Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

NONE Setiap orang tahu 'Allah' bukan perkataan Melayu, akan tetapi tiada siapapun akan mempersoalkan seorang Melayu menggunakan kalimah itu bagi merujuk kepada Tuhan yang disembahnya kerana orang-orang Melayu adalah muslim.

Dan semua muslim dari segala bangsa memanggil-Nya dengan nama itu kerana itulah nama yang Dia tanzilkan, dan dengan nama itulah Dia diseru oleh hamba-hamba-Nya.

Kita sebenarnya bercakap tentang 'menamakan' Tuhan; kita tidak boleh memberikannya nama yang salah.

Manusia biasa sekalipun akan marah sekiranya nama mereka atau gelaran yang diberikan tidak disebut dengan betul, apatah lagi sekiranya ia salah sama sekali.

Akan tetapi kenapa pula perlu kita memberikan nama kepada-Nya? Bukankah sepatutnya, sekiranya Dia pernah mentanzilkan apa-apa, nama-Nya, itulah yang sepatutnya diketahui dengan jelas dan pasti?

Sekiranya ada sesuatu kitab yang layak dinamakan Kalam Allah, nama-Nya tidak sepatutnya tidak diketahui. Bagaimana mungkin Dia dikenali sekiranya nama-Nya pun tidak diketahui?

Kaum muslimin tidak mencipta nama untuk Tuhan yang mereka sembah apatah lagi meminjam nama-nama dari mana-mana bahasa bagi merujuk kepada Tuhan.

Mereka tidak biasa berbuat demikian kerana nama agama yang mereka anuti itupun, (yakni Islam) dan nama orang-orang yang menyerah diri kepada Allah dengan mengikuti agama itu (muslim/muslimun) diberikan oleh Allah sendiri, bukan mereka yang menciptanya, apatah lagi diberikan oleh orang luar.

Justeru, mereka tidak boleh menerima gelaran ‘Mohemmadans’, dan agama Islam sebagai ‘Mohemmadanism’.

Sebab-sebabnya ialah: pertama, Muhammad bukanlah sebagaimana Jesus Christ pada tanggapan penganut Kristian; muslim tidak menyembah Muhammad.

Kedua, Islam bukan suatu ideologi atau falsafah yang dicipta oleh Muhammad justeru boleh digelar Mohemmadanism.

Sebab ketiga ialah muslimin sudah kenal siapa diri mereka sejak dari awal lagi.

Mereka tidak memanggil diri mereka muslimin kerana itulah nama yang diberikan oleh orang, tidak seperti penganut Kristian yang memperolehi nama itu dari musuh mereka yakni orang-orang Rom.

Pada pandangan seorang Muslim, amatlah tidak wajar bagi suatu agama yang mendakwa agama yang benar dan ditanzilkan tetapi tidak mempunyai nama bagi Tuhan yang mereka seru manusia untuk menyembahnya.

Lebih memalukan lagi sekiranya agama itu meminjam nama itu dari agama lain lebih-lebih lagi pula apabila agama itu dianggap sesat dan menyeleweng!

Apabila sesetengah pemuka agama Kristian menuntut 'hak' menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian dalam bahasa Melayu sudah pasti umat Islam akan membantah. Ini tidak sama sekali bermakna mereka mahu 'memonopoli' kalimah itu.

Sebaliknya mereka hanya menuntut supaya makna sesuatu kalimah tidak dipermainkan sesuka hati. Kalimah yang tepat mesti digunakan bagi merujuk kepada makna yang dimaksudkan.

Secara praktikalnya orang Melayu tidak berupaya menghalang mana golongan Kristian yang mahu memanggil Tuhan mereka dengan sebarang nama termasuklah 'Allah' bahkan 'Mickey Mouse' sekalipun.

Walaubagaimanapun mereka terpaksa menentang kerana isunya kini adalah isu bahasa Melayu, dan kalimah Allah seperti yang difahami dalam bahasa Melayu tidak pernah merujuk kepada tuhan sembahan orang Kristian.

Kalimah 'Tuhan' sebenarnya sudah memadai untuk tujuan itu, dan kedegilan mahu menggunakan kalimah 'Allah' dilihat sebagi penzahiran permusuhan melalui serangan terhadap keutuhan bahasa Melayu itu sendiri.

Segolongan pemuka agama Kristian berhujah bahawa 'Allah' juga bermakna tuhan agama Kristian kerana, menurut mereka, kalimah itu telah digunakan lama dahulu dalam terjemahan Injil Melayu dan buku-buku sembahyang mereka.

Mereka juga berhujah bahawa kalimah 'Allah' telah lama digunakan oleh masyarakat Kristian-Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Andaikan mereka dapat buktikan kewujudan dokumen-dokumen di atas di mana kalimah Allah boleh ditemui digunakan. Kita boleh membalas bahawa, ia tidak sama sekali membuktikan bahawa 'Allah' dalam bahasa Melayu juga bererti tuhan Kristian.

Ia hanya menunjukkan bahawa percubaan pendakwah-pendakwah Kristian untuk memaksakan maksud mereka terhadap kalimah berkenaan sudah lama berlaku.

Sama ada dokumen itu baru atau lama bukanlan soalnya di sini.

Apa yang penting ialah bangsa Melayu tidak pernah menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian sebaliknya sesetengah puak Kristianlah, dahulu dan sekarang, yang telah bertungkus-lumus berusaha membuat mereka menerima makna tersebut.

Kalaulah kalimah Allah itu sememangnya bererti tuhan seperti difahami orang Kristian, apakah gunanya lagi usaha mengkristiankan bangsa Melayu kerana mereka telahpun Kristian pada hakikatnya!

Kaum muslimin dan Kristian masing-masing mendakwa agama mereka berasaskan wahyu yang ditanzilkan oleh Tuhan.

Kitab pegangan kaum muslimin, al-Qur’an, yang ditanzilkan dalam bahasa Arab dengan jelas menyatakan bahawa Allah ialah nama Tuhan yang disembah oleh setiap muslim tidak kira bangsa atau tanahairnya.

Apa yang kita tahu ialah kalimah Allah tidak pernah digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek ataupun Latin Kitab Perjanjian Baru dan Lama, dan tiada bukti yang boleh dipercayai tentang kewujudan terjemahan Injil dalam bahasa Arab sebelum Islam.

Terjemahan Arab yang pertama dan yang terpenting yang menjadi rujukan utama kaum Yahudi di negara-negara Islam telah dilakukan oleh Sa’adia ben Joseph (892-942). Beberapa terjemahan Arab moden oleh puak Katholik dan Protestan telah dibuat pada kurun-kurun ke-19 dan 20 Masihi.

Ada kemungkinan bahawa kalimah Allah digunakan bagi merujuk Tuhan Kristian dalam terjemahan-terjemahan ini. Namun persoalannya kenapa 'Allah', dan bukan istilah-istilah yang digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek dan Latin?

Apa yang nyata, kalimah 'Allah' hanya digunakan apabila Bible diterjemahkan kepada bahasa-bahasa kaum muslimin, antaranya bahasa Melayu di mana kalimah itu wujud dan digunakan hasil daripada pengislaman bahasa dan akal bangsa Melayu.

Kita tidak mungkin menjumpai kalimah Allah dalam Algonquin Bible yang diterjemahkan untuk orang India Amerika pada 1663, apatah lagi dalam versi-versi lain seperti Wycliffe, Tyndale, Douay, King James atau Confraternity.

Tiada sebab untuk mereka menggunakan kalimah Allah dalam terjemahan berkenaan bagi merujuk kepada Tuhan Kristian kerana Allah tidak pernah menjadi tuhan orang India Amerika ataupun orang Inggeris, justeru kalimah itu tidak wujud dalam bahasa-bahasa mereka.

Amatlah menarik memikirkan kenapa sebahagian pemuka agama Kristian di negara ini begitu bersungguh-sungguh menuntut 'hak' menggunakan kalimah Allah dengan berhujah bahawa kalimah itu telah lama digunakan oleh Arab Kristian sebelum kedatangan Islam lagi.

Semenjak bila pula orang-orang Arab Kristian dan bahasa mereka menjadi rujukan penting bagi agama Kristian dan masyarakat Kristian secara amnya?

Bahasa Arab langsung tidak penting jika dibandingkan dengan bahasa Hebrew, Greek ataupun Latin dalam soal memahami agama Kristian dari sumber-sumber utamanya. Sebaliknya, tiada sesiapapun boleh memahami agama Islam tanpa memahami bahasa Arab.

Yang kita maksudkan dengan bahasa Arab di sini ialah bahasa Arab yang telah diislamkan, bahasa yang telah melalui perubahan menyeluruh dengan penurunan al-Qur’an.

Kepentingan bahasa Arab Qur’ani dalam soal pembentukan pemikiran dan pandangan hidup kaum muslimin tidak boleh dibandingkan langsung dengan kedudukan bahasa Arab ketimbang agama Kristian.

Apabila puak-puak Kristian di negara kita berhujah kepada kerajaan bahawa orang Arab Kristian sebelum Islam telah lama menggunakan kalimah Allah, mereka mengandaikan bangsa Melayu itu seumpama robot yang akan meniru segala apa yang datang dari Tanah Arab. Mereka silap.

Apabila bangsa Melayu menggunakan kalimah Allah dalam bahasa mereka, yang mereka maksudkan ialah Allah yang dinyatakan dalam al-Qur’an, bukan yang dimaksudkan oleh kaum Arab jahiliyyah mahupun kaum Kristian.

Bangsa Melayu tiada hubungan kebudayaan atau keagamaan dengan Arab jahiliyyah mahupun Arab Kristian sebelum ataupun selepas Islam. Hubungan mereka dengan bangsa Arab terbina atas satu asas yang dikongsi bersama yakni Islam dan al-Qur’an.

Segala kata kunci berserta dengan makna dan pengertiannya yang membentuk pandangan hidup bangsa Melayu diperolehi daripada al-Qur’an. Bahkan semua kata kunci ini dikongsi oleh bahasa-bahasa Islami yang lain, bukan sahaja bahasa Melayu.

Apa yang jelas adalah percubaan puak-puak Kristian tertentu menyahislamkan (deislamize) bahasa Melayu bagi memudahkan penyebaran dakyah mereka.

Sekiranya mereka merasa berhak untuk menyebarkan agama mereka kepada sesiapa sahaja (termasuk bangsa Melayu), tidakkah bangsa kita juga punya hak untuk menyanggah sebarang usaha merendah-rendahkan budaya dan agama kita?

Malangnya dari kalangan kitalah muncul pengkhianat budaya dan agama kita. Merekalah yang membenarkan ‘bahasa Melayu’ dipanggil ‘bahasa Malaysia’.

Md Asham Ahmad seorang zamil Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS