Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berikut bahagian kedua wawancara eksklusif Malaysiakini dengan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan. Baca bahagian pertama 'Dakwah PAS kepada Umno seperti Musa temui Firaun'

Bawah kepemimpinan ustaz, apakah ruang-ruang baru yang hendak diterokai?

Dalam muktamar (Dewan Pemuda) lepas, kita ada projek "Semenanjung 2" bagi mengukuhkan tapak Dewan Pemuda di Sabah, Sarawak dan Labuan. Sudah sampai masanya tempat-tempat ini diberikan perhatian serius.

BN masih mampu menjadi pemerintah kerana sumbangan (undi) dari Sabah dan Sarawak. Kalau tidak kerana kerusi-kerusi di negeri ini, BN akan tumbang di peringkat persekutuan.

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 02 Jadi untuk itu, kita fikir, Sabah dan Sarawak tidak boleh dipandang di kelas kedua atau dipandang sepi. Kita bakal mewujudkan satu lajnah (biro) baru khusus untuk Sabah dan Sarawak agar kita dapat benar-benar pastikan PAS mampu tapak kukuh seperti di Semenanjung.

Kedua, saya melihat apa yang perlu dilakukan dalam Pemuda hari ini ialah memanfaatkan semaksimum mungkin tenaga atau sumber-sumber dalam parti, termasuk exco Dewan Pemuda PAS.

Sebelum ini, kita lihat kecenderungan, sama ada sedar atau tidak, kalau nak buat kenyataan akhbar, kalau nak buat kenyataan rasmi, biasanya oleh ketua Pemuda. Akhirnya, tradisi itu sedikit sebanyak menenggelamkan exco-exco Pemuda.

Jadi tahun ini, saya ambil pendekatan bekerja ala kabinet. Maknanya, selepas ini, exco Pemuda yang memegang portfolio masing-masing, dia akan keluarkan kenyataan sendiri bersesuaian dengan portfolionya. Dia akan bertindak dengan ruang dan bidang kuasa yang diberikan sebebas mungkin tanpa perlu terikat atau dibayangi oleh ketua Dewan Pemuda sendiri.

Akhirnya, akan dapat dilihat benar-benar Pemuda itu bekerja secara bersama. Beginilah saya rasa asas kekuatan sebuah organisasi.

Sebelum ini kenapa jadi begitu, ustaz?

Ia bukanlah dirancang, tetapi terjadi secara tidak langsung, kerana faktor ketua mungkin lebih menonjol, media tertumpu kepadanya. Kebetulan, kedua-dua ketua Pemuda sebelum ini terdiri daripada YB, ahli parlimen. Jadi media mesti ikut beliau. Secara tidak langsung, jadi (gejala) begitu.

Jadi, saya rasa (keadaan) itu perlu diubah, dengan saya tidak menganggap apa yang berlaku sebelum itu satu kesilapan, sebab ia berlaku secara tidak langsung.

Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub sebagai YB sebelum ini kelihatan agak menonjol, bagaimana ustaz (sebagai bukan wakil rakyat) hendak membuat perubahan?

Saya lihat itu satu cabaran bagi diri saya sendiri sehingga saya terpaksa membuat lonjakan dua kali ganda. Kalaupun tidak melebihi mereka, kalau boleh saya hendak duduk sebaris dan sebanding dengan mereka. Saya harus bekerja dua kali ganda lebih keras.

Insya Allah, saya dibantu oleh kumpulan yang cukup baik. Dalam mesyuarat Dewan Pemuda pertama semalam (15 Jun), ia cukup erat dan memberangsangkan. Saya boleh bekerja baik dengan mereka. Dalam sidang media pagi ini (16 Jun), saya bukan sendirian membuat kenyataan akhbar.

Sudah sekian lama Pemuda PAS dipimpin oleh bukan ulama, terakhir oleh Datuk Abu Bakar Chik. Ustaz melihat, adakah perkara ini menimbulkan masalah atau memberikan kelebihan (kepada Pemuda PAS)?

Saya lihat ini bukan satu kekangan atau masalah sebab walaupun saya berlatar belakang pengajian agama, tetapi penglibatan saya dalam Pemuda sejak zaman Datuk Mahfuz lagi. Jadi saya dapat didikan politik dan organisasi, sehinggalah berpindah kepada kepimpinan YB Salahuddin.

Bersama Mahfuz dua penggal, Salahuddin tiga penggal. Jadi, lima penggal saya belajar daripada mereka. Jadi, saya boleh mengimbangi latar belakang saya sebagai pelajar agama dengan kemahiran dan trend kerja mereka.

Sebab itu saya tidak rasa kekok atau janggal. Walaupun saya terima komen daripada pelbagai pihak yang mempertikaikan cara saya berpakaian, mereka nampak saya berserban, berjubah...

Ustaz nampak perkara ini macam mana? (ketawa) Kelebihan ataupun apa?

nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 01 (sambil ketawa) Ya, apabila orang mempertikaikan, secara tidak langsung mereka memberi perhatian kepada saya. Saya ingin sebut, kepimpinan bukan dinilai daripada cara berpakaian, tetapi pada karisma, pemikiran dan kemahiran bekerja.

Saya tidak akan menukar imej, sebab itulah diri saya. Saya tidak boleh jadi orang lain. Saya akan kekalkan imej itu. Saya percaya, kawan-kawan sedia memahaminya. Komentar-komentar itu saya anggap sebagai cabaran untuk saya buktikan bahawa saya bukanlah sebagaimana yang mereka sangka.

Dahulunya Mahfuz dan Salahuddin terkenal sebagai tokoh demonstrasi dalam isu-isu besar. Ustaz sebelum ini kelihatan kurang (terlibat). Adakah ustaz akan memainkan peranan yang sama?

Kita lihat pada kes, sebab tidak semua kes boleh diselesaikan dengan demonstrasi. Tambah-tambah lagi kita lihat, era kita ini adalah era maklumat, era engagement . Tidak semua isu perlu ditangani secara demonstrasi. Tetapi (terdapat) cara yang lebih sesuai, kita bawa ke meja rundingan, atau lebih sesuai dengan cara seperti berbincang, berdialog dan muzakarah.

Kita akan pilih isu-isu. Tetapi kalau kita kata tidak berdemonstrasi terus, itupun tidak wajar. Kadang-kadang kita perlukan umat Islam untuk menunjukkan sikap. Demonstrasi itu tunjuk perasaan, gerakan Islam ini perlu menunjukkan perasaan mereka dalam isu-isu tertentu.

Sebagai contoh, dalam isu penghinaan terhadap Nabi yang datang daripada pihak luar. Jadi, kita hendak bincang dengan siapa, hendak dialog dia siapa? Kalau isu seperti Sisters in Islam (yang dipertikaikan PAS), kita bersedia bertemu dan berdepan dengan mereka, dan kita berhujah untuk mencari kebenaran.

Dalam konteks sesama Pemuda Pakatan, adakah ruang-ruang ini akan dipertingkatkan lagi?

Ya, setakat ini hubungan kita dengan Pemuda Pakatan adalah baik. Sebelum muktamar lepas, sudah ada dua kali pertemuan secara rasmi. Dan bermula dari pertemuan itu, kita akan tubuhkan satu sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat secara rasmi supaya mudah untuk kita berinteraksi dan menangani isu-isu bersama.

Ia akan mengurangkan lagi jurang perbezaan. Walaupun kita tahu jurang perbedaan itu akan sentiasa wujud, tetapi kita harapkan, melalui sekretariat itu, kita akan dapat mewujudkan banyak suasana keberkesanan dalam Pakatan Rakyat.

Pendekatan terhadap pengundi bukan Melayu, bagaimana Dewan Pemuda melihat arah untuk menembusi (halangan) ini? Kita tahu usaha PAS sudah lama, terbaru melalui Kelab Penyokong PAS (KPP), tetapi bagaimana Pemuda PAS melihat isu ini?

Pendekatan kita dilihat semakin baik. Sebentar tadi pun saya dikunjungi Vincent Lee, orang kuat KPP yang datang ke pejabat, memberi input bagaimana hendak memperkasakan KPP serta bagaimanana Pemuda PAS harus bertindak.

Apa yang menarik dalam perbincangan itu, (ia) menyentuh bagaimana kita kena pergi lebih jauh, masuk (mengenali) dalam budaya bukan Muslim untuk lebih memahami jiwa dan cita rasa mereka.

Untuk menyampaikan dakwah, kita mesti memahami faktor-faktor itu. Kalau kita duduk jauh dan ada jurang antara kita dengan mereka, (keadaan) inilah yang menyulitkan. Dan mungkin perasaan curiga itu berpanjangan.

Dalam Islam, ada kaedah yang dikenali sebagai ahlul zimmah , (iaitu) golongan bukan Muslim yang berada bawah kerajaan Islam, (mereka) dilindungi, bahkan diberikan hak seperti hak orang Islam apabila mereka membayar jizyah. Jizyah itu maksudnya cukai per individu, cukai setiap kepala.

Cukai yang sedia ada ini tidak boleh dianggap sebagai jizyah?

Cukai apa?

Cukai pendapatan, cukai perniagaan, untuk memberi jaminan keselamatan dalam perniagaan dan ekonomi...

(Cukai sedia ada) itu konsepnya tidak sama. Cukai jizyah ini tidak memgambil kira soal pendapatan. Ia juga tidak mengambil kira soal tempoh, (dibayar) setahun sekali, macam zakat fitrah (bagi orang Islam).

Zakat ini, (sama ada) dia miskin atau kaya, apabila bernafas, lahir ke dunia, sebelum menjelang Syawal, dia mesti membayar zakat fitrah.

Kalau dia masih kecil, kalau masih tidak berdikari, maka walinya atau ayahnya (perlu membayar bagi pihaknya). Kalau untuk Muslim ada zakat fitrah, maka bukan Muslim, ada zakat cara mereka iaitu cukai jizyah.

Tujuannya untuk menunjukkan komitmen dan kebersamaan (mereka) dengan kerajaan (Islam). Apabila dia membayar (cukai) ini, dia dijaga keselamatannya. Perkara ini kita hendak beritahu kepada bukan Islam supaya mereka tidak berasa terancam untuk menyertai (perjuangan) Islam.

Apakah tidak akan kontroversi jika konsep ini diperkenalkan?

(Kontroversi) itu nasrudin hassan tantawi pas youth leader interview 160609 04 berkait soal (kegagalan) pendidikan, mereka tidak faham. Jadi harus difahamkan terlebih dahulu. Apabila kita memerintah, kita hendak buat cukai ini, kita hendak buat sistem kewangan Islam, (tetapi) nombor satu sekali, kita kena pergi kepada keadilan, kebajikan.

Jangan pergi dulu kepada soal cukai. Ia mesti didahului oleh pendidikan supaya mereka faham. Kedua, (laksanakan) kebajikan supaya mereka jinak, tenang. Selepas mereka jinak dan faham, insya Allah kita boleh laksanakan sistem keadilan itu.

Jadi, untuk bukan Muslim , saya lihat usaha memahamkan mereka ini perlu dipergiatkan, termasuklah dengan memahami budaya-budaya mereka. Kalau boleh kita hendak gerakkan selepas ini, lebih banyak terjemahan buku agama kepada bahasa Inggeris dan Cina.

Kempen politik sebelumnya yang dibuat Pemuda PAS misalnya menentang konsert, penggunaan alkohol dan budaya asing. Apakah ada pendekatan baru atau ustaz akan teruskan sahaja?

Pada dasarnya, kita teruskan. Dan kita akan kaji.

Soalan saya ini itimbulkan kerana ada reaksi dalam dan luar Pakatan yang agak negatif (terhadap pendekatan ini), akan meliarkan dan larikan orang (daripada PAS). Jadi, adakah...

Yang pertama, kita akan teruskan dasar itu. Sebab apa pun masalahnya, keadaannya, kita tetap tidak boleh berkompromi dengan kemaksiatan, kemungkaran, kerana itu sangat asas dalam Islam. Yang haram itu tetap haram hukumnya. Sementara yang halal itu tetap halal hukumnya.

Isunya adalah isu pendekatan, cara kita menangani isu itu. Untuk itu, kita akan kaji pendekatan yang telah kita bawa sebelum ini. Sejauh mana ia berkesan dan sejauh mana memberikan kesan negatif kepada parti dan perjuangan yang kita dukung ini.

Insya Allah, apabila kita melihat semula perkara itu, kita akan dapat melihat rumusannya bagaimana untuk bertindak selanjutnya. Tetapi pada dasarnya, untuk kita bersetuju dengan kemungkaran, bersetuju dengan segala tindakan yang bercanggah dengan Islam, (perkara) itu telah menjadi prinsip yang tidak boleh kita abaikan.

Dalam konteks ini, PAS sebagai gerakan Islam terlalu cepat atau aktif melarang tetapi alternatifnya tidak ada.

Saya akui faktor kelemahan dan kekurangan itu. Tetapi kita kena adil, sebab (PAS) ini hanyalah sebuah parti yang tidak ada keupayaan besar untuk menaja alternatif terhadap kemungkaran dan kemaksiatan.

Sebagai contoh, untuk menganjurkan satu konsert alternatif, kita memerlukan kos yang sangat tinggi. Untuk membikin filem-filem Islamik, bagi menggantikan kemunculan filem yang kotor dan tidak bermoral, kita memerlukan kos yang tinggi – untuk melatih atau membentuk pelakon yang baik. Sebab kalau kita ambil pelakon yang tidak baik, filem itu tidak laris dan diminati.

Jadi, di situ saya melihat kita perlukan kerajaan. Kita perlukan kerajaan dan islahkan kerajaan itu. Sebab itu kita sudah jumpa dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kita mahu Jakim bertegas kepada agensi dan kementerian yang berkenaan, supaya mereka memastikan filem yang hendak disiarkan itu tidak bercanggah dengan norma-norma adat dan tatasusila orang Timur, atau lebih tepat lagi dengan syariah Islam.

Jadi, kalau mereka mendengar (pandangan PAS), cukuplah, tidak perlu kita wujudkan satu industri baru untuk menyaingi (yang sedia ada). Islam datang bukan membawa benda baru, tetapi memperbaiki apa yang telah ada.

Bagaimanana dengan usaha (memperkenalkan hiburan alternatif) di negeri-negeri Pakatan?

Ketiga-tiga negeri ini masih baru. Mereka masih berusaha menstabilkan kepimpinan dari aspek politik, pentadbiran dan seumpamanya. PAS dalam muktamar baru-baru ini menyuarakan supaya menubuhkan skuad pemantau (negeri Pakatan), bahkan disebut dalam ucapan dasar presiden supaya negeri-negeri Pakatan Rakyat agar bertindak selari dengan syariah.

Apa pandangan ustaz terhadap kes Manohara Odelia Pinot?

Saya sudah membuat kenyataan dalam isu ini. Saya kata, kerajaan jangan biar ia menjadi macam isu Altantuya (Shaariibuu) pula selepas ini. Ia (kerajaan) mesti bertindak bijak sebab kes ini juga melibatkan golongan berprofil tinggi, melibatkan istana. Saya boleh komen setakat ini sahaja.

Wawancara bahagian pertama

Berita Pemuda PAS: Kes liwat Anwar tidak jejas Pakatan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS