WAWANCARA Walaupun diharamkan kerajaan sejak 26 tahun lalu, buku 'anti-hadis' didakwa tetap meninggalkan kesan secara perlahan-lahan, termasuk melibatkan jaringan ahli politik yang dikaitkan dengan dua bekas perdana menteri.
Malah, pelopornya Dr Kassim Ahmad berkata, atas keyakinan berada di pihak benar, lambat laun masyarakat akan menerima ideanya yang diungkap dalam Hadis: Satu Penilaian Semula yang diharamkan kerajaan.
"Dalam satu wawancara, saya katakan, (masa) akan datang, sepuluh tahun atau 15 tahun mereka akan berdamai dengan saya. Makna kata dia terpaksa menerima kehadiran saya dalam masyarakat ini.
"Saya fikir itu sudah berlaku," kata Dr Kassim - tokoh gerakan kiri selepas kemerdekaan, sebelum menyertai Umno pada 1986 - ketika diwawancara Malaysiakini dua minggu lalu di Kulim.
Pada waktu itu, katanya, hanya New Straits Times pimpinan tokoh wartawan Tan Sri A Samad Ismail memberikan ruang penjelasan kepadanya melalui wawancara oleh wartawan Adibah Amin.
Mengimbau kisah tiga dekat lalu, Dr Kassim membariskan tokoh politik yang didakwa terbuka menerima 'gagasan al-Quran' yang diperjuangkannya.
Hadis: Satu Penilaian Semula cubaan Dr Kassim membedah hadis secara kritikal, antaranya menolak pemahaman tradisi ahli hadis, mengkritik 'kelemahan' umum, kelemahan kritikan sanad serta mengetengahkan 'kontradiksinya' dengan Quran, sains dan sejarah.
Nafi cari perlindungan Umno
Buku mengumpulkan lima siri ceramah berkaitan di Jabatan antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mencetuskan pelbagai reaksi pada awalnya dan merancakkan perdebatan media dan dijawab oleh enam buah buku lain.
Walaupun banyak pemimpin Umno didakwa senang dengan karya itu - termasuk bekas orang nombor satu negara Tun Dr Mahathir Mohamad ( bawah ) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi - Kassim menafikan menyertai Umno demi perlindungan politik.
Ketika diajukan soalan itu, beliau kelihatan terkedu beberapa detik sebelum menjawab:
"Buku itu diharamkan dua bulan lepas keluar. Saya masuk Umno tahun 1986, sama (tahun) dengan saya keluar buku itu.
"Jadi, kalau nak kata saya masuk Umno untuk mencari perlindungan daripada kritikan, itu tak betullah, sebab (masanya) sama-sama," jelasya.
Dr Kassim - bekas presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSM) selama 18 tahun - menyertai Umno tidak lama selepas ceramahnya yang mengkritik hadis di Kangar.
Borang pendaftarannya diserahkan ke tangan Dr Mahathir sendiri pada 1986. Dr Kassim bagaimanapun keluar daripada parti nasionalis Melayu itu pada 1995 untuk memfokuskan kepada bidang penulisan.
Hubungannya dengan Dr Mahathir yang asalnya melalui surat menyurat berpanjangan apabila tokoh Umno itu sedia berbincang pandangan-pandangannya.
Dr Mahathir juga, kata Dr Kassim, menulis pengantar untuk memoirnya Mencari Jalan Pulang (2008) yang antara lain menyifatkannya tulisan itu perlu dibaca kerana merakamkan perjalanan intelektual yang bergelumang antara dunia kiri, konservatif dan Islam.
Mahathir gembira
Menurut Dr Kassim, selain Dr Mahathir dan Abdullah, beberapa bekas pemimpin tertinggi negara turut menunjukkan sikap yang sama, termasuk bekas menteri agama Tan Sri Dr Hamid Othman dan bekas naib presiden PAS yang menyertai Umno Nakhaie Ahmad.
Nakhaie ( bawah ) pemimpin PAS tertinggi menyertai musuh politiknya Umno. Beliau kemudiannya dilantik sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) selepas pilihan raya umum 1990 sehingga Mac 2010.
"Nakhaie dulu pengkritik saya yang kuat, empat atau lima tahun dulu. Kemudian lepas itu dia sudah terima konsep saya sampai sekarang," kata Kassim Malaysiakini dalam wawancara perpustakan kecil di rumahnya.
Dr Kassim berkata, antara semua tokoh itu, peranan Dr Mahathir - bekas musuh politik yang kemudian menjadi sahabatnya - agak berbeza apabila gembira dengan penerbitan Hadis: Satu Penilaian Semula, malah mencadangkan penambahbaikan sejak ia berbentuk manuskrip lagi.
"Dia (Dr Mahathir) telefon saya di rumah. Dia kata saya gembira ada orang menulis perkara macam ni," katanya sambil memberitahu perdana menteri paling lama itu juga menegur kesilapan nombor al-Quran yang dipetik.
Malah, tambah Dr Kassim, Dr Mahathir turut mencadangkan supaya buku itu diterbitkan dalam dua siri - antara hadis-hadis yang dikritik dan penjelasan - tetapi cadangan itu ditolaknya.
Sementara Abdullah - ketika itu menteri pertahanan - pula, menurut Dr Kassim bersikap lunak apabila bersetuju ia dibincangkan secara ilmiah, bertentangan dengan pendirian Pusat Islam pada masa itu.
"Pak Lah kata, kalau silap hangpa tegurlah," katanya merujuk kepada situasi di awal penerbitan apabila terdapat cadangan debat Kassim-Pusat Islam.
Hamid Othman sifatkan 'revolusi'
Dalam memoirnya Mencari Jalan Pulang , Kassim mendedahkan, Abdullah pada 18 Mac 1986 bersetuju bahawa hadis boleh diragui walaupun dalam masa sama menganggap pandangannya bersalahan dengan akidah Islam.
Sementara itu, mengulas tentang penerimaan allahyarham Hamid, Dr Kassim ( bawah ) berkata, bekas veteran Umno itu mengiktirafnya tindakannya sebagai "revolusi", seperti tesisnya berhubung keperwiraan Hang Jebat yang menggegarkan alam Melayu sebelum itu.
"Hamid kata, Kassim, you dulu buat revolusi pasal Hang Tuah, Hang Jebat. Sekarang you kena buat revolusi pasal al-Quran. Wallah (demi Allah) dia cakap macam itu pada saya!" kata tokoh pelbagai bidang, termasuk agama, politik dan budaya itu.
Disertasi Dr Kassim bertajuk Perwatakan Hang Tuah pada 1950-an di Universiti Malaya, Singapura mencabar persepsi tradisional Melayu bahawa Hang Tuah seorang hero.
Bagaimanapun, bercakap tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim, nada Kassim bertukar keras atas kepercayaannya bahawa ketua pembangkang itu berpakat dengan "ulama" bagi menekannya walaupun bersetuju "secara prinsip" di peringkat awal.
Sejak 1986, Dr Kassim bergerak melalui Jemaah al-Quran Malaysia bagi mempromosikan idea-ideanya. Tetapi apabila gagal didaftarkan, beliau menubuhkan kumpulan baru dinamakan Forum Iqra pada 2004.
Beliau kini mendapat tajaan seorang ahli perniagaan untuk menjelajah ke pelbagai tempat, termasuk Singapura dan Indonesia bagi berceramah dan bersoal jawab berhubung aliran rasionalis Islamnya itu.
Dalam masa terdekat beliau dijadual berdebat dengan ulama pondok beraliran Shah Waliullah yang terkenal dengan evolusi falsafah dalam Islam berhubung kiamat ekoran pandanganya bahawa peristiwa itu sekadar keadaan fikiran.
Esok: 'PM dibelenggu masalah rasuah dan pentadbiran'
Bahagian 1: Kassim Ahmad: Tarik larangan buku 'anti-Hadis'