Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nirmala Bonat saman bekas majikan
Diterbitkan:  Jan 28, 2010 1:06 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Pembantu rumah warga Indonesia, Nirmala Bonat, hari ini menyaman bekas majikannya kerana mendera dan mencederakannya dengan seterika dan air panas enam tahun lalu.

Nirmala, 26, memfailkan saman dan tuntutan itu melalui peguamnya M Kavimani, di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, pada 11 pagi tadi.

abused indonesian maid nirmala bonat then and now 170108 Nirmala, yang tidak hadir ke mahkamah, menamakan Yim Pek Ha dan suami bekas majikannya itu, Hii Ik Ting, sebagai defendan.

Dalam tuntutannya itu, Nirmala berkata dia diambil bekerja sebagai pembantu rumah kepada pasangan itu, yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Dr Ismail di sini, pada September 2003.

Nirmala berkata semasa bekerja di rumah majikannya itu, dia telah didera dan dicederakan beberapa kali oleh Yim, antaranya dengan menggunakan seterika panas yang dilekapkan pada badannya pada Januari 2004.

Nirmala disimbah air panas

    

Katanya pada Mac 2004, defendan pertama telah menyimbah air panas ke badannya mengakibatkan dia mengalami kecederaan teruk dan parut-parut yang kekal di kulit.

abused indonesian maid nirmala bonat 170108 yim pek ha Nirmala juga mendakwa telah dipukul dan diketuk oleh Yim dengan cawan besi di bahagian dahinya beberapa kali sebelum dia melarikan diri ke bilik pengawal dan melaporkannya kepada pihak polis.

Wanita Indonesia itu mendakwa bahawa Hii pula telah gagal menghalang isterinya daripada mencederakannya serta gagal memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya kepada beliau.

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang

dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Yim, 41, bekas pramugari, telah dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Nov, 2008 setelah didapati bersalah terhadap tiga tuduhan mencederakan Nirmala.

Hukuman penjara terhadap ibu kepada empat anak berusia empat hingga 11 tahun itu bagaimanapun dikurangkan kepada 12 tahun setelah Mahkamah Tinggi menerima rayuannya pada 3 Dis tahun lalu.

Mahkamah juga membenarkan Yim menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sehingga rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.

- Bernama    

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS