Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan membelanjakan lebih RM2 juta untuk mengerahkan lebih 11,000 anggota polis untuk bertugas ketika perhimpunan BERSIH 2.0 diadakan pada Julai lalu.
Hishammuddin dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat berkata, perbelanjaan bagi menangani perhimpunan tersebut termasuk untuk menugaskan anggota dari kontinjen seluruh negara bagi membantu polis kontinjen Kuala Lumpur.
Menjelaskan perbelanjaan sebanyak RM2,018,850 itu, Hishammddin berkata PDRM terpaksa membuat "persiapan rapi yang memerlukan perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik yang lain."
"Jumlah pegawai dan anggota polis yang telah dikerah untuk bertugas untuk menjaga keselamatan di kawasan Lembah Klang seramai 11,046 orang termasuk seramai 2,600 orang yang dikerah," katanya.
Teresa Kok (DAP-Seputeh) dalam soalannya bertanya kepada Hishammuddin jumlah elaun yang dibayar untuk tugas anggota dan pegawai berkenaan dari 6 hingga 9 Julai lalu.