Roslan Ahmad hari ini mengangkat sumpah sebagai ADUN Merlimau.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhammad.
Majlis tersebut diadakan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob merasmikan persidangan penggal keempat DUN Melaka kali ke-12.
Turut menyasikan acara itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Roslan, 44, selaku calon Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil kawasan DUN Merlimau semalam dengan menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah, 38.
Dengan kemenangan Roslan yang juga anggota jawatankuasa Umno bahagian Jasin itu, BN mengekalkan 23 kerusi dalam DUN Melaka. Lima lagi kerusi diwakili DAP.
Dewan turut merakamkan penghargaan dan menyampaikan bacaan Al-Fatihah kepada mantan DUN Merlimau, Datuk Mohamad Hidir Abdullah yang meninggal dunia 20 Januari lepas akibat serangan jantung.
- Bernama