Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Air percuma di S'gor melalui program 'lapor dan dapat'
Diterbitkan:  Mar 17, 2012 10:34 AM
Dikemaskini: 9:55 AM

Penduduk pangsapuri kos rendah di Selangor yang menggunakan meter pukal hanya perlu melaporkan kepada COB mereka bilangan kediaman yang berpenghuni di pembangunan mereka untuk mendapat air percuma.

Kerajaan Negeri kemudian akan menyampaikan maklumat itu kepada SYABAS yang akan membuat potongan pada bil meter pukal.

"Oleh itu MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berjumpa dengan COB mereka untuk mendapatkan air percuma tersebut," kata Exco Jawatankuasa Tetap, Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Katanya, potongan yang diberikan oleh SYABAS adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman yang berpenghuni.

"Mereka kemudian mesti memberi potongan pada bil-bil meter individu penduduk. Bukti potongan ini mestilah ditunjukkan kepada COB.

"COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sepertimana yang dilaporkan," kata Iskandar dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, program "Lapor dan Dapat" akan berupaya memperlipat ganda bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat air percuma.

"Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang tetapi program "Lapor dan Dapat" akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.

Iskandar berkata, program tersebut bermula pada 1 April 2012.  

"Penduduk pangsapuri rumah kos rendah digesa untuk mendesak MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk agar menghubungi COB supaya mereka mendapat air percuma.  

"Sistem kupon turut dilaksanakan sebelum ini di dalam usaha untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia juga amat rumit.

"Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh SYABAS tidak dapat dilakukan secepat yang dihasrat," tambahnya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS