DAP bakal menubuhkan satu "sekolah demokrasi" untuk meraih penyertaan lebih besar dari kalangan anak muda ke dalam kegiatan politik.
Setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata keperluan untuk menubuhkan sekolah itu timbul berdasarkan siri perbincangan yang dilakukan dalam bengkel anjuran DAP sebelum ini.
"Daripada perbincangan ini, kita dapat tahu (golongan muda) ada minat mendalam dalam politk, mereka hendak tolong dalam perjuangan tapi perjuangan itu sendiri mereka tidak faham.
"Sekarang lebih ramai yang terlibat dalam politik tapi mereka kemudiannya kecewa sebab kurang kefahaman politik.
"Mereka kecewa bila mereka masuk politik dan fikir politik itu bukan seperti apa yang mereka harapkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Zairil ( kiri ) berkata, program yang akan dijalankan oleh sekolah itu bertujuan untuk mendidik mengenai prinsip demokrasi dan asas politik.
"Kita bukan mahu pupuk satu bentuk falsafah atau ideologi tertentu tapi hendak mengajar orang muda supaya lebih memahami macam mana bentuk politik di Malaysia, bagaimana kita capai struktur politik sekarang dan juga sejarah dan evolusi politik dalam sejarah Malaysia," katanya lagi.
"Sebagai contoh, bila kita bercakap tentang sosialisme dari segi tunjang ideologi DAP – demokrasi sosial – dia tidak faham.
"Dia fikir sosialis dan komunis adalah perkara sama, mereka kurang pemahaman dari konteks itu. Mereka tidak faham Marxisme, liberalisme, sosialisme. Mereka tidak ada pemahaman yang lengkap," katanya lagi.
Sasar kawasan tradisional parti
Ramai daripada golongan ini pula tidak mendapat pendikan formal dalam bidang politik dan hanya membentuk pandangan berdasarkan maklumat yang diperolehi di media, kata Zairil lagi.
Tambahnya, lagi program berkenaan juga akan memberi kelebihan kepada DAP memandangkan kumpulan sasaran program tersebut merupakan anak muda urban di kawasan tradisional parti itu.
"Kalau hendak sasar keluar daripada kawasan tradisional kita memang susah sikit.
"Tapi kita lihat demografi di Malaysia, tiga perempat merupakan anak muda bawah usia 40 tahun. Jadi untuk jangka panjang kita sasar orang muda," jelasnya.
Bagaimanapun, Zairil berkata maklumat terperinci berhubung sekolah itu hanya akan dapat diputuskan menjelang akhir bulan ini.
"Masih dalam perbincangan peringkat jawatankuasa lagi. Kita masih belum putuskan lagi sama ada hendak gerakkan melalui NGO, DAPSY (Pergerakan Pemuda Sosialis DAP) atau bagaimana.
"Jika kita kata ia akan dijalankan oleh DAP mungkin tidak tepat. Sebabnya, katakanlah untuk pelajar universiti. Mereka tidak dapat sertai kerana sebab-sebab jelas (sekatan melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti)," katanya lagi.