Most Read
Most Commented
Read more like this

Pelaksanaan sistem meritokrasi untuk kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) telah mewujudkan persaingan tidak adil di antara pelajar matrikulasi dan lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kata Pengetua Kolej Era, Dr Kua Kia Soong.

"Nampaknya tidak ada ketelusan dalam pemilihan pelajar berdasarkan sistem baru itu kerana kebanyakan pelajar yang mendapat tempat adalah dari kalangan mereka yang mengikuti program matrikulasi," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Beliau berkata, persaingan di antara pelajar matrikulasi dan lulusan STPM tidak dianggap adil kerana sistem matrikulasi diwujudkan sebagai persediaan pelajar bumiputra untuk memasuki universiti awam.

"Oleh itu, sistem ini mungkin memberi kelebihan kepada pelajar bumiputra secara keseluruhannya," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Profesor Dr Hassan Said mengumumkan pelaksanaan meritokrasi yang bermula tahun ini menyaksikan pelajar bumiputra meraih tempat yang jauh lebih banyak daripada kuota 55 peratus kemasukan bumiputra yang pernah diberikan sebelum ini.

Bilangan pelajar bumiputra kali ini melonjak kepada 22,557 orang, menjadikan peratusan mereka sebanyak 68.9 peratus. Sebanyak 8,665 lagi (26.4 peratus) ialah pelajar kaum Cina manakala selebihnya 1,530 (4.7 peratus) pelajar kaum India.

Bagi ijazah pertama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf, kemasukan bumiputra ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meliputi 1,272 orang berbanding 1,207 Cina dan 211 pelajar India. UTM adalah satu-satunya IPTA yang menerima kemasukan pelajar melalui saluran kelayakan SPM.

Menurut Dr Kua, ketelusan dalam pengambilan pelajar bumiputra ke IPTA adalah penting untuk memastikan negara dapat meningkatkan lagi piawaian pendidikan dengan menerima pelajar yang terbaik ke universiti.

"Tentunya kita tidak boleh bertolak-ansur dalam soal piawaian pendidikan di negara kita," tambahnya.

Panel bebas

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang juga mempersoalkan statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan itu, serta mencadangkan penubuhan sebuah panel bebas untuk mengkaji ketelusan sistem tersebut.

Lim mengakui beliau sendiri tidak menjangka peratusan pelajar bumiputra yang berjaya memasuki IPTA jauh mengatasi ketetapan kuota 55 peratus sebelum ini.

Bagaimanapun, Lim tetap mempertahankan bahawa negara tidak lagi memerlukan sistem kuota berdasarkan kaum kerana ia tidak sesuai lagi dilaksanakan sekarang.

Sementara itu, Pengarah Biro Pendidikan DAP, Hew Kuan Yau pula mengaitkan pengurangan peratusan pelajar bukan bumiputra yang memohon masuk ke universiti melalui sijil STPM disebabkan oleh "krisis keyakinan" kerana peluang terlalu tipis sekiranya memohon melalui cara tersebut.

"Sekiranya mereka mempunyai peluang yang sama, tanpa kebimbangan saikologi dengan sistem kuota, mungkin ramai pelajar bukan bumiputra mahu mengambil STPM dan bekerja keras untuk mendapatkan tempat ke universiti," katanya.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya sedar bahawa penurunan bilangan pelajar bukan bumiputra di IPTA akan memberikan kesan yang serius kepada negara.

"Ini kerana pelajar bumiputra akan memenuhi IPTA manakala pelajar keturunan India dan China pula akan memenuhi institut pengajian tinggi swasta (IPTS)," katanya.

Hew, yang turut mengalu-alukan perlaksanaan sistem meritokrasi, mengakui bahawa pelajar bumiputra sebenarnya mampu untuk bersaing.

Selaras dengan itu, beliau menggesa kerajaan untuk memansuhkan terus sistem kuota dalam suatu jangkamasa yang ditetapkan serta membuat pengumuman mengenainya.

Dakwaan disangkal

Sementara itu, Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda Umno, Dr Adham Baba pula menyangkal dakwaan yang mengatakan"pertandingan tidak dibuat di atas padang yang sama rata" untuk mempertikaikan sistem tersebut.

"Mereka perlu sedar bahawa sistem matrikulasi telah lama diwujudkan oleh kementerian dan ianya telahpun dipersetujui oleh semua pihak sebelum ini demi kebaikan bersama," katanya.

"Hakikatnya, pelajar bukan bumiputra jauh lebih bernasib baik dari pelajar bumiputra kerana mereka masih mampu meneruskan pengajian di IPTS sekiranya mereka tidak mendapat tempat di universiti awam," katanya.

Pendapat beliau turut disokong oleh Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Mohd Zaidi Aziz yang menegaskan bahawa adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak mempersoalkan kewibawaan sistem merit ini kerana semata-mata pencapaian di luar dugaan pelajar bumiputra.

Katanya, mereka sepatutnya melihat pencapaian tersebut sebagai suatu perkembangan positif kerana ia mampu mengimbangi bilangan pelajar bumiputra dan bukan bumiputra di pusat pengajian tinggi.

"Buat masa ini jumlah tersebut adalah tidak seimbang kerana hampir semua pelajar di IPTS terdiri dari bukan bumiputra," kata beliau.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS