Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Anwar: Pendakwa dapat penangguhan sementara
Diterbitkan:  Jul 22, 2009 2:05 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Mahkamah Tinggi hari ini memberikan penangguhan pelaksanaan interim, bagi permohonan penangguhan yang dibuat oleh pihak pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan sebahagian besar dokumen yang diminta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah memerintahkan ianya diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan kes liwatnya bermula, sementara menunggu perbicaraan permohonan penangguhan pelaksanaan pada hari Jumaat ini.

Pada 16 Julai lalu, Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan Anwar dan mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen itu dalam tempoh tujuh hari, dan tempoh itu tamat esok.

Mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk mendengar sebutan semula permohonan Anwar bagi mengenepikan dakwaan liwat terhadapnya dan sebutan semula kes itu.

Mohamad Zabidin hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan menangguhkan pendengaran bagi permohonan penangguhan yang dibuat, untuk membolehkan ia menjawab afidavit sokongan yang diserahkan kepadanya oleh pihak pendakwaan semalam.

Mahkamah hari ini dijadualkan untuk mendengar permohonan penangguhan itu, namun seorang daripada peguam Anwar, Amer Hamzah Arshad berkata pihaknya hanya menerima salinan notis usul serta afidavit itu semalam, dan memerlukan masa untuk menjawabnya.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, membantah kerana menurutnya afidavit yang dikemukakan itu lebih bersifat fakta undang-undang dan berhubung dakwaan.

Di dalam affidavit itu, pihak pendakwaan antaranya menyatakan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah pada 16 Julai itu adalah perlu kerana perintah itu berhubung kenyataan saksi yang dirakamkan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah yang diarahkan dibekalkan kepada Anwar, akan memberi impak yang mana akan memudaratkan penyiasatan pendakwaan bukan sahaja dalam kes ini tetapi dalam kes jenayah lain.

Affidavit itu juga menyatakan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu juga perlu bagi mengelakkan rayuan pendakwaan terhadap perintah itu di Mahkamah Rayuan menjadi akademik kerana ia adalah persoalan undang-undang yang penting.

Anwar, 65, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 24, di Desa Damansara Kondominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara pada 26 Jun tahun lalu.

Hakim turut membenarkan permohonan peguam Amer Hamzah untuk memberi kebenaran kepada Anwar untuk tidak menghadiri pendengaran permohonan penangguhan itu Jumaat ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS