Selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kampus Universiti Malaya (UM) semalam, pro-Aspirasi (pro-A) mendahului dengan memenangi lapan kerusi tanpa bertanding.
Calon Pro-A kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa'. Manakala pro-Mahasiswa (pro-M) pula memenangi empat kerusi tanpa bertanding.
Dua lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas di fakulti undang-undang
Ekoran itu, kini tinggal 18 lagi kerusi fakulti yang akan dipertandingkan Khamis ini bersama kesemua sembilan kerusi umum.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini jurucakap Penggerak Mahasiswa mengesahkan kemenangan tersebut.
Katanya, mereka menang dua kerusi di fakulti ekonomi dan pentadbiran serta fakulti sains dan teknologi maklumat. Manakala dua lagi kerusi dimenangi di pusat sukan.
"Kita menang tanpa bertanding kerana pro-M tidak meletakkan calon di fakulti atau pusat tersebut," katanya.
Menurutnya lagi, mereka juga turut memenangi dua lagi kerusi tanpa bertanding, masing-masing di fakulti alam bina dan fakulti kejuruteraan.
"Terdapat empat yang dipertandingkan di fakulti tersebut, tetapi pro-M hanya bertanding di dua kerusi sahaja. Jadi kita menang tanpa bertanding di dua kerusi lagi," katanya.
Ekoran itu, jurucakap tersebut menjangka Penggerak Mahasiswa berpeluang cerah untuk menguasai 30 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, untuk menebuskan kekalahannya di tangan pro-M dan Bebas dalam pilihanraya kampus tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap itu berkata terdapat dua calon Bebas bertanding merebut kerusi umum. Pertandingan kali membabitkan sembilan kerusi Umum.
Sementara itu, jurucakap pro-M UM pula, Mohd Shafie Hashim ketika dihubungi mengesahkan kumpulannya telah memenangi empat kerusi iaitu dua kerusi di Akademi Pengajian Islam (API) UM dan masing-masing satu kerusi di fakulti perubatan dan fakulti pergigian.