Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menggunakan pendekatan psikologi dan bukannya tekanan agresif dalam menyoal suspek dan tertuduh.
Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM Hairul Ilham Hamzah berkata ketika menyoal, pegawai SPRM akan bermain dengan perasaan, menimbulkan perasaan sedih dan menyesal dalam diri suspek ataupun tertuduh.
Malah pegawai SPRM turut digalakkan mendapatkan maklumat dan mengetahui kelemahan diri seseorang suspek atau tertuduh, katanya semasa ditanya peguam Cheow Wee, yang mewakili Majlis Peguam pada inkuiri menyiasat kematian Teoh di Kuala Lumpur hari ini.
Hairul Ilham berkata soal siasat sedemikian hanya dilakukan ke atas suspek dan tertuduh, manakala kaedah temu bual dilakukan ke atas mereka yang dipanggil sebagai saksi.
Cheow Wee turut bertanya sama ada seseorang yang ditahan dari jam 6 petang hingga awal pagi keesokannya akan mengalami tekanan psikologi, Hairul Ilham berkata "Dia akan tertekan jika tidak diberi makan dan minum."
Bagaimanapun, Hairul Ilham berkata dalam kes Teoh, beliau merupakan seorang saksi, dan SPRM telah menjaga kebajikannya dengan memberi makan dan minum ketika dipanggil ke pejabat SPRM.
Beliau turut memberitahu bahawa tiada sebarang aduan dibuat berhubung cara penyiasatan SPRM sebelum kes Teoh berlaku.
"Saya tidak tahu ada kekerasan (dalam SPRM) sebelum kes Teoh. Segala tohmahan terhadap pegawai SPRM disiasat oleh pihak polis selepas kes Teoh.
“Sebelum ini saya tidak tahu," katanya.
Sejurus selepas Hairul Ilham memberitahu perkara itu, Pengerusi suruhanjaya itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen menyoal sama ada beliau mengetahui terdapat aduan saksi telah disuruh duduk di atas kerusi dengan meletakkan kotak di atas kepala, tutup kepala dengan surat khabar serta menghentam kaki mereka, Hairul Ilham berkata beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.
Foong: Kamu tidak tahu ada laporan polis terhadap pegawai kamu?
Hairul Ilham : Tidak tahu.
Foong: Pegawai polis ada buat surat pada kamu, takkan kamu tidak tahu?
Hairul Ilham :Itu selepas kes.
Foong: Kamu ada dipanggil untuk kawad cam?
Hairul Ilham: Ada. Selepas itu baru saya sedar ada banyak tohmahan. Sebelum itu saya tidak tahu.
Hairul Ilham berkata siasatan yang dilakukan ke atasnya oleh pihak polis adalah berkaitan aduan sebelum kematian Teoh dan ada di antaranya berlaku pada 2006.
Ditanya sama ada beliau ada memberi nasihat kepada pegawai SPRM tentang cara soal siasat dan temuduga, Hairul Ilham berkata: "Ada tetapi bukan secara khusus selalunya kita akan beritahu dalam taklimat pagi."
Katanya selepas kematian Teoh, polis telah memberitahunya bahawa terdapat hampir 20 aduan terhadap pegawai SPRM di Selangor.
Dalam prosiding hari ini, beberapa imej pegawai SPRM yang dirakam kamera litar tertutup ditunjukkan dan didapati bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hashim meninggalkan kawasan lobi pada pukul 6.26 pagi, 16 Julai 2009.
Beberapa imej pegawai lain termasuk Hairul Ilham, pegawai perakam Mohd Nadri Ibrahim, Penolong Penguasa SPRM Putrajaya, Arman Alies turut kelihatan.
Di akhir prosiding, Foong memaklumkan bahawa berdasarkan siasatan penyiasat persendirian Michael Leslie Squires didapati kawasan tempat letak kereta di rumah Penolong Penguasa Mohd Ashraf Mohd Yunus sesak sepertimana yang diberitahunya ketika memberi keterangan.
Foong berkata, siasatan yang dibuat pada 13 dan 14 Mac lalu, menunjukkan kawasan letak kereta itu sesak daripada pukul 9 malam hingga 3 pagi.
Pada prosiding lalu, Mohd Ashraf memberitahu beliau memutuskan untuk tidur di pejabat dan tidak pulang ke rumah kerana mengetahui tiada tempat letak kereta yang kosong pada sekitar waktu tersebut iaitu dari pukul 9 malam hingga 3 pagi.
Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lalu, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka' berhubung kes itu.
Prosiding disambung esok.
- Bernama