Most Read
Most Commented
Read more like this

Tahun 1970-an menyaksikan pergerakan aktif siswa. Mereka peka perkembangan sekitar dan bertindak untuk cuba membetulkan kepincangan yang berlaku. Siswa ketika itu mampu berbuat demikian kerana mereka bebas.

Mereka tidak dibelenggu ikatan atau kaitan dengan mana-mana kuasa - kerajaan mahupun pembangkang.

Namun kini, pergerakan siswa semakin pudar dan lemah. Jika dahulu mereka menyanggah kepincangan dan penyelewengan, mereka membela kemiskinan dan kemelaratan rakyat. Kini siswa tidak lagi mampu bertindak demikian, malah tidak mampu membela nasib diri sendiri. Hari ini gerakan siswa dibelenggu kuasa politik. Mereka hanya menjadi alat.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dikenali intim dengan Umno. Masakan tidak, presidennya sendiri pernah menjadi wakil rakyat di atas tiket Barisan Nasional. Malah presiden itu bukan lagi seorang siswa, apatah lagi seorang pelajar.

Beliau sudah cukup tua dan lebih sesuai bergerak secara langsung dalam parti, tetapi beliau gagal mendapatkan sokongan dalam parti. Oleh itu pilihan yang ada hanya membina pengaruh dan asas kuasa melalui 'pertubuhan bukan kerajaan' (NGO) dan persatuan pelajar.

Atas hakikat ini, tidak banyak yang boleh diharapkan daripada GPMS. Ia tidak akan menegur kerajaan, kerana ia juga adalah sebahagian daripada rangkaian kerajaan. Ia tidak akan melakukan sesuatu yang mendahului parti pemerintah kerana ia perlu kekal sebagai pengikut dan alat tunggangan yang baik.

Politik Gamis, BBMN dan PKPIM

Satu organisasi pelajar lain ialah Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis). Ia adalah gabungan persatuan mahasiswa Islam (PMI) daripada beberapa universiti awam. Ia diterajui oleh mereka yang masih menuntut di menara gading, bukan oleh seorang Datuk atau Yang Berhormat.

Mungkin Gamis lebih baik daripada GPMS tetapi malangnya ia juga menyerahkan tengkuk untuk digembala oleh kuasa politik, yakni PAS. Oleh itu ia sekali gus melenyapkan kebebasan yang harus menjadi asas utama gerakan siswa yang berkesan.

Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) pula merupakan gabungan persatuan mahasiswa iniversiti (PMU). Oleh kerana kebanyakan PMU dikuasai oleh proksi-proksi PMI, maka BBMN sekadar menjadi jelmaan Gamis dengan rupa dan imej yang lain. Dasar dan haluannya tetap dikawal dan ditentukan oleh PAS.

Satu lagi persatuan yang besar ialah Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Wujud sejak 1961, ia pernah memainkan peranan penting dalam kebangkitan siswa 1970-an.

Namun kini setelah diterajui oleh Asyraf Wajdi Dusuki, sebagai presiden, ia lebih mereng dan cenderung menyokong kerajaan sedia ada, walaup mungkin dengan cara yang tidak berterus-terang dan nyata. Masakan tidak, Asyraf sendiri adalah anak kepada Dusuki Ahmad, setiausaha politik kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kini Umno mempunyai GPMS dan PKPIM, dua persatuan pelajar yang paling panjang sejarahnya; sementara PAS menguasai Gamis dan BBMN, dua organisasi yang baru diwujudkan untuk menyaingi dua organisasi pelajar yang intim dengan Umno.

Oleh itu apa harapan yang ada untuk gerakan siswa kembali menjadi benar-benar berkesan?

Tercetusnya reformasi di Malaysia menyaksikan kewujudan beberapa organisasi siswa yang lebih kecil dan mendakwa bebas. Siswa Cina membentuk Pergerakan Belia dan Pelajar Demokratik Malaysia (Dema). Ia mengaku sebagai sebuah pegerakan berbilang kaum tetapi hampir semua ahlinya terdiri daripada kaum Tionghua, persis DAP. Terdapat juga Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (Lantang) yang hilang kelantangannya bersama masuknya dunia ke alaf baru.

Dua prinsip bergerak

Dewasa ini tidak ada pergerakan siswa yang cukup besar, bebas dan benar-benar mampu memberikan impak kepada keadaan semasa negara.

Namun menyedari kepentingan siswa, Pemuda Parti Keadilan Nasional mewujudkan Biro Mahasiswa. Apa sebenarnya matlamat dan peranan biro ini sukar dipastikan. Mungkin ia diwujudkan kerana pemuda parti politik lain, khususnya Umno, juga mempunyai biro yang sama.

Mungkin biro ini ditubuhkan untuk mengumpul kekuatan siswa bagi menyokong Keadilan. Sekali lagi siswa cuba diperalat dan digembala. Nasib baik pengerusi Biro Mahasiswa itu ialah Yusri Mohamad, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau seorang yang lemah dan masih gagal menggerakkan biro tersebut sehingga kini.

Apa sebenarnya kepentingan kebebasan sesuatu pergerakan siswa? Apakah kebebasan membawa maksud siswa perlu kelihatan selekeh dan tidak terurus? Apakah kebebasan membawa maksud siswa mesti menghentam kerajaan semata-mata tanpa ada ruang untuk memberikan cadangan dan idea membina?

Kebebasan perlu agar siswa boleh bergerak berasaskan dua prinsip utama - kebenaran dan keadilan. Siswa perlu bebas agar mereka boleh mengkritik dan memberikan cadangan untuk membetulkan kesilapan yang berlaku. Mereka perlu bebas menegur sesiapa, hatta pemerintah dan juga pembangkang. Siswa tidak boleh hanya lantang terhadap suatu pihak tetapi kaku terhadap suatu pihak lain yang disokongnya.

Jika gerakan siswa sudah membuat keputusan pihak mana yang wajib disokongnya, maka ia pasti enggan melakukan sesuatu yang mungkin akan melemahkan sokongan kepada pihak tersebut. Ia akan memelihara kepentingan pihak yang disokongnya, sama ada ia baik atau buruk.

Siswa tidak seharusnya digunakan untuk membina sokongan politik atau mendiamkan bantahan. Mereka adalah suara hati masyarakat yang perlu dibiarkan bebas sebagai jurubicara umat. Biarkan siswa bercakap, agar kerajaan boleh membetulkan kesilapan yang dilakukan. Biarkan siswa menegur, agar pembangkang boleh sedar daripada kealpaannya. Moga-moga menjadi kerajaan yang lebih baik di masa depan. Ini peranan siswa.

Bagi mereka yang belum nampak apa kaitannya gerakan siswa dan pelacuran: Penyerahan tengkuk kepada kuasa politik itulah pelacuran gerakan siswa. Pelacurnya ialah presiden dan pemimpin gerakan siswa. Pelanggannya ialah kuasa-kuasa politik itu.


AHMAD ZAKI YAMANI ZAINON pernah menjawat Setiausaha Agung PKPIM dan dipecat daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1999 setelah dituduh terlibat dengan gerakan reformasi.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS