Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penerbit novel karya pengarang terkenal Faisal Tehrani - Sebongkah Batu di Kuala Berang - hari ini mempertahankan karya sastera itu.

Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat PTS, Ainon Mohd berkata, pihaknya dari awal sedia maklum "kemungkinan karya itu dikontroversikan sentiasa ada" ekoran perkara itu sering menimpa Faisal.

"Namun pihak editorial yang membaca manuskrip itu berpandangan karya tersebut tidak mempunyai unsur-unsur negatif, itulah sebabnya karya itu diterbitkan," katanya.

Sebongkah Batu di Kuala Berang Selain Sebongkah Batu di Kuala Berang , Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin dilaporkan mengharamkan 14 lagi buku dan menurut prosedur, ia akan dimajukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

Turut dilapor diharamkan ialah buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going - yang merupakan kompilasi wawancara dengan bekas perdana menteri Singapura itu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha dalam SMS kepada Malaysiakini  menafikannya pengharaman buku wawancara dengan Lee itu dengan berkata ia masih dalam peringkat kajian.

Status buku lain masih tidak jelas setakat ini.

Menjawab e-mel Malaysiakini semalam, Ainon berkata, sehingga saat ini PTS belum dimaklumkan secara rasmi berhubung perkara itu daripada pihak berkaitan, sama ada KDN mahupun pihak JAKIM.

"Disebabkan kami belum menerima surat rasmi dari pihak KDN ataupun JAKIM, maka kami tidak akan melakukan sebarang tindakan. Kita akan jalankan bisnes macam biasa, sehinggalah kami menerima surat rasmi," katanya.

Ditanya kerugian akibat tindakan terbaru kerajaan itu, Ainon berkata "kos penerbitan sudah pulang modal" kerana ia sudah dicetak dua kali, kali pertama sebanyak 3,000 naskhah dan kali kedua 2,000 naskhah.

Bagaimanapun, tambahnya, masih terdapat baki stok dalam gudang PTS.

Sebongkah Batu di Kuala Berang

dipercayai novel pertama diharamkan selepas kemerdekaan. Novel lain yang seumpamanya Putera Gunung Tahan karya Pak Sako yang diharamkan British sebelum kemerdekaan negara ini.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS