Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7.25pm Tiga persatuan penjaja membuat laporan polis terhadap Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) yang mengadakan perhimpunan anti-akta itu Sabtu lalu sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

Persatuan Penjaja Lorong Masjid India, Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah dan Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan (PPBWP) ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi jam 12.15 tengah hari ini bagi menuntut ganti rugi di atas kerugian yang dialami.

Membuat aduan bagi pihak 1,000 peniaga sekitar Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menyertai tiga persatuan itu, Presiden PPBWP Rosli Sulaiman berkata, demonstrasi itu membawa kerugian RM10 juta.

“Kumpulan (penunjuk perasaan) ini secara tiba-tiba bertukar ganas dan merusuh serta merosakkan harta-benda awam.

“Tindakan yang dilakukan kumpulan ini (menyebabkan), pihak berkuasa terpaksa melakukan tindakan drastik dengan melepaskan gas pemedih mata dan memancutkan air bertekanan tinggi.

“Disebabkan ini, premis perniagaan yang berada di sekitar kawasan terbabit terpaksa ditutup. Sehubungan itu, kami mengalami kerugian yang amat teruk,” laporan polisnya dipetik.

Bercakap dalam sidang media, Rosli berkata, aduan polis itu langkah awal sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap GMI.

Beliau menjelaskan, kerugian yang dialami termasuklah kerosakan barang-barang, kerugian akibat penutupan kedai dan kekurangan pelanggan.

“Selama ini masyarakat menjadikan sekitar Jalan Masjid India tempat membeli-belah. Sekarang, ia kawasan tumpuan penganjur mengadakan demonstrasi.

“Ini pun menjadi masalah kepada masyarakat peniaga ini. Sehingga hari ini mereka merasakan persekitaran kawasan itu tidak selamat,” tambah Rosli.

Peguam bagi menangani tuntutan mereka telah dilantik dengan khidmat guamannya dibiayai Umno Wilayah Persekutuan, katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS