Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam maut akibat jangkitan 'air kencing tikus'
Diterbitkan:  Jul 10, 2010 6:07 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Enam penduduk kampung yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Hutan Lipur, Lubuk Yu, dekat Maran dilapor meninggal dunia dalam tempoh seminggu selepas operasi itu.

Semua mereka yang terbabit dalam operasi bermula 26 Jun hingga 30 Jun itu, meninggal dunia akibat jangkitan bakteria leptospirosis (air kencing tikus) dan melioidosis (bakteria disebabkan air dan tanah).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata masing-masing satu kematian dilapor pada 3 Julai, 6 Julai, 7 Julai dan 8 Julai manakala dua kematian pada 9 Julai.

"Mereka mula sakit selepas seminggu menyertai operasi itu, simptom utama adalah demam, batuk, sakit-sakit otot, cirit-birit. Empat orang meninggal di Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dan dua lagi di rumah mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai kejadian itu di Maran, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rosnah Ismail.

    

Mereka yang meninggal dunia dikenali sebagai Azizam Abdullah, 58, Timothy Hoo Seng Heng, 29, Lim Sin Lai, 55, Mohd Ali Abdullah, 60, Zakaria Ayub, 52, dan Zainal Abidin Ismail, 56.

Liow berkata tujuh lagi kini dirawat di hospital iaitu tiga di Hospital sultan Ahmad Shah, dua di Hospital Jengka dan masing-masing satu di Hospital Selayang dan Kuantan Medical Centre.

"Hasil kajian awal mendapati, bakteria ini tidak merebak, hanya membabitkan mereka yang terlibat dalam operasi dan menyelamat itu. Semua keluarga mangsa tidak mengalami simptom itu," katanya.

Beliau berkata seramai 83 orang terbabit dalam operasi itu iaitu 56 anggota penyelamat dan 27 penduduk kampung.

"Semua mereka terbabit kini telah diberi rawatan awal sebagai langkah berjaga-jaga, bakteria ini sebenarnya boleh dikawal, kematian yang berlaku adalah kerana mereka lambat mendapat rawatan awal," katanya.

    

Liow berkata semua mangsa dipercayai terkena virus leptospirosis dan melioidosis kerana kesemua mereka berkhemah di kawasan Lubuk Yu ketika operasi dan menyelamat itu dilakukan sehingga mayat mangsa lemas, Mohd Azhar Azizam, 28, ditemui pada 30 Jun lalu.

Beliau berkata kawasan rekreasi itu kini ditutup kepada orang ramai sehingga keputusan ujian terhadap sampel tanah dan air kawasan itu diperoleh dan tempat itu disahkan selamat untuk orang ramai beriadah.

Liow meminta orang ramai tidak panik kerana bakteria itu tidak berjangkit.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS