Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: Enam bulan akan datang sebagai penentu
Diterbitkan:  Sep 15, 2011 5:59 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Enam bulan akan datang bakal membuktikan sama ada pilihan raya umum lalu yang berjaya mewujudkan sebuah kerajaan berjiwa rakyat akan semakin menyerlah atau hilang sama sekali di Pulau Pinang.

NONE Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, setelah lebih tiga tahun merintah negeri, Pakatan Rakyat bukan sahaja telah menjadikan pulau itu lebih bersih, hijau dan selamat, malah telah menunjukkan perubahan drastik terutamanya dari segi corak pemikiran dan keyakinan rakyat.

“Warga Pulau Pinang semakin yakin dan optimis terhadap masa depan kerana mereka boleh bergantung kepada kerajaan yang mendengar kata rakyat, melakukan kerja untuk rakyat dan memberikan harapan untuk masa depan yang lebih cerah,” katanya dalam perutusan Hari Malaysia yang dikeluarkan hari ini.

Khabar-khabar tentang kemungkinan Parlimen dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan dalam masa enam bulan mulai sekarang bertiup kencang di kalangan orang-orang politik dari semua parti.

Kata Lim yang juga setiausaha agung DAP, di Pulau Pinang telah terhasil satu pengiktirafan yang ganjaran akan diperoleh berdasarkan daya upaya, kejujuran dan usaha rakyat untuk mengejar kecemerlangan.

“Sesungguhnya tiada pengganti bagi prestasi, produktiviti dan kecekapan,” katanya.

Memberi nikmat

Bagaimana pun, jelasnya, perubahan yang paling besar dalam pemikiran telah berlaku ekoran daripada dasar kerajaan Pakatan yang menegakkan kedaulatan undang-undang.

penang outer ring road project 211205 02 Tambahnya, di Pulau Pinang, dasar cekap, akauntabel dan telus (CAT) telah menunjukkan bahawa sebarang tender atau urus niaga tidak lagi memerlukan orang dalam atau orang tengah - yang diperlukan hanyalah pelaksanaan peraturan dan undang-undang secara adil, tegas dan jujur.

Beliau berkata, dengan dasar kerajaan yang menekankan urus tadbir CAT dalam hala tuju pentadbiran, ia telah memberi nikmat dan kemakmuran kepada rakyat.

“Untuk menghapuskan ketidakpercayaan masyarakat awam terhadap institusi kerajaan negeri, kerajaan negeri telah menghapuskan politik kuasa naungan, kronisme dan rasuah,” katanya.

Justeru, Lim menyeru agar rakyat Pulau Pinang dan Malaysia mencari inspirasi dengan menekankan prestasi, bukannya keistimewaan; kepakaran dan bukannya hak khusus, serta integriti dan bukannya rasuah.

Bebas rasuah

“Marilah kita bersepakat dalam semangat setiakawan untuk mencapai aspirasi bersama untuk keadilan, kebenaran, kebebasan, demokrasi dan kebajikan sosial untuk rakan-rakan kita yang lebih lemah dan miskin,” katanya.

azlan Tambah beliau, hanya dengan ekonomi yang bebas dari rasuah sahaja barulah kerajaan dapat memastikan bahawa rakyat akan menikmati kemakmuran dan menerima manfaat yang ikhlas.

Pada masa sama beliau turut mengajak rakyat untuk berazam dengan ikhlas agar masa depan Malaysia akan bebas dari ketakutan dan kronisme.

“Marilah kita menanam cita-cita di mana semua lapisan masyarakat dan kaum, sama ada Melayu, India, Cina, Kadazan atau Iban, dianggap sebagai saudara senegara tanpa sebarang diskriminasi,” katanya.

Dalam pada itu, bagi menandakan semangat Hari Malaysia di Pulau Pinang, Lim mengumumkan bahawa Perbadanan Bukit Bendera akan menawarkan perjalanan keretapi secara percuma untuk sehari esok bagi semua warga Malaysia dari Sabah dan Sarawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS