Kegagalan Pakatan Rakyat menyekat Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 daripada diluluskan - kerana tidak cukup anggota parlimen ketika pengundian - amat mengecewakan.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) negeri Johor Ahmad Anwar Asyraf Ismail berkata, dengan hanya 28 anggota parlimen Pakatan hadir menunjukkan seolah-olah mereka tidak serius.
"Ini bukanlah pertama kali Ahli-Ahli Parlimen ini ponteng. Seolah-olah tiada keseriusan dalam menjalankan tugas," kata NGO yang rapat dengan PKR itu.
Dalam undi belah bahagian semalam, Pakatan gagal menyekat rang undang-undang yang pengundian diminta sendiri mereka apabila 72 anggota dewan menyokong, manakala hanya 28 tidak bersetuju ia itu dibacakan kali kedua.
Suasana dilaporkan kecoh sebaik loceng dibunyikan apabila anggota parlimen Pakatan yang kelihatan 'terlalu yakin' dapat menggagalkannya mengejek wakil kerajaan yang berlari masuk memenuhkan korum.
Bagaimanapun, sebaik keputusan diumumkan speaker, beberapa anggota pembangkang yang kecewa terus meninggalkan dewan.
'Macam tapak fun fair'
Dalam kenyataannya hari ini, Ahmad Anwar berkata, ketika institusi parlimen dihasratkan menjadi kelas pertama, sikap suka ponteng itu menjadikannya umpama angan-angan.
“
Sudahlah kerap ponteng, prestasi di kawasan konstituen juga lemah. Rakyat beri amanah sebagai ahli parlimen.“Rakyat tidak pernah peduli berapa gaji dan elaun kamu tetapi kami hanya inginkan wakil-wakil kami di dewan ini lebih berdisiplin dan tidak menganggap bahawa Dewan Rakyat yang mulia itu seperti tapak fun fair .
“Sesuka hati kamu hendak hadir, sesuka kamu untuk ponteng,” katanya.
Rang undang-undang kontroversi itu ditolak pembangkang, terutama oleh PAS, kerana didakwa tidak mendapat mandat sepenuhnya pemilik dan pewaris tanah di kampung berkenaan.
Walaupun melalui akta itu, status tanah Kampung Baru bertukar dari Pertanian kepada tanah Pusat Bandaraya Komersial (CCC), penduduk didakwa terikat kepada kuasa pentadbiran perbadanan.