Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
G Team beli balik saham Maika pada 80 sen seunit
Diterbitkan:  May 12, 2010 3:54 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

G Team Resources & Holdings Sdn Bhd menyerahkan notis pengambilalihan kepada lembaga pengarah Maika Holdings Bhd pagi ini bagi memiliki semua 125 juta saham mengundi pada 80 sen sesaham secara tunai.

maika holdings berhad Tawaran berkenaan berdasarkan kepada pelaburan asal pemegang saham sebanyak RM100 juta dan 25 juta saham bonus yang diterima pada 1996, dalam cabang pelaburan MIC itu, demikian menurut syarikat berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

G Team Resources merupakan perantara tujuan khas yang ditubuhkan oleh taikun pelabuhan Tan Sri G Gnanalingam dan seorang lagi, Datuk S Kunasingam, untuk mengembalikan kos pelaburan asal pemegang saham Maika.

Dokumen tawaran dijangka dihantar kepada pemegang saham Maika dalam masa 21 hari. Tawaran berkenaan kekal terbuka sekurang-kurangnya 21 hari daripada tarikh dokumen tawaran.

CIMB Investment Bank terlibat sebagai penasihat dan pembiaya kepada G Team bagi proses berkenaan.

NONE Baru-baru ini Gnanalingam membuat keputusan untuk membantu menyelesaikan masalah pemegang saham India dalam Maika, yang dianggap sebagai masalah besar dalam komuniti itu.

Pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, Gnanalingam berkata beliau yakin mendapat lebih 50 peratus daripada saham mengundi.

Beliau berkata tawaran umum Oriental Capital Assurance Bhd (OCA), 74.16 peratus subsidiari Maika, juga akan berlaku apabila tawaran menjadi tanpa syarat.

"Kami tidak berhasrat untuk meneruskan operasi Maika dan akan menguruskan aset dan liabiliti firma itu secara telus," katanya.

Pada masa ini Maika mempunyai dua aset utama iaitu pegangan dalam OCA dan sebidang tanah di Sepang.

Beliau berkata tanah di Sepang membebankan dan apabila hak milik dan penilaian disahkan, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menentukan cara terbaik merealisasikan nilainya.

nazir razak Pada majlis yang sama, Ketua Eksekutif CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak berkata G Team akan meneroka peluang untuk melepaskan pegangan dalam OCA.

Ini seiring dengan hasrat G Team untuk menamatkan operasi Maika dan bagi mematuhi syarat Bank Negara Malaysia untuk melupuskan pegangannya dalam OCA dalam masa 12 bulan daripada penyiapan tawaran am seterusnya mengenai firma insurans.

"G Team tidak berhasrat untuk mendapat sebarang faedah kewangan daripada proses berkenaan dan sekiranya penjualan aset dan penyelesaian liabiliti  Maika memberikan lebihan, ia akan mendermakan kepada badan kebajikan untuk faedah komuniti India.

"Tetapi meraih lebihan adalah suatu yang terpencil. Kemungkinan adalah bagi G Team mengalami kekurangan, berbanding pemegang saham," jelas beliau.

Sekiranya kekurangan dalam merealisasi aset dan liabiliti, kerugian akan ditanggung oleh G Team, katanya.

Nazir berkata mereka meninjau mekanisme untuk membantu pemegang saham dalam urusan penjualan saham mereka kepada G Team.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS