Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu lagi aduan polis dibuat berhubung pendedahan ahli parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ( bawah ) mengenai rancangan "16 September" yang diusahakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat hari ini.

zahrain hashim parliament 180310 Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) - atau lebih dikenali sebagai kumpulan pro-ISA - membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak supaya polis dapat menyiasat sejauh mana kebenaran dakwaan wakil rakyat itu.

“Sebagai seorang warganegara Malaysia yang mendaulatkan undang-undang dan menjunjung perlembagaan negara, saya berasa terancam apabila mengetahui terdapatnya cubaan untuk mengulingkan kerajaan yang sah melalui cara penipuan, dengan menjual nama dan memperdaya,” laporan polis oleh penasihat undang-undang Magaran Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dipetik.

Dalam pendedahan Zahrain di parlimen minggu lepas, Anwar dikatakan mendakwa Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merestuii dirinya sebagai perdana menteri jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan.

Bercakap dalam sidang media selepas membuat laporan polis, Mohd Khairul Azam berkata, jika rancangan Anwar itu berjaya, beliau percaya ia akan mencetuskan huru-hara dan kacau-bilau, seterusnya menggugat keselamatan dalam negara.

Semalam, Pemuda Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan dilaporkan membuat dua aduan polis berhubung perkara yang sama - masing-masing di Sepang dan Kuala Lumpur.

Di Alor Star, Bernama melaporkan Pemuda UMNO Kedah hari ini membuat laporan polis yang sama.

Ketuanya Badrolhisham Hashim yang diiringi kira-kira 50 anggota Pemuda UMNO itu dan Pemuda Barisan Nasional (BN) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Alor Setar, DSP Fiesal Libertus Abdullah mengesahkan menerima laporan Pemuda Umno Kedah itu terhadap Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS