Tentera Darat, dalam memperkasakan pertahanan negara, kini melalui proses modenisasi dalam aspek sumber manusia dan kelengkapan persenjataan dengan peruntukan RM7.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-10 bagi Angkatan Tentera Malaysia.
Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata proses modenisasi itu bertujuan menambah keyakinan masyarakat terhadap kemampuan pertahanan negara dan menjaga kepentingan ekonomi serta keselamatan negara.
Katanya selain daripada perolehan aset moden terkini, tentera juga sedang memajukan sumber modal insan anggotanya dengan menggalakkan penambahan ilmu serta pengambilan graduan yang mempunyai informasi terkini.
"Sekarang ini (sebagai mencapai rancangan tersebut) kita tidak kurang sumber tenaga kerja yang dapat memahami sistem, aplikasi dan sebagainya (dalam aspek persenjataan tentera moden).
"Ini kerana pegawai-pegawai kita ditauliahkan dari Universiti Pertahanan (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia) dan kita juga menghantar pegawai-pegawai kita ke pusat-pusat pengajian tinggi untuk memahami sistem," katanya kepada pemberita semasa wawancara khas sempena ulang tahun ke-79 Tentera Darat esok (1 Mac).
Katanya, buat masa ini kira-kira 64 peratus daripada kira-kira 80,000 anggota tentera darat adalah dari generasi 'Y' atau dikenali sebagai generasi milenium yang menjadi pemangkin kepada pemodenan tentera kerana mereka mahir dengan sistem dan aspek perkomputeran serta evolusi peralatan senjata terkini.
Zulkifli yakin gabungan generasi 'Y' ini dengan peralatan persenjataan terkini akan menguatkan lagi sistem ketenteraan.
Beliau memberi contoh perubahan anjakan paradigme itu menerusi modenisasi kini dapat dilihat apabila sejak zaman Perang Dunia Kedua dan zaman serangan pengganas komunis di Malaysia, tentera darat hanya berjalan kaki; namun kini ia telah beralih kepada tentera yang menggunakan mesin serta jentera peperangan moden.
"Apa yang penting kini adalah keupayaan anggota tentera darat dalam membina kapasiti kefahaman tentang sistem yang dulunya kurang diberi penekanan oleh kerana natural operation kita (dahulu) adalah penentang pemberontak namun sekarang ini semua sudah lebih sistematik," katanya.
"Masa aman kita (tentera darat) diperlukan untuk membantu pihak berkuasa awam (operasi tentera selain perang) contohnya anggota kita dihantar untuk misi kemanusiaan di Lubnan," katanya.
Namun disebabkan kekangan kewangan, mungkin ada di antara peralatan persenjataan yang diperlukan tidak dapat dipenuhi kerajaan.
Tetapi melalui peruntukan yang ada, Zulkifli berkata pihaknya akan menambah peralatan persenjataan mengikut teknologi terkini dari semasa ke semasa.
Tentera Darat Malaysia kini mempunyai empat Divisyen Infantri Tempur di bawah pemerintahan Markas Medan Tentera Darat iaitu tiga di Semenanjung manakala satu di Sabah dan Sarawak.
- Bernama