Berkuatkuasa serta merta, stesen radio dan televisyen diminta menghentikan rancangan yang menyiarkan watak pondan, lelaki lembut yang bercanggah dengan norma masyarakat beragama.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan yang disiarkan di halaman Facebooknya.
Arahan itu berbunyi: "Berkuatkuasa serta merta, stesen radio dan televisyen diminta menghentikan rancangan yang menyiarkan watak pondan, lelaki lembut yang bercanggah dengan norma masyarakat beragama kerana dikatakan menyokong dan meningkatkan gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) ketika ini."
Pada 3 November, pihak berkuasa mengharamkan program Seksualiti Merdeka walaupun ia telah diadakan sejak beberapa tahun sebelumnya tanpa sebarang masalah.
Seksualiti Merdeka adalah festival tahunan yang meraikan hak asasi manusia rakyat pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina, yang dianjurkan oleh gabungan NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008. [Baca berita penuh]
Dalam perkembangan terkini, Jabatan Penerangan bagaimanapun menafikan mengeluarkan sebarang larangan sebaliknya hanya memetik status Radio Bernama 24 yang mengajak pembaca berbincang berhubung isu itu.
Penafian ini dikuatkan dengan penjelasan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Datuk Seri Rais Yatim bahawa tiada penerangan seumpamanya di laman Twitter beliau.
Kenyataan itu bagaimanapun bertentangan dengan pengesahan Timbalan Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Datuk Maglin Dennis D'Cruz kepada The Star hanya kira-kira sejam selepas penafian Jabatan Penerangan.