Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rumah diarah roboh selepas didesak pembangkang
Diterbitkan:  Dec 2, 2009 7:42 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

Seorang ibu tunggal bimbang kerana rumah yang sudah didiami oleh keluarganya sejak tahun 1876 di Kampung Temiang akan diroboh oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) disebabkan desakan sebuah parti pembangkang.

Zarina Bee Mohd Ibrahim, 65, kini menetap di rumah kayu itu bersama seorang anak lelakinya yang masih bujang. Rumah beliau merupakan satu-satunya rumah Melayu yang masih kekal dalam daerah Temiang di kawasan bandar Seremban.

"Dulu kawasan ini dikenali dengan Kampung Haji Hamid tetapi sejak 1970an ramai terpaksa berpindah kerana tanah-tanah di situ telah dibeli oleh pemaju," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya yang beralamat 44, Jalan Haji Hamid off Jalan Temiang.

Rumah itu didirikan di tanah tol milik kerajaan dan dikelilingi oleh rumah-rumah batu.

"Walaupun makcik tidak faham bahasa Cina tetapi ada jiran yang bersimpati dan memberitahu bahawa kisah rumah makcik ada keluar dalam surat khabar Cina tempatan dan wakil parti pembangkang menyebut rumah makcik menghalang pembinaan jalan ke kampung itu," katanya.

Zarina Bee berkata keluarganya membayar sewa tanah itu kepada MPS sejak dari tahun 1960-an.

"Kami diberi notis pindah pada 16 Nov lalu tanpa sebarang pampasan kerana MPS tuduh makcik duduk secara haram di tanah kerajaan. Yang peliknya, semua rekod pembayaran sewa telah hilang dari pejabat MPS," katanya.

Zarina Bee kesal kerana kakitangan MPS tidak langsung membantu beliau sebagai anak jati di kampung itu, sebaliknya tunduk dengan desakan wakil parti pembangkang itu.

Beliau meminta pegawai MPS turun padang dan melihat kedudukan rumahnya yang didakwa menghalang pembinaan jalan sedangkan ada rumah lain di hadapan dan di belakang tanahnya tetapi tidak pula mendapat notis roboh.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Taman Permai, Hafiz Malek, berkata tinjauannya di kawasan itu mendapati "ada sesuatu yang tidak kena".

"Hanya rumah makcik ini sahaja dikatakan menghalang pembinaan jalan sedangkan rumah-rumah lain yang jelas berbuat demikian tidak diberi notis pindah, malah ada antara mereka yang berani mengubahsuai rumah," katanya.

Beliau meminta MPS supaya tidak tunduk kepada desakan golongan yang mempunyai kepentingan tertentu. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS