Rondaan bersama Malaysia dan Indonesia di perairan kedua-dua negara berjaya menangani kes rompakan dan pelanunan di Selat Melaka, kata Ketua Staf Markas Wilayah Laut 3 Langkawi, Kapt K Shanmuganathan.
Beliau berkata, rondaan itu berjaya memastikan Selat Melaka selamat digunakan dan sejak 2007 hingga kini tiada kes rompakan atau pelanunan yang berlaku di perairan itu yang merupakan antara laluan perkapalan tersibuk di dunia.
Kejayaan itu adalah antara petunjuk positif kejayaan kerjasama operasi antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) yang harus dibanggakan kedua-dua negara, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Ops Patkor Malindo siri 108/10 Malaysia dan Indonesia di Pangkalan Markas Wilayah Laut 3 Langkawi di Langkawi hari ini.
Operasi 10 hari itu disertai TLDM dengan dua kapal bersama 140 pegawai dan anggota manakala TNI-AL disertai dua kapal serta 60 anggota.
Turut hadir pada sidang akhbar Kolonel Laut, JM Sipasulta dari TNI-AL.
Shanmuganathan berkata, operasi itu bagi menguatkuasakan perundangan maritim di perairan kedua-dua negara di samping bertukar maklumat dan berkomunikasi.
Katanya, kerjasama erat Malaysia dan Indonesia bagi menjamin keamanan Selat Melaka menerusi angkatan laut masing-masing harus diutamakan kerana laluan perkapalan itu amat penting kepada kegiatan ekonomi dunia.
Terdahulu dalam ucapannya, Shanmuganathan berkata operasi rondaan bersama di Selat Melaka telah diadakan sejak 25 tahun lalu.
Sipasulta pula berkata, operasi itu dapat meningkat kerjasama bagi menjaga perairan kedua-dua negara dan kedua-dua pihak akan membaiki pelaksanaannya.
Operasi itu akan berakhir pada 16 Jun dengan majlis penutupan diadakan di Dumai, Indonesia.
- Bernama