mengelakkan wartawan dan orang ramai.

Peguam bela bekas polis itu, K. Kumaraendran menfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi pagi ini dan berkata pihaknya akan merayu "atas alasan bahawa hukuman itu tidak setimpal dengan khidmat yang beliau (Rahim) berikan untuk negara ini dan masyarakat."

Timbalan Pendakwaraya Salehuddin Saidin, bagaimanapun, berkata beliau akan merujuk Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah, sebelum mengambil keputusan untuk merayu terhadap hukuman tersebut.

Ketika menjatuhkan hukuman, Akhtar berkata "mahkamah tidak boleh mengenepikan kecederaan parah yang dialami oleh Anwar."

Sebagai reaksi segera terhadap hukuman itu, peguam bela Anwar, Karpal Singh, yang berada di luar mahkamah berkata bekas ketua polis itu menerima hukuman yang terlalu ringan walapun selepas membelasah bekas timbalan perdana menteri.

"Saya tidak berpuas hati dengan hukuman itu kerana begitu jelas tidak mencukupi," kata Karpal, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak Anwar, kepada wartawan di luar mahkamah.

Naib Presiden KeAdilan, Tian Chua, yang turut berada di tempat yang sama pagi ini, berkata proses itu mungkin sebagai satu 'cover-up'. "Pengakuan bersalah Rahim semalam kelihatan seperti satu perundingan dibuat antara Rahim dan Jabatan Peguam Negara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata hukuman itu akan menyebabkan rakyat Malaysia berfikir sesuatu yang silap sudah wujud dalam sistem keadilan di negara ini.

Kit Siang juga berhujah bahawa Anwar tidak dibenarkan ikat jamin sementara menunggu rayuan terhadap kesalahan rasuahnya sedangkan Rahim boleh bebas pagi ini selepas membayar ikat jamin.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS