Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Memo: Naik motor berlainan jantina satu kesalahan

Menaiki kenderaan secara "berdua-duaan" di antara pelatih yang berlainan jantina adalah satu kesalahan jika dilakukan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tengku Ampuan Afzan di Kuala Lipis, Pahang.

NONE Menurut memo yang diedarkan oleh institut perguruan itu, larangan berkenaan dikuatkuasa sejak 10 Ogos lalu dengan tujuan bagi mengekang kegiatan maksiat.

Pengarahnya, Datuk Mazlan Mohamad ketika dihubungi mengesahkan bahawa larangan itu  dikeluarkannya mengikut bahagian II dalam Tatatertib Am, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Perbuatan berdua-duaan itu sebagai "kelakuan yang boleh ditafsir sebagai boleh merosakkan atau mendatangkan mudarat kepada nama baik institusi sama ada di dalam atau di luar kampus," menurut salinan memo yang diperolehi Malaysiakini .

Buang bayi

"Pihak keselamatan tidak akan membenarkan kenderaan yang terlibat keluar dari pintu masuk ke IPG jika melakukan kesalahan yang dinyatakan," memo itu dipetik.

"Sebab apa, kita buat begitu sebab hendak cegah. Itu lebih baik sebelum berlaku kejadian seperti buang bayi," kata Mazlan ketika ditanya sebab penguatkuasaan seperti itu.

NONE Beliau memberi contoh perbuatan berdua-duaan yang ingin ditegahnya itu seperti "berpegang-pegangan di dalam kereta."  

Beliau juga menafikan tanggapan bahawa penguatkuasaan itu dibuat dengan melampau, memandangkan tidak ada bantahan daripada para pelajar.

Katanya lagi, peraturan itu hanya dikuatkuasakan di kawasan kampus dan ditujukan kepada para pelajar yang secara terang-terangan dan berulang-kali menaiki kenderaan secara berdua-duaan untuk keluar daripada kampus tersebut.

"Saya jelaskan kepada pelajar, bukan tidak boleh langsung naik motorsikal bersama. Kalau ada urusan tak apalah.

"Cuma kita tidak mahu para pelajar ini sering keluar malam, tambahan pula dengan orang luar."

Berdua-duaan

"Kalau untuk makan saja tidak ada masalah. Tapi kalau sudah habis makan tapi masih berdua-duaan dalam kereta, itu sudah tidak patut," katanya.

NONE Mazlan bagaimanapun menegaskan, tidak ada bentuk hukuman ditetapkan untuk kesalahan seperti itu.

Jelasnya, langkah yang akan diambil adalah menasihati pelajar dan staf terbabit apabila timbul banyak aduan berhubung tingkah laku mereka.

Tambahnya, beliau tidak tahu sama ada institut pengajian tinggi lain turut mengambil langkah sama seperti kampus tersebut.

Katanya lagi, warga kampus itu yang sebahagian besarnya terdiri daripada kira-kira 1,400 orang pelajar perlu menyedari keadaan sosial setempat di Kuala Lipis yang menurutnya sukar menerima perbuatan seperti itu.

Jelasnya, tahap toleransi masyarakat luar bandar itu adalah berbeza daripada masyarakat seperti Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS