Sebagai salah seorang panel forum 'Allah: Siapa Punya?' kelmarin, saya berpendapat bahawa isu kalimah Allah kini tiba di peringkat persoalan sosio-budaya; bukan lagi hanya berlegar kepada persoalan hukum-hakam agama.
Dengan banyaknya surah-surah di dalam Quran, jelas sekali penggunaan nama 'Allah' oleh mingguan Herald tidak bersalahan dengan Islam.
Persoalan sekarang, bukan siapa yang berhak memakai nama 'Allah', tetapi terbau kuat akan wujudnya pihak yang mahu memiliki hak mutlak bagi menafsirkan ayat-ayat al-Quran dalam usaha menguasai doktrin Islam itu sendiri.
Selepas sekian banyak hujah yang dibentang, di hujung forum, Dr Azwira A Aziz (pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia) dua tiga kali berbisik kepada saya, "mengapa jadi begini?"
Maksud beliau, mengapa dalam hal ini, kedapatan cendekiawan, ahli akademik, ahli teologi bahkan ulama tidak menjadi jernih akal budinya berhubung isu yang dibincangkan.
Kita akui bahawa 'pemegang fakta ' bukan bermakna 'pemegang kebenaran '; sama halnya hujah wajar dijawab dengan hujah dan bukannya penglabelan.
Memang, saya tidak punya jawapan ringkas.
Hanya yang dapat dirumuskan bahawa suasana malam itu mengingatkan ungkapan profesor Dr Tariq Ramadan kala memberikan syarahan awam bulan lalu di Kuala Lumpur bahawa ia adalah masalah pemikiran umat. Ia bukannya masalah Islam; apatah lagi masalah Illahi... bukan!
Tidak sekalipun saya cuba menolak Teks; sama ada al-Quran dan hadith, kala mana sekian banyak ayat al-Quran dipetik misalnya daripada surah Ali Imran (64), al-Ankabut (46) bahkan paling jelas, al-Hajj bermula ayat 39 sehingga 46.
Ayat-ayat, kaedah dan disiplin penafsiran juga sempat disentuh Dr Azwira.
Saya kira, pada peringkat ini, adalah keanak-anakan sekali andai ada yang masih membebelkan bahawa umat harus merujuk kepada al-Quran dan hadith (yang diingatkan setiap khutbah Jumaat!) sedangkan memang sudah dilaksanakan seruan itu. Begitu juga rujukan terhadap qias dan ijma' ulama.
Oleh kerana masalah ini adalah masalah umat, masalah pemikiran, tentang faham yang mendasarinya, maka saya dengan tegas sejak dari awal mengajak agar diteliti pengalaman Munshi Abdullah sebagai pengalaman dalam lingkungan sosio-budaya Melayu.
Apakah orang Melayu tidak punya pengalaman sejarah di atas isu serupa?
Apabila nama Munshi dibangkitkan, tuduhan, ejekan dan fitnah terhadap Munshi didendangkan semula. Paling tidak, tuduhan klise bahawa Munshi itu rapat dan terlalu memuja Barat, atau dalam bahasa hari ini dia pasti akan dituduh "agen Barat".
Hubungan baik Munshi dengan sekian ramai orang Inggeris termasuk dengan Stamford Raffles mahupun dengan paderi Kristian yang bernama Thomsen dijadikan alasan untuk menakut-nakutkan Melayu hari ini, seperti mana rasa tidak yakin diri di kalangan masyarakat Melaka kala Munshi masih hidup.
Antara lain, demi muaknya atas tuduhan (labelan) kepadanya, Munshi menuliskan: [D]an banyaklah orang menyatakan pekerjaan itu tiada baik, iaitu merosakkan agama adanya, maka apabila aku mendengar perkataan itu, tunduklah aku sambil keluar air mataku, serta berfikir: 'Dari mana gerangannya datang bencana ini? Terlalu bodoh. '
Tohmah dan fitnah seperti 'paderi Munshi' tidak lain datangnya daripada orang yang dimaksudkan itu. Bukan sahaja bodoh, tetapi penuh pula rasa curiga sebagai lambang tidak ada yakin diri ini.
Islam telah merungkaikannya di bawah makna 'iman' itu sendiri.
Membayangkan masalah sedemikian, Munshi menulis: [M]aka beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu serta memberitahu akan mereka itu, bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang ke dalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka .
Kebimbangan segelintir Muslim andai nama Allah itu disalahguna pihak bukan Islam bukan alasan bagi Muslim tidak memberikan hak dan keadilan kepada yang bukan Islam.
Bahkan Allah SWT jua mengingatkan bahawa Dia jualah yang berkuasa membinasakan kaum-kaum yang berdusta dan melakukan kerosakan seperti kaum Nabi Nuh dan 'Aad, kaum Nabi Salih (Thamud), kaum Nabi Ibrahim, kaum Nabi Lut, kaum Nabi Musa dan penduduk Madyan.
Faktanya, Munshi meninggal dunia (di Jeddah pada 1854) sebagai seorang Muslim; pegangan agamanya tidak pernah goyang dan calar sepanjang beliau melakukan kerja terjemahan Injil, bahkan sepanjang hayatnya.
Begitu juga Thomsen. Dia juga orang alim bagi agamanya. Kealiman dan ketaatannya kepada Kristian sehingga menyebabkan beliau takut untuk menukar barang sepatah pun perkataan di dalam Injil. Dia mahukan Munshi menterjemah sepatah demi sepatah.
Munshi tidak bersetuju. Bagi Munshi, jalan bahasa Melayu berbeza dengan jalan bahasa Inggeris. Andai terjemahan secara literal (harfiah) seperti yang dimahukan oleh Thomsen, akan mengakibatkan maksud asal Injil akan tergelincir.
Contohnya diberikan Munshi sendiri pada halaman 201, ayat 28 dalam edisi 'kitab Injil Tuan Thomsen'. Ayatnya berbunyi: Maka tatkala itu Simeon mengangkat anak 'Isa itu pada tangannya lalu memuji Allah .
Menurut Munshi, jalan bahasa Melayu oleh Thomsen itu membayangkan bahawa Nabi Isa seolah-olah mempunyai anak, sedangkan kata Munshi, [M]aka dalam fahamku demikian kerana belum pernah aku mendengar dalam agama Islam, istimewa dalam agama Masehi, akan 'Isa itu kahwin .
Secara tidak langsung, kerja terjemahan Injil, yang kemudiannya dikenali sebagai "Injil Melayu Melaka dan Singapura", telah membuatkan keyakinan Munshi terhadap ajaran Islam semakin jelas.
Apa yang mengecewakannya, bukan kerja terjemahan itu. Munshi kecewa apabila begitu banyak kesalahan yang dilakukan oleh Thomsen, yang tidak mahu mendengar nasihatnya sebagai guru.
Di pihak Thomsen pula, beliau sangat takut untuk mengubah-ubah letak duduk perkataan daripada Injil versi King James kepada laras bahasa Melayu.
Begitu juga dengan penggunaan nama 'Allah'. Bagi istilah 'tuhan' yang tidak merujuk kepada Tuhan yang disembah, maka telah dihilangkan satu huruf 'lam', menjadi bunyinya 'Alah', sementara bagi maksud Tuhan yang disembah, dikekalkan ejaan alif-lam-lam-ha dengan bunyinya 'Allah'.
Perlu diingatkan bahawa Injil berkenaan dicetak dengan tulisan jawi. Barangkali kalau dilihat seperti mana hari ini, seperti kitab agama di sekolah-sekolah agama Islam negeri Johor. Kitab berkenaan dicetak puluhan kali, dan cetakan pertama di Melaka sebelum di Singapura.
Siapakah yang membeli dan membaca Injil dalam bahasa Melayu itu, kalau tidak kemudiannya dibaca oleh orang Melayu?
Namun, tidak wujud kes yang dapat disahkan bahawa orang Melayu di Melaka atau Singapura, atau Johor, atau Riau (Sumatera) pada zaman itu, misalnya, yang menukar agama mereka kepada seorang Kristian.
Injil Melayu Melaka dan Singapura itu bukanlah Injil yang pertama kali diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Di zaman Belanda, iaitu sebelum Inggeris menguasai Melaka, pemerintah Belanda telah mengarahkan seorang pegawai tingginya yang bernama Klinkert untuk menterjemah Injil dalam bahasa Melayu.
Kira-kira 150 tahun Munshi meninggalkan kita. Cendekiawan, ulama bahkan muslim keseluruhannya tidak boleh mengikuti jejak Vatican dalam kes ahli sains Galileo Galilei yang ditangkap, dipenjara dan diseksa hanya kerana orang pandai itu membuktikan bahawa bumi bukan titik tengah cakerawala seperti mana doktrin Kristian.
Hanya selepas seluruhnya hidup Galileo terseksa; selepas 350 tahun kemudiannya, pada 1992 barulah Vatican mengakui kesalahannya dan memohon maaf.
Arakian, darjat umat dan Melayu tidak akan termuliakan dengan fitnah yang diangkat sebagai 'fakta'; samalah bahawa bahasa Melayu tidak akan jadi bahasa yang besar dan agung tanpa kesediaan menerima ilmu luar ke dalam bahasanya; termasuklah pengetahuan daripada kitab-kitab agama lain.
Dalam sekian banyak pertengkaran dan perbezaan, sedar tidak sedar kedua-dua orang alim itu, Munshi dan Thomsen, telah sama-sama memilih istilah 'Allah'. Mereka sama-sama mengakuinya.
Hasmi Hashim, seorang pengkritik budaya dan penulis rencana, bergiat aktif bersama PKR.
Ulasan-ulasan lain dalam isu ini:
Isu 'Allah' usaha nyahislamkan bahasa Melayu (12 Jan)
Erti dan kesan isu 'Allah' dalam politik Sarawak (11 Jan)
Isu 'Allah' berkaitan fahaman pluralisme agama (8 Jan)
'Kami guna 'Allah' ratusan tahun, kenapa halang?' (8 Jan)
Allah inti akidah, kenapa Katholik mahu gugat? (7 Jan)
Kenapa 'Allah' popular kepada penganut Kristian (6 Jan)