Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gantung sebat Kartika 'langgar prosedur mahkamah'

Tindakan ketua hakim syarie Pahang menggantung keputusan menyebat Kartika Sari Dewi Shukarno melanggar prosedur mahkamah syariah negeri berkenaan, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Timbalan presidennya Muhammad Burok berkata, campur tangan daripada pihak yang tidak berkaitan dalam kes berkenaan juga menggugat pentadbiran keadilan kes tersebut.

"Dengan hormatnya saya bertanya atas kapasiti apa ketua hakim Pahang menggantung perintah mahkamah tinggi (syariah)?

"Adakah dia duduk di situ sebagai ahli mahkamah rayuan (syariah). Mahkamah rayuan belum bersidang lagi, belum ada semakan," kata Muhammad dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

"Jadi dia beri perintah itu atas kapasiti apa? Ketua hakim? Tapi yang berhak untuk menggantung keputusan ini adalah mahkamah rayuan, yang mana ketua hakim boleh menjadi panel dalam mahkamah rayuan ini."

Jelasnya lagi, mahkamah yang berhak untuk membuat keputusan lanjut - termasuk menangguhkan hukuman - adalah mahkamah rayuan, dan bukannya ketua hakim.

"Jadi keputusannya nanti adalah keputusan mahkamah rayuan, bukan keputusan ketua hakim," katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan panel hakim rayuan syariah "masih belum dilantik" di Pahang.

"Kalau semua tahu tentang prosedur ini, maka kemelut ini tidak berlaku sekarang," jelas Muhammad lagi.

Tambahnya, walaupun tempoh rayuan telah tamat, Kartika masih boleh memohon untuk melanjutkan tempoh rayuan.

"Ada prosedur untuk menyemak semula hukum itu kerana waktu rayuan sudah tamat. Jadi ada pilihan, apabila rayuan sudah tamat, dia boleh ke mahkamah untuk melanjutkan masa merayu," katanya.

Tambahnya, kedua-dua pihak pendakwaan dan pesalah juga boleh memohon untuk menyemak keputusan berkenaan, manakala hakim juga boleh menyemak keputusannya sendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS