Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan isu kerugian Pos Malaysia Bhd pada sesi Parlimen ini selepas mendengar penjelasan daripada bekas pengerusnya, Tan Sri Adam Kadir, pagi tadi.
Pengerusinya Datuk Seri Azmi Khalid berkata perkara itu akan dibuat selepas pihaknya mendapatkan penjelasan daripada semua pihak yang terlibat termasuk Kementerian Kewangan.
"Kita dah dengar daripada Khazanah (Nasional Berhad) semalam, dan hari ini dah panggil (bekas Pengerusi Pos) Tan Sri Adam Kadir untuk dengar maklumat daripada sudut beliau.
"Kita akan bertanya beberapa soalan lagi kepada Khazanah selepas mendengar penjelasan Tan Sri Adam hari ini, dan juga beberapa soalan kepada Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Adam, di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Pada 2 Mei lalu, Adam membuat kenyataan mendakwa Khazanah selaku pemegang saham utama Pos Malaysia tidak memberikan gambaran sebenar berhubung kerugian syarikat tersebut.
Adam juga mendakwa Pos Malaysia mengalami kerugian sebanyak RM546 juta.
Sementara itu, Adam yang ditemui pemberita selepas perjumpaan dengan PAC berkata segala keterangan berkaitan dakwaannya telah didedahkan kepada PAC dan kini terpulang kepada jawatankuasa tersebut untuk membuat kesimpulan.
"Saya dah beri penjelasan mengenai perspektif saya, terpulang kepada PAC untuk buat kesimpulan apa yang sebenarnya berlaku dalam Pos Malaysia...maklumlah saya pada ketika itu pengerusi Pos Malaysia, saya ada maklumat sendiri dan dah tunjukkan rekod itu pada mereka (PAC).
"Saya cuma tunjukkan rekod pada PAC tapi rekod itu masih dalam simpanan saya. Saya juga tak dapat dedahkan pada orang ramai kerana implikasinya sangat luas," katanya.