Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berharap isu Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) - antara yang menjadi bahan kempen utama pilihan raya kampus itu - mampu membantu mereka menambah kerusi di UKM kali ini.
Kumpulan itu dilaporkan mendakwa sistem tersebut "mempunyai unsur paksaan itu bertentangan dengan semangat kesukarelaan yang menghidupkan persatuan-persatuan di universiti".
Ia dikuatkuasakan di kampus tersebut mulai tahun lalu sebagai tambahan kepada sijil akademik Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).
Bercakap kepada Malaysiakini semalam, jurucakap Pro-M, Ammar Ismail berkata ekoran maklum balas dan tinjauan di kalangan mahasiswa UKM, pihaknya telah berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof Datuk Razak Mohamad, minggu lalu.
Ammar yang juga mahasiswa tahun empat, Fakulti Pendidikan berkata Prof Razak bersetuju untuk menilai semula sistem tersebut selepas bertemu dengan calon pro-M tahun satu dan dua.
Katanya, isu itu juga diharap memberi keyakinan kepada calon mereka untuk mencapai kemenangan dengan menambah lima lagi kerusi, berbanding 13 kerusi yang dimenangi pada tahun lalu.
Sebanyak 35 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus tahun ini, melibatkan 11 kerusi Umum dan 24 kerusi fakulti.
Dalam pilihan raya tahun lalu, pro-M memenangi 13 kerusi - kurang empat kerusi untuk menang mudah.
Manakala pro-Aspirasi (Pro-A) memenangi 21 daripada 34 kerusi yang dipertandingkan iaitu lapan kerusi umum dan 13 kerusi fakulti.
Menurut Ammar lagi, kumpulan Pro-M juga berhasrat mengintai beberapa kerusi yang dilihat berpotensi memberi kemenangan kepada mereka dalam pilihan raya kali ini.
Fakulti yang menjadi sasaran mereka, antaranya adalah akulti pendidikan, fakulti undang-undang dan fakulti sains dan teknologi, yang masing-masing mempertandingkan dua kerusi.
Selepas berakhirnya penamaan calon semalam, Pro-M telah memenangi satu kerusi tanpa bertanding di fakulti pengajian Islam bagi kerusi tahun satu dan dua.
Penyokong pro-M turut membawa dua kuda mainan yang bertulis “aspirasi”, sambil mengejek lawan mereka yang didakwa dikuasai pihak berkuasa kampus.
UKM antara empat kampus - Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) - yang menghadapi proses penamaan calon pada hari ini.
Mahasiswa bagi keempat-empat kampus tersebut akan mengundi Khamis ini.