Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seksualiti Merdeka hentikan semua acara awam
Diterbitkan:  Nov 5, 2011 4:25 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Penganjur Seksualiti Merdeka hari ini memutuskan semua acara-acara awamnya yang dijadualkan bulan ini tidak akan diteruskan.

Dalam satu kenyataan media, Seksualiti Merdeka berkata keputusan itu diambil demi menjaga keselamatan orang ramai yang bakal hadir, meskipun program bagi memperkasakan hak golongan homoseksual (golongan lesbian, gay, bisexual and transgender - LGBT) agar mereka dihormati dan diterima di masyarakat negara ini telah dianjurkan sejak tahun 2008 lagi.

azlan “Demi menjaga keselamatan semua yang bakal hadir, kami tidak akan meneruskan acara-acara awam Seksualiti Merdeka sambil kami cuba berjumpa dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk menerangkan tujuan sebenar Seksualiti Merdeka,” petik kenyataan itu.

Menurut penganjur, pihak mereka sedih dan terkilan bahawa ramai orang, termasuk wakil rakyat, memilih untuk terus menganiaya, mencaci, bersangka buruk dan mendiskriminasi semua orang yang telah mewujudkan ruang yang aman untuk berkongsi maklumat dan berdialog tentang hak asasi manusia sempena acara-acara anjuran Seksualiti Merdeka.

“Kami merupakan warga Malaysia yang tidak mendapat hak kami untuk identiti dan nasib kami sendiri. Tuduhan yang palsu dan berniat jahat yang bertujuan menyemai kebencian terhadap kami adalahsama sekali tidak berasas.

NONE “Tindakan sebegini akan meminggirkan lagi golongan warga Malaysia yang telah sedia menderita akibat peminggiran oleh masyarakat,” kata Seksualiti Merdeka.

Pelbagai kumpulan, yang diketuai oleh NGO Melayu dan Islam mendesak pihak berkuasa bertindakan ke atas penganjur Fiesta Seksualiti Merdeka yang dijadual bermula 9 November ini di Kuala Lumpur. Sambil membidas pihak penganjur dan kumpulan yang menyokongnya, kumpulan berkenaan mendakwa acara tersebut bertujuan menggalakkan kegiatan homoseksual, dan amalan seks songsang.

Secara melampau

Antara yang menjadi sasaran kontroversi ini adalah bekas presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang dilabel sesetengah pihak sebagai “dajal yang sedang membawa agama baru untuk bergabung sama dengan hak asasi kerana menggalakkan homoseksual. Mereka menuntut beliau ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

azlan Mengulas perkara itu, Seksualiti Merdeka berkata: “Kami juga amat kesal bahawa Datuk Ambiga Sreenevasan, yang berperanan hanya dalam kapasiti beliau sebagai individu untuk mengisytiharkan pembukaan program kami pada tahun ini, telah difitnah dengan begitu hebat oleh mereka yang secara melampau menentang perlindungan, penghormatan, kesedaran dan pemenuhan hak asasi manusia golongan LGBTIQ di Malaysia.”

Tambah mereka, sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerajaan Malaysia seharusnya malu kerana membenarkan dan menggalakkan taktik-taktik intimidasi sebegini yang bertujuan untuk menakutkan.    

“Fasal 8 (1), 8 (2) dan 10 Perlembagaan Persekutuan secara terang menjamin kesamarataan untuk semua warga Malaysia dari segi undang-undang, dan juga perlindungan bagi semua warga Malaysia dari diskriminasi atas dasar gender, serta kebebasan bersuara dan berpersatuan.”

azlan Menurut Seksualiti Merdeka lagi, apabila berhadapan dengan aduan mengenai pencabulan hak asasi manusia golongan LGBTIQ  di Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah menegaskan bahawa "semua orang, tanpa mengira orientasi seksual atau identiti gender, berhak untuk menikmati hak-hak asasi mereka  sebagai manusia.

"Hak asasi manusia adalah untuk semua dan golongan LGBT tidak dikecualikan. LGBT harus dihormati sebagai manusia dan perbezaan mereka tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk melanggar hak-hak mereka. Tidak ada sebab untuk tindakan seperti mengejek, membuli atau mencederakan mereka secara fizikal.

Tubuh sendiri

“Seksualiti Merdeka mewakili setiap orang yang percaya mereka memiliki hak untuk membuat keputusan sendiri atas tubuh mereka sendiri. Kami dengan tegas menentang segala bentuk stigma, diskriminasi, dan penganiayaan yang dbertujuan mengganggu dan menidakkan hak seksualiti.

azlan “Seksualiti tidak dapat dipisahkan daripada keperibadian setiap manusia. Perkembangannya secara penuh bergantung kepada pemenuhan keperluan dasar manusia seperti keinginan untuk berhubung, keintiman, ekspresi emosi, kenikmatan, kelembutan, dan cinta.

“Hak masyarakat amnya hanya akan dilindungi apabila hak manusia individu dihormati. Inilah erti sebenar demokrasi.” kata mereka.

Menurut penganjur lagi, kerajaan Malaysia seharusnya menyelar apa jua bentuk diskriminasi, stigma dan ancaman keganasan atau bunuh atas nama agama atau sistem kepercayaan; serrta menghormati hak mereka untuk menganjurkan forum, bengkel dan pertunjukan secara aman.

NONE “Kebencian dan kejahilan yang bertujuan untuk menakutkan kami, dan seruan supaya acara-acara kami diberhentikan, sebaliknya membuktikan betapa perlunya  selamat dan aktiviti seperti Seksualiti Merdeka.”

Penganjur berkenaan juga mengucapkan terima kasih yang tak berbelah bagi kepada pelbagai segmen masyarakat Malaysia yang terus menyokong kerja mereka dan hak untuk membahas isu hak asasi manusia.

“Kami tetap bertekad untuk mewujudkan lingkungan yang kondusif yang akan membantu mengurangi kebencian tak berasas seperti hasutan ketakutan dan paranoia, yang disebabkan oleh kurangnya pemahaman bahawa isu-isu seksualiti sebenarnya adalah isu hak asasi.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS