ADS
mk-logo
Berita
Isteri kedua terus dihalang bertemu Sultan Kelantan
Diterbitkan:  May 23, 2010 9:21 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Meskipun Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kota Bharu membenarkan isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad melawat suaminya, hari ini beliau sekali lagi dihalang daripada memasuki Istana Mahkota, Kubang Kerian, untuk menemui baginda.  

azlan Elia Suhana tiba di pekarangan istana dengan menaiki Proton Perdana diiringi oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda kira-kira pukul 12.55 tengah hari.

Beliau yang ditemani kakaknya dan dua peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan dan Roshdan Sujak Raffie, dimaklumkan salah seorang lelaki yang bernama Azahari dan mendakwa sebagai pegawai pengiring Sultan bahawa baginda telah mengeluarkan titah tidak mahu berjumpa dengan Elia atas alasan "telah melafazkan talak tiga," katanya.

"Pada hari ini kita meneruskan perintah mahkamah bagi melawat Tuanku Al-Sultan (Tuanku Ismail Petra) sebagaimana diperintah dan diberikan hak kepada Che Puan Elia Suhana," kata Fakhrul Azman kepada pemberita di Kota Bharu.

Khamis lalu, mahkamah rayuan itu membenarkan Elia Suhana melawat Sultan seperti yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 Feb lalu.

ADS

Fakhrul Azman berkata, berikutan peristiwa hari ini, pihaknya akan meneruskan untuk mengambil tindakan lanjut di mahkamah pada 13 Jun depan.

Sementara itu, Elia Suhana yang mengenakan baju kurung moden berwarna biru ketika ditemui meluahkan rasa terkilan kerana dihalang lagi bertemu suaminya setelah empat kali membuat percubaan itu selepas mendapat perintah mahkamah termasuk dua kali di Singapura.  

azlan "Saya tidak pasti (titah Sultan Kelantan tidak mahu berjumpa), saya lebih jelas kalau Tuanku cakap dengan saya, kalau saya boleh berhubung dengan Sultan benda ini takkan berpanjangan," katanya.

Panel tiga hakim iaitu Ketua Hakim Syarie Datuk Daud Mohamad, Hakim Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Hakim Wan Hassan Wan Muhamad membenarkan lawatan itu setelah mengadakan semakan terhadap afidavit dan autoriti dari pihak Elia Suhana, 31, dan pihak Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

- Bernama

   


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS
ADS
ADS