kemaskini 5.05pm Ketua Pemuda DAP Anthony Loke Siew Fook membuat aduan polis hari ini dengan "menafikan sekeras-kerasnya" menghina Islam yang didakwa tuduhan palsu terhadapnya melalui blog dan mesej SMS.
Tuduhan terhadapnya sejak minggu lalu berbangkit sebagai susulan ulasan Loke, yang juga wakil rakyat Rasah, terhadap artikel Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, seorang pensyarah kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Menulis di kolumnya di Mingguan Malaysia , Dr Mohd Ridhuan mengulas isu desakan tunang Teoh Beng Hock untuk menamakan anak yang dikandungnya sekarang dengan nama mendiang - mendapat sokongan meluas pemimpin Cina, termasuk Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.
"Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak menteri dalam negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah.
"Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf).
"Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini?" tulisnya dalam artikel 'Nasib Melayu di bumi Melayu'.
"Sedarkah ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka?
"Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa menteri dalam negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini?
"Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini."
Mengulas artikel ini, Loke menyifatkan Dr Mohd Ridhuan sebagai "kejam dan tidak berhati perut" terhadap anak kecil Teoh dan mendesak pemimpin Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) meminta maaf kepada keluarga mendiang.
Kenyataan diterbitkan di blog SJS and Team , lalu mengundag reaksi menghentam Dr Mohd Ridhuan. Sebagai reaksi balasnya, beberapa pihak termasuk ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menganggap "laman web itu menghina Islam.
Dalam kenyataannya, ahli parlimen PKR berkata "adalah jelas laman web yang menyiarkan kenyataan Loke itu bertindak melampau, kurang ajar, biadap dan keterlaluan" dan juga "menghina Islam dengan bahasa kesat, lucah, biadap dan melampau."
Dalam aduannya Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini, Loke menafikan sekeras-kerasnya pernah menulis beberapa artikel menghina Islam dan juga Sultan Perak dan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.
"Dalam dua hari (kebelakangan) ini, beberapa blog dan sebaran SMS telah menuduh saya menulis yang dikatakan menghina Islam dengan kata-kata lucah dan kesat dan yang terbaru menuduh saya menghina Sultan Perak," laporan polis itu dipetik.
"Mereka mendakwa saya menulis artikel-artikel tersebut dalam laman blog http://sjsandteam.wordpress.com/. Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak tahu-menahu tentang kewujudan blog ini dan tidak tahu siapa pemunya blog tersebut.
"Saya hanya mengetahui bahawa ada orang yang tidak bertanggungjawab yang telah meletakkan satu kenyataan akhbar saya yang bertajuk 'Ridhuan Tee must apologize to Teoh Bneg Hock’s family' ke dalam blog tersebut.
"Selepas itu, ada pemberi-pemberi komen yang saya tidak tahu siapa telah menulis beberapa ayat yang kesat terhadap Ridhuan Tee dan agamanya.
"Saya langsung tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen tersebut."
Menurut ADUN Lobak, erdapat artikel yang menuduhnya menghina Sultan Perak dan Raja Nazrin seperti didakwa blog-blog marahku.blogspot.com dan kitaanakmelayu.blogspot.com.
"Saya menafikan sekerasnya-kerasnya dakwaan tersebut. Saya tidak pernah menulis apa-apa tulisan berkenaan dengan Sultan Perak. Ia adalah satu dakwaan yang palsu dan fitnah terhadap saya," kata Loke dalam aduan tersebut.