Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Saya tidak pernah menjangka ia akan berlaku, kata Jeneral (B) Ismail
Published:  Nov 28, 2002 9:26 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Bekas Panglima Angkatan Tentera (B) Tan Sri Ismail Omar yang terperangkap dalam runtuhan tanah yang meranapkan banglonya pada 20 Nov lalu menyifatkanya sebagai "pengalaman paling memalukan tetapi menginsafkan".

Pengerusi Affin Bank itu terperangkap dalam runtuhan banglonya di Taman Hillview, Ampang selama lima jam sebelum berjaya diselamatkan.

Kejadian pada kira-kira jam 4.50 pagi itu telah mengorbankan enam ahli keluarganya termasuk isterinya Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anak lelakinya Hijaz, menantu (Shamsul Azhar Safie dan Zaradina Zaini) dan dua cucu (Zurian Aishah dan Johan Hijaz). Turut terkorban ialah dua pembantu rumah rakyat Indonesia, Su dan Tini.

Mengenang kembali peristiwa itu, Ismail memberitahu sidang media di Kuala Lumpur hari ini, sepanjang tempoh terperangkap dalam runtuhan itu, beliau berdoa dan berharap ahli keluarganya yang lain terselamat.

Bernama memetik Ismail sebagai berkata, pada hari malang itu, beliau dikejutkan oleh isterinya, Azizah pada kira-kira jam 4.30 pagi untuk bersembahyang dan bersahur.

Katanya, sewaktu berada didapur, pembantu rumahnya tiba-tiba menjerit sambil berlari meminta beliau supaya menyelamatkan diri dan diikuti dengan bunyi seperti taufan.

Menjerit

"Kemudian saya lihat barang berterbangan, tingkap dapur pecah, percikan elektrik. Saya sangka benteng rumah jiran saya runtuh dan dalam masa lima saat, segala-galanya berakhir," katanya.

Menurutnya beliau terperangkap dalam runtuhan dalam keadaan duduk dan tidak dapat merasa apa-apa di bahagian kakinya.

"Saya terperangkap, saya hanya berdoa. Saya tidak pengsan tetapi rasa begitu lemah. Selama kira-kira 10 minit segala-galanya gelap gelita. Saya berdoa supaya diambil nyawa saya tetapi selepas beberapa minit saya menyedari bahawa ia tidak sepatutnya," katanya.

Ketika itu, katanya, kemahiran sebagai anggota tentera banyak membantunya ketika itu, memandangkan beliau dilatih untuk kelangsungan hidup dan perkara pertama yang difikirkannya ialah mencari tapak yang kukuh untuk duduk sebelum diselamatkan.

"Saya kawal penafasan saya, saya hanya berharap, menjerit dan mengetuk beberapa batu (untuk menarik perhatian) dan selepas tiga kali menjerit, ia mendapat balasan, Ia merupakan salah seorang pengawal keselamatan yang kami gaji daripada Kawalan Prima. Dia (pengawal) memberitahu saya supaya bertenang dan memberi jaminan bahawa saya akan diselamatkan tidak lama lagi," kata Ismail.

Nasib keluarga

Sepanjang tempoh itu, beliau bagaimanapun tidak mahu mengetahui nasib orang yang dicintai selain tidak mahu mereka yang terbabit dalam operasi itu memberitahu keadaan mereka.

"Semasa mereka menarik saya keluar, saya bertanya pasukan penyelamat pukul berapa dan diberitahu bahawa ia sudah pukul 9.30 pagi, tetapi saya tidak merasakan berada di bawah runtuhan selama lima jam, saya ingat ia tidak lebih daripada 40 minit," katanya. Ismail kemudiannya di bahwa oleh ambulans ke Hospital Kuala Lumpur.

"Malah ketika itu saya tidak dimaklumkan mengenai nasib ahli keluarga saya, Saya juga tidak bertanyakan mereka. Pada kira-kira jam 8 malam, saya beranikan diri untuk bertanya kawan rapat mengenai mereka dan diberitahu berita itu (kematian ahli keluarga).

"Saya resah dan sedih...kemudian kami menghadiri majlis pengebumian," kata Ismail dalam nada yang sayu.

Bagaimanapun, katanya, beliau bersyukur kerana masih hidup kerana "apabila saya keluar dari rumah itu saya menyedari bahaya dan sukar dipercayai bagaimana rumah itu runtuh".

Tiada CF

Ditanya sama ada banglonya telah memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF), Ismail mengakui beliau belum memperolehi CF untuk rumahnya.

"Saya tidak mahu membincangkan perkara itu tetapi pelan bangunan kami diluluskan, Andai saya mendapat tanda-tanda bahawa tempat itu tidak selamat, saya tidak akan duduk di sana," katanya. Ismail dan keluarnya menetap di banglo itu sejak 1998.

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo mendedahkan bahawa 30 peratus banglo di Taman Hillview tidak mempunyai CF.

Menurut Ismail, beliau memutuskan untuk berpindah ke situ selepas bersara kerana lokasinya baik untuk didiami.

"Saya tidak pernah menjangkakan kejadian ini akan berlaku," katanya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS