Paling Popular
Terkini

Laporan langsung keputusan PRU15

Selamat datang ke laman khas Malaysiakini untuk laporan langsung keputusan PRU15. Kami akan memberikan anda liputan terkini kiraan undi dan perkembangan penting malam ini.


3.40am: PN Perlis serah isu calon MB pada kepimpinan pusat

Pengerusi PN Perlis Mohd Shukri Ramli berkata nama calon menteri besar negeri itu akan ditentukan oleh kepimpinan pusat.

Menurutnya pihak negeri juga tidak menghantar cadangan calon bagi mengisi jawatan utama tersebut.

"Calon menteri besar akan diputuskan pimpinan pusat. Isya-Allah watikah dalam perjalanan ke Perlis," katanya pada sidang media di Kompleks PAS Perlis di Kangar, pagi ini.

Terdahulu PN mencipta sejarah tersendiri selepas menang di 14 daripada 15 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di negeri itu.

Selain itu PN juga menyapu bersih di ketiga-tiga kerusi Parlimen Perlis iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.

Sementara itu Mohd Shukri berkata, PN Perlis merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat yang berani membuat perubahan.

Malah katanya, mereka juga tidak menjangkakan kemenangan yang begitu besar.

“Alhamdulillah saya selaku pengerusi PN Perlis memanjatkan rasa syukur dan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat di atas kepercayaan dan mandat yang diberikan.

“Saya masih lagi terpinga-pinga, kepercayaan diberikan kepada PN satu ujian dan amanah yang amat besar untuk kami menanggungnya.

"Insya-Allah kami akan pengurusan dan pentadbiran yang bersih dan stabil seperti mana slogan PN. Kita juga mendengar dan memberi perhatian kepada suara hati rakyat Perlis.


3.35am: Anwar dakwa PH cukup sokongan bentuk kerajaan

Pengerusi PH Anwar Ibrahim mendakwa PH telah membentuk blok majoriti untuk membentuk kerajaan seterusnya.

"Kami telah melepasi angka 111, 112," katanya kepada pemberita pagi ini.

Bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan sokongan yang diterimanya, dan berkata ia hanya akan didedahkan selepas menyerahkan angka itu kepada Agong.


3.30am: DUN Pahang tergantung

Tiada gabungan yang di Pahang mempunyai kerusi DUN yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri, menyebabkan DUN tergantung.

Terdapat 41 kerusi di DUN Pahang untuk ditandingi, tidak termasuk kerusi DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Dis berikutan kematian calon.

Daripada jumlah itu, keputusan 36 kerusi telah diumumkan. Mengikut keputusan rasmi SPR, BN menang 15 kerusi, diikuti PH 14 kerusi dan PN 7 kerusi.

Walaupun BN mampu memenangi baki lima kerusi, ia masih tidak mempunyai jumlah yang mencukupi untuk memperoleh majoriti mudah di DUN.


3.29am: Rasmi - PH menang Batu, Tian Chua hilang deposit

Calon PH Batu P Prabakaran mengekalkan kerusinya dengan majoriti 22,241 undi, menurut keputusan rasmi.

Batu adalah kerusi yang menjadi tumpuan kerana mempunyai calon paling ramai.

Daripada 10 calon, lapan kehilangan deposit.

Ini termasuk A Kohilan Pillay dari BN, bekas naib presiden PKR Tian Chua dan peguam Siti Kasim.

Kohilan memperoleh 10,398 undi, Tian mendapat 4,603 undi manakala Siti hanya mendapat 653 undi, kata SPR.


3.20am: PN tak akan kerjasama dengan PH - Muhyiddin

PN tidak akan bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan, tegas pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, dia berkata PN akan cuba membentuk kerajaan dengan parti Sabah dan Sarawak.

“Untuk membentuk kerajaan pimpinan PN, saya akan berbincang dengan parti di Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.

“Dalam menjamin kestabilan, PN juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang sedia menerima prinsip PN untuk membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin,” katanya.

"Tiada PH," kata Muhyiddin menjawab soalan pemberita.


3.27am: Tiada kerjasama dengan PH - Hishammuddin

Pemimpin Umno Hishammuddin Hussein berkata BN bersedia menyokong pembentukan kerajaan yang stabil, selagi tidak melibatkan PH.

"Saya konsisten dengan pendirian saya untuk tidak bekerjasama dengan Ph," katanya di Facebook.


3.15am: DUN tergantung di Perak, BN jadi 'kingmaker'

Keputusan pilihan raya di Perak menyebabkan DUN tergantung, dengan BN menjadi penentu atau 'kingmaker'.

PN dan PH tidak mempunyai cukup undi untuk membentuk kerajaan negeri, menurut keputusan rasmi.

PN mempunyai 26 kerusi dan PH mempunyai 22 kerusi. BN mempunyai 11 kerusi, yang terdiri daripada 10 kerusi yang dimenangi oleh Umno dan satu dimenangi oleh MCA.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata parti mereka akan membincangkan pembentukan kerajaan negeri yang stabil dengan "rakan" daripada BN.

“Bagaimanapun, kami jelas tidak akan bersama PH. Kami jelas dengan dasar kami No Anwar, No DAP. Jadi tiada perbincangan dengan PH,” katanya

Sebanyak 30 kerusi DUN diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah di Perak.


3.06am: Pengamal media terus menunggu kenyataan PH

Suasana tegang di Hotel Grand Dorsett ketika pengamal media menunggu kenyataan rasmi daripada Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Syed Badli Shah Syed Osman dari PKR memberitahu pemberita setakat ini tiada petunjuk bila kenyataan rasmi akan dikeluarkan.

"Saya berjanji kepada anda semua, sebaik menerima makluman saya akan menyediakan ruang untuk sidang media. Sama ada di dalam bilik atau di dewan," katanya kepada pemberita yang berkumpul sejak kira-kira jam 6 petang.

Pemimpin tertinggi dan pemenang pilihan raya dari PH sedang berkumpul dengan rundingan dimulakan berikutan tiada satu pun pakatan mendapat cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.


3.05am: Lepas menang bergaya, Shahidan gesa Zahid berundur

Selepas menang bergaya mempertahankan kerusi parlimen Arau, Shahidan Kassim, meminta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan itu.

Menurutnya, keadaan itu seperti mana yang berlaku pada pilihan raya umum 2018 apabila BN tewas dan presiden ketika itu Najib Razak juga diminta melepaskan jawatan itu.

"Esok akan ada mesyuarat majlis tertinggi Umno dan biro politik, saya ingat mereka minta Zahid supaya berhenti secara terhormat.

"Dulu dia juga minta Najib berundur, jadi saya minta Zahid mengundurkan diri," katanya pada sidang media di Kompleks PAS Perlis, di Kangar, awal pagi ini.

Shahidan mewakili PN selepas tidak dicalon semula oleh BN.


2.56am: PN selesai mesyuarat

Kepimpinan PN selesai bermesyuarat dan akan mengadakan sidang media pada bila-bila masa dari sekarang.


2.55am: MIC menang satu kerusi sahaja

Parti komponen BN, MIC hanya menang satu kerusi melalui timbalan presidennya M Saravanan yang mengekalkan kerusi parlimen Tapah.

MIC bertanding di 10 parlimen.

Saravanan menang kerusi itu bagi penggal keempat mengalahkan lima calon lain dengan majoriti lebih 5,000 undi.

Di Sungai Siput, presiden parti SA Vigneswaran kalah kepada penyandangnya S Kesavan dari PKR dengan majoriti sekitar 4,000.

Calon MIC lain yang tewas adalah tiga Naib Presiden T Mohan (Hulu Selangor), A Kohilan Pillay (Batu), T Murugiah (Teluk Intan), Ketua Wanita Mohana Muniandy (Kuala Langat), bendahari agung M Ramasamy (Segamat), bekas timbalan menteri pendidikan P Kamalanathan (Port Dickson) dan T Kajendran (Kota Raja).

Pengundian di kerusi parlimen Padang Serai ditangguh selepas calon PKR M Karupaiyah meninggal dunia tiga hari sebelum hari hari mengundi.


2.53am: PN hanya hilang satu kerusi parlimen di utara

PN memenangi semua kawasan yang ditandinginya di Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, kecuali satu kerusi - Sungai Petani.

Dengan menyapu bersih Terengganu dan Kelantan, PN telah mengukir Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian besar.

Pantai utara dan timur adalah wilayah PN, manakala PH menguasai sebahagian besar wilayah tengah dan selatan.


2.40am: PH menang di Bentong, Wong Tack hilang deposit

Calon PH Young Syefura Othman menang di Bentong dengan majoriti tipis 692 undi, mengalahkan bekas Presiden MCA Liow Tiong Lai (BN) dan penyandang kerusi itu Wong Tack (bebas).


2.30am:  GRS dan GPS bentuk Blok Borneo

Gabungan Rakyat Sabah dan (GRS) Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bekerjasama untuk membentuk “Blok Borneo”, lapor Borneo Post.

Kerjasama itu dikatakan demi mewujudkan kerajaan persekutuan yang stabil dan demi kebaikan kedua-dua negeri.


2.26am: Tak rasmi - Tiada gabungan boleh tubuh kerajaan di Pahang

Sehingga jam 2 pagi, keputusan tak rasmi bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pahang menunjukkan tidak ada gabungan parti boleh menubuhkan kerajaan negeri.

Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 kerusi DUN, manakala BN pula memperoleh 16 kerusi.

Pakatan Harapan (PH) pula hanya mendapat lapan kerusi DUN, hilang satu kerusi berbanding pilihan raya umum lalu.


2.17am - Hanya seorang ‘pengkhianat’ selamat di semenanjung

Saifuddin Abdullah mempertahankan kerusi  Indera Mahkota, sekali gus menjadi satu-satunya anggota parlimen semenanjung yang melompat parti dari PKR kepada Bersatu mempertahankan kerusi.

Zuraida Kamaruddin, yang melompat dari PKR ke Bersatu dan kemudian PBM kalah paling teruk dengan hilang deposit di Ampang.

Calon lain yang dianggap “pengkhianat” oleh penyokong PH yang turut kalah ialah:

- Azmin Ali (Gombak)

- Baru Bian (Selangau)

- Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak)

- Mansor Othman (Nibong Tebal)

- Rashid Hasnon (Batu Pahat)


1.45am: GTA berisiko kalah di semua kerusi

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir hilang deposit di Jerlun selepas PN memenangi kerusi itu dengan majoriti 20,456 undi.

PH juga kehilangan deposit mereka di Jerlun.

Dengan kekalahan teruk Mukhriz dan bapanya Dr Mahathir Mohamad - parti Pejuang dan gabungan yang diterajuinya, Gerakan Tanah Air kemungkinan kalah di semua kerusi yang ditandingi.


1.40am: Parlimen tergantung (hung parliament)

Dengan 182 daripada 220 kerusi dikira, Malaysiakini mengisytiharkan parlimen digantung - bermakna tiada satu gabungan atau parti boleh membentuk kerajaan sendiri.

PH mendahului dengan 70 kerusi namun hanya tinggal 38 kerusi yang belum selesai dikira. Ini bermakna PH sekali pun tak boleh mendapat majoriti mudah 111 kerusi meski memenangi baki kesemua kerusi yang belum selesai pengiraan.

PN kini berada di tempat kedua dengan 53 kerusi manakala sekutunya di Sabah, GRS mempunyai enam kerusi setakat ini dengan jumlah keseluruhan 56 kerusi.

Sementara itu BN hanya 25 kerusi setakat ini.

Gabungan GPS Sarawak mempunyai 22 kerusi, manakala Warisan mempunyai dua kerusi, KDM satu kerusi dan calon bebas satu kerusi.


1.35am: BN sedia ketepi perbezaan demi pastikan kerajaan stabil

Dengan tiada pemenang jelas dalam PRU ke-15, BN memberi gambaran ia bersedia untuk bergabung dengan gabungan lain untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu "bersedia mengetepikan perbezaan sentimen sebelum ini" untuk memastikan kerajaan yang stabil dibentuk.


1.25am: Pemimpin Umno kunci mulut isu mesyuarat

Beberapa ahli MKT Umno Johari Abdul Ghani dan Ab Rauf Yusof ditemui pemberita di bangunan WTC di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Bercakap kepada media, Ab Rauf keberatan mengulas soalan mengenai mesyuarat yang berlangsung.

I’m not in a position to answer your question (saya bukan dalam kedudukan untuk menjawab soalan anda),” katanya apabila ditanya mengenai sama ada terdapat gabungan dengan parti lain.

Manakala Johari pula enggan mengulas mengenai keputusan BN pada PRU15.

Katanya, dia masih menunggu keputusan rasmi.


1.20am: Pemimpin PN bermesyuarat

Difahamkan, kepimpinan PN kini sedang bermesyuarat bagi membentuk gabungan parti untuk membolehkan mereka menubuhkan kerajaan sejak jam 12.00 tengah malam tadi, di Glenmarie, Shah Alam.

Sehingga jam 1.30 pagi mesyuarat masih berlangsung.

Hadir sama dalam mesyuarat terbabit adalah Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS Takiyudin Hassan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Shamsuri Moktar dan Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari.


1.10am: Rasmi - Amirudin tewaskan Azmin di Gombak

Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari secara rasmi menewaskan bekas mentornya, Mohamed Azmin Ali di Gombak.

Calon PH itu menang dengan majoriti 12,729 kerusi.

Azmin yang mewakili PN memperoleh 59,538 undi untuk menduduki tempat kedua.


1.08am: Ramanan mendahului di Sg Buloh

Kiraan tidak rasmi menunjukkan R Ramanan dari PH mendahului pencabar terdekatnya dari BN Khairy Jamaluddin.

Pada 12.45 pagi, calon PH itu mendahului lebih 5,000 undi, dengan 99 peti undi masih belum ditambah dalam pengiraan.

Beberapa media telah melaporkan bahawa Ramanan telah memenangi saingan itu, berdasarkan sumber tidak rasmi.


1.04am:

Sumber dalam BN memberitahu Malaysiakini sebentar tadi bahawa pemimpin kanan Umno masih berada dalam mesyuarat.

Mereka menjangkakan mesyuarat tersebut akan selesai pada jam 3 atau 4 pagi.

Bagaimanapun, kenderaan yang dipercayai dinaiki perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob yang diiringi oleh polis pengiring meninggalkan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Sumber tersebut berkata terdapat kemungkinan bahawa perbincangan daripada mesyuarat sebentar tadi telah diserahkan kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.


1.02am: Pimpinan tertinggi Umno, BN mesyuarat hari ini

Umno dan BN akan mengadakan beberapa siri mesyuarat peringkat tinggi di ibu pejabatnya hari ini, selepas keputusan awal menunjukkan gabungan itu kemungkinan kalah dalam pilihan raya.

Mesyuarat biro politik Umno akan berlangsung tengah hari nanti bersama pengerusi jawatankuasa perhubungan negeri, diikuti mesyuarat majlis tertingginya pada pukul 3 petang.

Majlis Tertinggi BN kemudiannya akan bermesyuarat pada pukul 8 malam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan di Twitter.


1.00am: Tak rasmi - Ismail Sabri pertahan Bera

Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob menang di Bera berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Dia kini mempunyai majoriti yang tidak dapat dipintas iaitu lebih 10,000 undi.

Ini merupakan peningkatan besar bagi Ismail yang memenangi kerusi itu pada 2018 dengan hanya 2,000 undi


12.55am: Tak rasmi - Anwar menang di Tambun

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim menawan Tambun dengan majoriti 3,736 undi.

Anwar menewaskan pesaing terdekatnya Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu.

Anwar memperoleh 49,625 undi manakala Ahmad Faizal 45,889 undi.

Sementara itu, Aminuddin Hanafiah dari BN di tempat ketiga dengan 28,140 undi diikuti Abdul Rahim Rahir (Pejuang) dengan 1,115 undi.


12.45am: Tak rasmi - PH mendahului dengan 52 kerusi, PN 41

SPR telah berhenti mengumumkan keputusan rasmi. Keputusan semasa sudah tidak dikemas kini selama sekurang-kurangnya 20 minit.

Berikut merupakan keputusan setakat 12.45 pagi, menurut keputusan rasmi dan tidak rasmi di 143 kerusi:

- PH: 52
- PN: 41
- BN: 20
- GPS: 20
- Lain-lain: 5


12.35am: Tak rasmi - Asyraf Wajdi tewas di Gerik

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Fathul Huzir Ayob dari PN menewaskan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki di Gerik.

PN menawan kubu kuat BN itu dengan majoriti 1,377 undi dengan kesemua 91 peti undi sudah dikira.

Fathul mendapat lebih 15,000 undi, dan Asyraf lebih 13,000 undi, manakala PH mendapat 5,779 undi.

BN juga berkemungkinan tewas di Padang Rengas kepada PN.

Calon PN kini mendahului dengan majoriti 2,851 undi dan hanya dua peti undi belum dikira.


12.30am: Ketua menteri P Pinang sahkan Nurul Izzah tewas

Ketua menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengesahkan bahawa Nurul Izzah Anwar tewas di Permatang Pauh.

Lebih malang buat Puteri Reformasi itu, hari ini adalah hari lahirnya.

Chow menambah bahawa PH gagal mencapai sasaran untuk mengekalkan kesemua 11 kerusi di Pulau Pinang.

PH telah tewas di Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

Chow menang dengan majoriti besar di Batu Kawan.


12:28am: Tak rasmi - PN menang besar di Perlis, BN langsung tiada kerusi

PN mencatat kemenangan bergaya di Perlis dengan menang di 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menurut keputusan tidak rasmi.

PH hanya menang di kerusi Indera Kayangan manakala BN pula tidak mendapat sebarang kerusi.

Ini ialah kekalah terburuk BN di Perlis dan kali pertama BN hilang kuasa di negeri itu.

Di peringkat parlimen pula, PN menang di kesemua tempat iaitu Arau, Kangar dan Padang Besar.


12.15am: Rasmi - Wan Fayhsal menang di Machang

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal secara rasmi menawan Machang.

Dia menewaskan penyandang dua penggal BN Ahmad Jazlan Yaakob dengan majoriti 10,154 undi.

PN juga menawan bekas kubu kuat BN Jeli, dengan majoriti 12,464 undi.


12.10am: Zuraida hilang deposit di Ampang, BN rampas Titiwangsa

Penyandang tiga penggal parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin kehilangan kerusi itu serta depositnya dalam saingan sembilan penjuru.

Zuraida berpaling tadah dari PKR melalui Langkah Sheraton dan menyertai Bersatu. Dia kemudian lompat parti sekali lagi dan menyertai PBM untuk bertanding di kerusi itu.

Zuraida tewas kepada Rodziah Ismail dari PH. Rodziah merupakan bekas timbalannya ketika menerajui sayap Wanita PKR.

Calon kali pertama PN Sasha Lyna menduduki tempat kedua dengan 27,072 undi.

Sementara itu, di Titiwangsa, pemimpin kanan PH yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad tewas kepada calon BN Johari Abdul Ghani.

Johari adalah ahli parlimen Titiwangsa pada 2014 hingga 2018, tetapi dia tewas kepada Rina Harun dari Bersatu, yang berpaling tadah daripada PH.


12:01am: Tambun sengit, Anwar di depan dengan majoriti 5,000 undi

Kiraan tidak rasmi menunjukkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim menang di Tambun dengan majoriti 5,000 undi.

Anwar menewaskan pesaing terdekatnya dan bekas rakan gabungannya Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu.

PH - Anwar Ibrahim (35,940)
PN - Ahmad Faizal Azumu (31,033)
BN - Aminuddin Hanafiah (18,299)
Pejuang - Abdul Rahim Tahir (760)

Sebanyak 195 daripada 280 peti undi telah dikira.


11.55pm: PH kekalkan kerusi Pulai, JB dan Pasir Gudang

PH berjaya mengekalkan kerusi Pulai, Johor Bahru, dan Pasir Gudang di kawasan selatan Johor dan turut menawan semula Tebrau.

PH memenangi Tebrau pada 2018 tetapi penyandangnya Steven Choong meninggalkan PKR pada 2020.

Sementara itu, PH turut memenangi semula kerusi Sri Gading. Bersatu memenangi kerusi itu ketika bersama PH pada 2018.

PH juga memenangi semula Segamat. Penyandangnya Edmund Santhar Nair berpaling tadah daripada PKR melalui Langkah Sheraton. Dia tidak bertanding di kerusi itu pada PRU ini.


11.53pm: Rasmi - Mahathir hilang deposit di Langkawi

Kejutan berlaku di Langkawi apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bukan saja tewas, tapi juga kehilangan deposit pertandingan.

Kerusi yang dianggap kubu kuat pengerusi Pejuang itu dimenangi oleh Mohd Suhaimi Abdullah dari PN dengan 13,518.

BN di tempat kedua manakala calon PH, yang menduduki tempat ketiga, juga hilang deposit.


11:52pm: Rasmi - Shahidan menang bergaya di Arau

Calon PN, Shahidan Kassim menang bergaya mengatasi dua pesaingnya, termasuk calon daripada bekas partinya, BN.

Keputusan rasmi dipaparkan di pusat penjumlahan undi Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, malam ini, menyaksikan Shahidan memperoleh 31, 458 undi diikuti pencabarnya yang merupakan calon BN, Rozabil Abd Rahman mendapat 8, 242 undi.

Calon PH, Fathin Amelina Fazlie pula memperolehi sebanyak 7, 089 undi.

Sepanjang kempen parlimen Arau menjadi tumpuan apabila Shahidan yang juga penyandang kerusi tersebut bertindak bertanding di atas tiket PN selepas tidak dicalonkan semula oleh BN.


11.50pm: Hadi dakwa PN “menang selesa”

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa PN “menang selesa” dalam PRU kali ini.

“Alhamdulillah, kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah menganugerahkan kemenangan selesa kepada PAS dan PN pada PRU15 ini berdasarkan keputusan tak rasmi,” katanya.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu pada masa ini.

Berdasarkan kiraan portal ini setakat 11.44 malam ini, hanya keputusan di 104 daripada 222 kerusi diperoleh, dengan PH di depan dengan 41 kerusi.

Abdul Hadi kemudian tiba di Shah Alam menyertai pemimpin PN yang lain.

Dia disambut dengan takbir yang lantang oleh anggota PN, yang kemudiannya mula melaungkan "Ayoh Chik!", yang merupakan panggilan Abdul Hadi dalam kalangan penyokongnya.


11.45pm: PH mendahului dengan 41 kerusi

PH kini dilihat mendahului dengan kira-kira 41 kerusi, mengikut kiraan rasmi dan tidak rasmi melibatkan 105 kerusi.

Jumlah setakat ini ialah:

PH: 41
PN: 23
BN: 16
GPS: 18
GRS: 4
Lain-lain: 3


11.40pm: Tak rasmi - Presiden PBS tumpas di Kota Marudu

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Presiden PBS Maximus Ongkili tumpas dari Kota Marudu.

Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mendahului dengan hampir 9,000 undi di kerusi itu dengan 171 daripada 174 peti undi dikira.

Calon KDM Wetrom Bahanda meraih 24,139 undi, manakala Ongkili meraih 15,990 undi.

Warisan di tempat ketiga dengan 5,284 undi, dan Muda di tempat keempat dengan 3,223 undi.

Dengan ini, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah calon tunggal Muda yang menang.


11.37pm: Nurul Izzah ketinggalan di Permatang Pauh

Peluang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh semakin tipis.

Mengikut kiraan tidak rasmi, Nurul Izzah ketinggalan di belakang Muhammad Fawwaz Mat Jan dari PN, dengan kira-kira 6,000 undi.

Permatang Pauh sebahagian besarnya dilihat sebagai kubu kuat keluarga Pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Anwar pertama kali dipilih di kerusi itu pada 1982 dan memegang kerusi itu selama lima penggal sehingga dipenjarakan pada 1998.

Isterinya, Dr Wan Azizah Ismail kemudian memenangi kerusi itu dari 1999 hingga 2008, selepas itu Anwar kembali sebagai ahli parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil.

Wan Azizah menjadi ahli parlimen di sana sekali lagi pada 2015 apabila Anwar dihantar ke penjara untuk kali kedua, dan seterusnya menyerahkan baton kepada Nurul Izzah pada 2018.


11.30pm: PN rampas Ketereh dari BN

PN memenangi kerusi Ketereh dengan majoriti 23,107 undi, merampas kerusi itu dari BN.

BN sebelum ini menggugurkan Annuar Musa dari bertanding di kerusi itu.

PAS turut mengekalkan kerusi Tumpat - menewaskan penyandangnya Che Abdullah Mat Nawi dengan majoriti 34,793 undi.

Che Abdullah pernah memenangi kerusi itu atas tiket PAS pada 2018, tetapi digugurkan oleh parti itu. Dia kemudian menjadi calon BN pada saat-saat akhir.


11.25pm: Pemimpin PN raikan kemenangan Muhyiddin pertahan Pagoh

Sorakan riuh dan takbir menggegarkan dewan di Glenmarie Golf and Country Resort ketika SPR mengumumkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengekalkan kerusi Pagoh.

Kira-kira 50 calon PN dan ahli parti menonton siaran langsung di skrin besar di dewan menjerit "Perikatan Nasional" dan "Takbir!", sebelum melaungkan "Abah!" berulang kali.


11.20pm: Tak rasmi - Tengku Zafrul kecundang di Kuala Selangor

Dzulkefly Ahmad dari PH mengekalkan kerusi Kuala Selangor, menurut keputusan tidak rasmi.

Dengan 181 daripada 182 peti undi sudah dikira, Dzulkefly mendahului dengan majoriti 1,172 undi mengatasi Tengku Zafrul Abdul Aziz dari BN.

Sementara itu, Rafizi Ramli dari PH dan Akmal Nasir secara rasmi mengekalkan Pandan dan Johor Bahru.


11.07pm: PH kalah di Alor Setar kepada PN

PH kehilangan kerusi Alor Setar, yang dipegang PKR selama dua penggal dan menang dengan majoriti besar pada PRU ke-14.

Calonnya Simon Ooi tewas kepada calon PN Afnan Hamimi Taib Azamuddin dengan sekurang-kurangnya 9,000 undi, menurut keputusan rasmi.

Sementara itu, Lim Lip Eng dari PH memenangi Kepong dengan 61,081 undian.

Semua calon lain di Kepong hilang wang deposit.


11.15pm: PAS tamatkan penguasaan Ku Li di Gua Musang

Ahli parlimen Malaysia yang paling lama berkhidmat, Tengku Razaleigh Hamzah secara rasmi tumpas di Gua Musang.

Ini merupakan kekalahan pertama veteran Umno itu sejak mula bertanding pada 1974.

PAS menawan kerusi Gua Musang dengan majoriti 163 undi.

PAS dan BN memperoleh lebih 21,000 undi di kerusi itu, manakala PH di tempat ketiga dengan hanya 4,517 undi.


11.10pm: Rasmi - Syed Saddiq pertahan Muar

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin merupakan calon tunggal partinya yang memenangi kerusi.

Keputusan rasmi menunjukkan calon Muda yang lain tewas di Tanjung Piai, Masjid Tanah dan Tanjong Karang.

Di Tanjung Piai, Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet tewas dengan 6,360 undi kepada penyandang Wee Jeck Seng.

Keputusan untuk calon Muda yang masih belum masik ialah Shahrizal Denci di Kota Marudu. Malaysiakini tidak mempunyai akses kepada keputusan tidak rasmi di sana.


11.05pm: Rasmi - Mahdzir Khaled tumpas di Padang Terap

Naib Presiden Umno Mahdzir Khaled secara rasmi tewas di Padang Terap kepada calon PN.

PN memenangi kerusi itu dengan 28,217 undi mengatasi Mahdzir 17,258 undi.

PH jauh di belakang dengan hanya 2,702 undi manakala Pejuang memperoleh 452 undi.

Sementara itu, Hishamuddin Hussein secara rasmi memenangi Sembrong dengan majoriti 10,880 undi.


11.00pm: Tak rasmi - Adly menang di Alor Gajah

Bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari menang di Alor Gajah, menurut keputusan tak rasmi.

Adly - yang mempunyai kira-kira 28,000 undi setakat pengiraan terkini mengekalkan majoriti lebih 2,000 undi terhadap ketua penerangan Umno Shahril Hamdan Suffian.

Penyandangnya Redzuan Yusof menduduki tempat ketiga dengan kira-kira 16,505 undian ketika ini.


10.57pm: Hadi pertahan Marang, PH menang di Ledang

Presiden PAS Abdul Hadi Awang meneruskan penguasaanya di Marang, dengan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 39,095 undi, menurut sumber rasmi.

Jasmira Othman dari BN di tempat kedua manakala calon PH Azhar Ab Shukor hanya memperoleh 3,816 undi. Zarawi Sulong dari GTA hanya mendapat 390 undi.

Sementara itu, Syed Ibrahim Syed Nor dari PH menang di Ledang, lapor Oriental Daily.


10.50pm: Muhyiddin pertahan Pagoh

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin secara rasmi menang di Pagoh, dengan majoriti 10,007 undi.

Bagaimanapun, undinya menurun kepada 45.9 peratus daripada jumlah undi.

Muhyiddin memperoleh 24,986 undi, diikuti oleh calon PH dengan 14,979 undi, dan BN dengan 14,426 undi.

PN juga secara rasmi menang di Masjid Tanah, dengan penyandangnya Mas Ermieyati Shamsuddin mneraih majoriti 4,411 undi.

Mas pernah menjadi ahli parlimen BN dua penggal untuk kerusi itu sebelum meninggalkan parti itu pada 2018 dan kemudian menyertai Bersatu.

Sementara itu, PN juga secara rasmi menawan kerusi Tanjong Karang daripada BN dengan majoriti 2,180 undi.

Di Tanjong Karang dan Masjid Tanah, BN di tempat kedua manakala Muda di tempat ketiga.


10.39pm: PH pertahan Lembah Pantai

Fahmi Fadzil dari PH mengekalkan kerusinya di Lembah Pantai dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengikut kiraan tidak rasmi.

Dia menewaskan Ramlan Shahean @ Askolani dari BN dan Fauzi Abu Bakar dari PN.

Calon Pejuang Asmah Mohd Razali hilang deposit.


10.35pm: Rasmi - PBM pertahan Julau

Pemimpin PBM Larry Sng secara rasmi mengekalkan kerusi parlimen Julau dengan majoriti 1,340 undi.

Sng memenangi kerusi itu sebagai calon bebas pada 2018 sebelum menyertai PKR dan kemudiannya berpaling tadah melalui Langkah Sheraton.

Di Lubok Antu, GPS merampas kerusi daripada penyandangnya, Jugah Muyang.

Seperti Sng, Jugah juga memenangi kerusi itu pada 2018 sebagai calon bebas, sebelum menyertai PKR dan kemudian meletak jawatan pada 2020 dan menyertai Bersatu.

Sementara itu, Mordi Bimol dari DAP mengekalkan kerusi Mas Gading untuk PH.

Di Puncak Borneo, Willie Anak Mongin - yang keluar PKR melalui Langkah Sheraton secara rasmi mengekalkan kerusi itu sebagai wakil GPS.


10.30pm: Khairuddin tewas kepada PN di Kuala Nerus

Khairuddin Aman Razali dari BN kehilangan kerusinya di Kuala Nerus, menentang calon dari bekas partinya.

Menurut Berita Harian, Alias Razak dari PN mengalahkannya dengan majoriti besar lebih 24,000 undi.


10.25pm: Peluang cerah Muda menang di Muar

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berpeluang cerah menang di Muar.

Dengan 130 daripada 132 peti undi sudah dikira, Syed Saddiq mempunyai majoriti 1,173 undi.

Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussein mengekor dengan 18,276 undi.

BN berada di tempat ketiga dengan 14,411 undi.

Sementara itu, PKR juga secara rasmi memenangi kerusi Sekijang, dengan majoriti 1,734 undi.


10.22pm: Rasmi - PH buat kejutan di Penampang

Ewon Benedick dari PH membuat kejutan dengan menewaskan penyandang kerusi itu, Darell Leiking dari Warisan di Penampang dengan majoriti 14,410 undi.

Menurut keputusan rasmi, Ewon memperoleh 29,066 undi berbanding Leiking 14,656 undi.

Kenny Chua dari GRS memperoleh 6,719 undi manakala calon bebas Richard Jimmy kehilangan depositnya.

Sementara itu, SPR mengisytiharkan PN sebagai pemenang di Labuan.

Suhaili Abdul Rahman memperoleh 8,124 undi dengan majoriti tipis 708 undi, dengan Bashir Alias dari BN di tempat kedua.

Di Tawau, calon PH Christina Liew gagal mempertahankan kerusinya kepada Lo Su Fui dari GRS, menurut keputusan tidak rasmi.


10.20pm: DAP kekalkan 10 kerusi DUN di Perak

DAP mengekalkan 10 kerusi DUN di Perak dengan masing-masing memperoleh lebih 15,000 undi, menurut keputusan tidak rasmi.

Kerusi itu ialah:
- Jalong (15,864)
- Pokok Assam (16,518)
- Aulong (16,787)
- Pantai Remis (19,538)
- Pasir Bedamar (21,061)
- Buntong (21,121)
- Astaka (21,136)
- Jelapang (21,552)
- Pengetinan (22,111)
- Menglembu (22,903)

Kesemua kerusi ini dimenangi oleh DAP pada PRU ke-14.

10:15pm: Shahidan selesa di depan

Calon PN Parlimen Arau Shahidan Kassim selesa mendahului kerusi yang disandangnya dengan 11, 945 undi mengatasi calon BN Rozabil Abd Rahman (3,176 undi) dan calon PH Fathin Amelina (2, 659 undi).

Keputusan tidak rasmi itu membabitkan 14 daripada 118 peti undi keseluruhan dengan majoriti 8,769 undi.


10.15pm: Tak rasmi - Rashid gagal pertahan Batu Pahat

Rashid Hasnon dari Bersatu gagal dalam usahanya untuk mempertahankan kerusi Batu Pahat.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Onn Abu Bakar dari PKR mendahului dengan majoriti 15,000 undi, melepasi ambang majoriti.

Onn meraih 41,880 undi, manakala Rashid yang mewakili PN mendapat 25,949 undi.

BN di tempat ketiga dengan 21,749 undi, manakala Pejuang mendapat 381 undi dan PRM 266 undi.

Rashid memenangi Batu Pahat dengan tiket PKR pada 2018, sebelum berpaling tadah pada 2020 semasa Langkah Sheraton.


10.10pm: Rasmi - BN pertahan Pengerang, Khalid menang di Kota Tinggi

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berjaya mengekalkan Pontian, mengikut keputusan tidak rasmi.

Ahmad mempunyai 23,201 undi, diikuti PN dengan 17,443 undi.

PH di tempat ketiga dengan 15,901 undi, manakala Pejuang mendapat 306 undi.

Sementara itu, penyandang Pengerang Azalina Othman Said secara rasmi memenangi kerusinya.

Naib presiden Umno Khaled Nordin juga secara rasmi menang di Kota Tinggi. Ini bererti dia akan kembali ke Parlimen.


10.00pm: Pemimpin kanan Umno belum kelihatan di WTC

Setakat ini, pemimpin kanan Umno masih belum kelihatan hadir di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, walaupun ia sepatutnya menjadi tempat berkumpul penyokong dan pimpinan BN.

Difahamkan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN serta naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakab telah tiba. Namun, ia masih belum dapat disahkan.

Malah, selain kumpulan media, pekarangan WTC juga masih lengang dengan hanya segelintir penyokong BN yang berada di situ.


10.00pm: BN mungkin perlu bentuk pakatan dengan gabungan lain - Zahid

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata mengikut situasi semasa, mereka mungkin terpaksa membentuk pakatan dengan pihak lain untuk membentuk kerajaan.

"Belum lagi," katanya kepada Malaysiakini mesej teks.

Zahid menjawab pertanyaan sama ada dia yakin BN boleh membentuk kerajaan sendiri.

"Kemungkinan besar dengan membentuk pakatan," tambahnya apabila ditanya lebih lanjut sama ada BN mungkin perlu bekerjasama dengan pihak lain untuk menjadi kerajaan.


10.00pm: Tak rasmi - MB Negeri Sembilan menang di PD

Calon PH yang juga, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun memenangi kerusi Port Dickson dengan majoriti besar.

Angka tidak rasmi menunjukkan dia mendahului dengan majoriti lebih 38,000 undi.

P Kamalanathan dari BN di tempat kedua dengan 18,827 undi.

Ini adalah kemenangan pertama PKR, di kerusi yang disandang presidennya Anwar Ibrahim.


10.00pm: Rasmi - Ali Biju pertahan Saratok

Ali Biju yang mewakili Bersatu berjaya mempertahankan kerusi Saratok di Sarawak.

Dia pertama kali memenangi kerusi itu pada 2018 sebagai calon PKR. Dia berpaling tadah pada 2020 semasa Langkah Sheraton.

Menurut keputusan rasmi, Ali memperoleh 19,223 undi dan menang dengan majoriti 8,826 undi.

GPS menduduki tempat kedua dengan 10,397 undi, manakala PH ketinggalan jauh dengan hanya 1,221 undi.


9.55pm: Hamzah Zainudin tiba di Shah Alam

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin tiba di Glenmarie Golf and Country Resort, lokasi pemimpin gabungan itu berkumpul.

Kenderaannya dilihat memasuki perkarangan tetapi tidak berhenti di dewan besar, tempat semua ahli media berkumpul.

Difahamkan, Menteri Dalam Negeri sementara itu akan ke 'war room' PN untuk memantau perkembangan terkini keputusan pilihan raya.


9.55pm: Wong Chen yakin pertahan Subang

"Selamat datang ke Subang," kata calon PH Subang Wong Chen ketika menyertai calon lain di Hotel Grand Dorsett di Subang Jaya.

Wong memberitahu pemberita bahawa dia optimis mempertahankan kerusinya selepas keputusan tidak rasmi melepasi paras 51 peratus pada jam 9.45 malam.

"Kita boleh jangkakan angka rasmi tidak lama lagi tetapi buat masa ini saya telah melepasi ambang 51 peratus," katanya.


9.50pm: Anwar pintas Peja di Tambun

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim memintas calon PN Ahmad Faizal Azumu di Tambun.

Anwar kini mendahului dengan 8,254 undi manakala Ahmad Faizal mempunyai 8,009 undi diikuti oleh BN Aminuddin Md Hanafiah (4,771) dan Pejuang Abdul Rahim Tahir (161).

Sebanyak 55 daripada 280 peti undi telah dikira.


9.50pm: Tak rasmi - Maszlee kecundang di Simpang Renggam

Keputusan tidak rasmi daripada SPR menunjukkan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad dari BN menang di Simpang Renggam.

Dengan 110 daripada 111 peti undi sudah dikira, Hasni mempunyai hampir 2,000 undi mendahului penyandang kerusi itu Maszlee Malik dari PH.

Pengiraan Malaysiakini menunjukkan Hasni mempunyai majoriti mudah dan Maszlee tidak mungkin dapat memintas.

PN mempunyai 9,007 undi, manakala Pejuang mempunyai 246 undi.


9.40pm: Tak rasmi - PH pertahan 3 kerusi di Johor

PH pertahan tiga kerusi di Johor mengikut keputusan tidak rasmi.

Kerusi berkenaan ialah Iskandar Puteri (Liew Chin Tong), Kulai (Teo Nie Ching) dan Labis (Pang Hok Liong).

Di Labis, Pang dikatakan menang dengan majoriti 1,206 undi menentang Chua Tee Yong dari MCA.


9.30pm: Rasmi - Anak Taib kekalkan Mukah dengan majoriti besar

SPR mengisytiharkan bahawa anak perempuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Abdul Taib Mahmud, Hanifah Hajar Taib berjaya mempertahankan Mukah dengan majoriti besar lebih daripada 15,000 undi.

Calon GPS itu memperoleh 21, 733 undi menewaskan calon PH Abdul Jalil Bujang yang cuma mendapat 6,047 undi.

SPR juga mengisytiharkan bahawa Anyi Ngau dari GPS adalah pemenang di Lawas, mengalahkan calon PH Roland Engan dan calon bebas Wilfred Entika.

Sementara itu, angka tidak rasmi menunjukkan GPS sedang mendahului di Kapit dan Santubong, dengan mengandaikan peratusan keluar mengundi adalah kira-kira 60 peratus, konsisten dengan kerusi Sarawak yang lain.


9.30pm: Penyokong Muda di Muar mula bersorak

Penyokong Muda mula bersorak di Muar, walaupun keputusan tidak rasmi menunjukkan saingan sengit antara penyandang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussein.

Dalam ciapan di Twitter, Muda Muar berkongsi keterangan: "Alhamdulillah, terima kasih Muar", manakala Syed Saddiq berkongsi ciapan berbunyi "Muar kita punya".


9.15pm: Muhyiddin tiba di Shah Alam

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin tiba di Glenmarie, Shah Alam bagi memantau keputusan pilihan raya secara langsung.

Presiden Bersatu itu bagaimanapun tidak terus memasuki dewan.

Sebaliknya dia difahamkan terus ke ‘war room’ PN di hotel berkenaan.


9.10pm: Shahidan mendahului di Arau

Penyandang Parlimen Arau Shahidan Kassim yang mewakili PN sedang mendahului di kerusi itu dengan 2,995 undi mengatasi calon BN Rozabil Abd Rahman (891 undi) dan calon PH Fathin Amelina (783 undi).

Keputusan tidak rasmi itu membabitkan 14 daripada 118 peti undi keseluruhan.


9.00pm: Saarani tiba di ibu pejabat Umno di Ipoh, Perak

Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad tiba di bangunan Umno di Ipoh, Perak bersama beberapa calon parti yang bertanding di kerusi DUN.

Dengan berbaju polo biru BN dan jaket BN, Saarani tersenyum lebar sambil menyapa ahli gabungan dan penyokong yang berkumpul di sini.

Dia hadir untuk melihat keputusan PRU15 yang sedang dikira.


9.00pm: Tak rasmi - PH menang Kota Kinabalu, Bandar Kuching

Kerusi Kota Kinabalu berjaya dipertahan penyandangnya, Chan Foong Hin dari PH.

Menurut sumber DAP, Chan sudah mendahului dengan lebih separuh daripada anggaran jumlah undi.

Di Sarawak, berdasarkan pengiraan undi tidak rasmi, calon PH Bandar Kuching Kelvin Yii mengekalkan kerusinya.


9.00pm: Tak rasmi - Presiden MCA pertahan Ayer Hitam

Menurut keputusan tidak rasmi, Presiden MCA Wee Ka Siong mempertahankan kerusi Ayer Hitam.

Dengan hanya kira-kira 1,200 undi belum dikira, Wee mendahului dengan 1,250 undi.

Keputusan terkini daripada MCA menunjukkan Wee memperoleh 17,833 undi, manakala Sheikh Omar dari PH memperoleh 15,309 undi.

Calon PN Muhammad Syafiq Aziz meraih 10,953.


9.00pm: PN mendahului di lapan kerusi di Terengganu

Berdasarkan kiraan tak rasmi, PN mendahului di Besut dengan 17,279 undi. Pada PRU ke-14, BN menang di kerusi ini.

Di Setiu PN mendahului dengan 10,804 undi. Pada PRU ke-14, PAS menang di kerusi ini.

PN juga mendahului di Kuala Nerus dengan 24,845 undi. Pada PRU ke-14, PAS menang di kerusi ini.

PN mendahului di Kuala Terengganu dengan 23,998 undi. pada PRU ke-14, PAS menang di kerusi ini.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendahului di Marang dengan 38,287 undi.

PN mendahului di Hulu Terengganu dengan 23,979 undi. Pada PRU ke-14 BN memenangi kerusi itu.

PN juga mendahului di Dungun dengan 10,460 undi. Pada PRU ke-14 PAS menang kerusi itu.

Ahmad Said daripada BN ketinggalan di Kemaman. Calon PN mendahului dengan 44,357 undi. Kerusi itu disandang calon dari PAS.


8.55pm: Tak rasmi - PH menang tiga kerusi di P Pinang, satu di KL

Mengikut kiraan tidak rasmi, PH memenangi kerusi Bagan, Tanjong dan Bukit Mertajam di Pulau Pinang, selain kerusi Bukit Bintang di Kuala Lumpur.

Bagan dimenangi oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng manakala Tanjong dimenangi oleh kakaknya, Lim Hui Ying.

Bukit Mertajam dimenangi oleh Steven Sim, manakala Bukit Bintang oleh Fong Kui Lin.

Kerusi ini adalah kubu kuat DAP.


8.41pm: PH meluaskan jurang di Gombak

PH meluaskan jurang di Gombak, dengan kini mendahului dengan beza 5,000 undi.

Mengikut kiraan tidak rasmi, Amirudin Shari telah memperoleh 17,033 undi, diikuti calon PN Mohamed Azmin Ali 11,262 undi.

BN di tempat ketiga dengan 6,822 undi manakala Jamaludin Md Tahir dan calon bebas Zulkifli Ahmad masing-masing mendapat 520 undi dan 132 undi.


8:45pm: Rasmi - GPS menang di Igan

SPR secara rasmi mengisytiharkan kemenangan GPS di Igan.

Ahmad Johnie Zawawi dari GPS memperoleh 15,824 undi dan mempunyai majoriti 14,662 undi menewaskan lawannya dari PH Hud Andri.

Hud Andri akan kehilangan deposit.


8.45pm: Presiden MCA mendahului di Ayer Hitam

Presiden MCA Wee Ka Siong mendahului dengan beza 1,000 undi di Ayer Hitam mengatasi calon PH yang mengekor rapat. Hampir 80 peratus undi dikira.

Wee kini meraih 14,898 undia, manakala Sheikh Omar Bagharib Ali dari DAP mendapat 13,845 undi.

PN di tempat ketiga dengan 8,900 undi.


8.40pm: Saingan sengit di Alor Gajah, Melaka

Keputusan tidak rasmi daripada Amanah meletakkan bekas ketua menteri Adly Zahari mendahului dengan 14,668 undi. Hampir separuh daripada undi sudah dikira.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno Shahril Hamdan Sufian mengekor rapat dengan 13,466 undi.

Penyandang PN, yang juga bekas menteri Redzuan Yusof, di tempat ketiga dengan 7,363 undi.


8.30pm: PKR mendahului di 22 kerusi

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata parti itu mendahului di 22 kerusi, manakala BN dan PN masing-masing mendahului di tujuh kerusi.

Ini berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diperoleh melalui syarikat analisis data Rafizi, aplikasi Invoke, Cista.


8.30pm: Peja tiba di Shah Alam

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tiba di Glenmarie Golf and Country Resort, Shah Alam bagi memantau keputusan pilihan raya secara langsung.

Faizal yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tambun merupakan pemimpin PN yang pertama tiba di pusat gerakan parti itu.


8.30pm: PKR mendahului di Batu Pahat

Keputusan tidak rasmi daripada PKR mendakwa mereka mendahului di Batu Pahat, dengan 29,591 undi daripada 61 peratus undi yang dikira setakat ini.

Penyandang PN Rashid Hasnon - yang berpaling tadah daripada PKR pada 2020 - dilaporkan ketinggalan di tempat kedua dengan 15,618 undi.

BN di tempat ketiga dengan 12,972 undi, manakala PRM hanya 196 undi.


8.00pm: Pasukan LSF bersiap sedia di Klang

Anggota Unit Tempur Ringan (LSF) bersiap sedia di luar sekolah di Klang, Selangor susulan kerumunan orang ramai yang semakin bertambah.

Dua pasukan LSF bersiap sedia di luar Kolej Vokasional Klang bagi memastikan tiada kekecehan berlaku seperti pada 2018 apabila pengundi mendakwa berlaku campur tangan dalam pengiraan undi.

LSF dan konvoi kereta polis akan mengiringi pegawai SPR yang membawa peti undi ke Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang.

Awal petang tadi, sejurus sebelum pengundian berakhir pada pukul 6 petang, orang ramai mula berkumpul di luar sekolah vokasional kerajaan di Bayu Perdana sambil bersorak dan mengibarkan bendera ke arah kereta yang lalu lalang yang membunyikan hon tanda sokongan.

Polis Klang terus berjaga di luar sekolah dan keadaan kekal tenang.

Sekolah vokasional itu merupakan satu daripada dua pusat mengundi yang terbesar, dengan 15 saluran mengundi menerima kira-kira 9,700 undi.

Pada 2018, sekurang-kurangnya 1,000 orang memenuhi jalan utama di hadapan sekolah itu bagi menghalang kenderaan SPR daripada meninggalkan premis.


8.20pm: Tak rasmi - GPS menang di Petra Jaya

Keputusan tidak rasmi menunjukkan menteri kerja raya Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang di kerusi Petra Jaya dengan 44,906 undi, selepas melepasi ambang 50 peratus undi.

PH ketinggalan dengan 34,000 undi, manakala KDM hanya meraih 862 undi.

Unit komunikasi awam Sarawak (Ukas) - sebuah entiti kerajaan negeri - juga melaporkan GPS mendahului di beberapa kerusi

Di Kota Samarahan, penyandang dari GPS Rubiah Wang dilaporkan 16 undian di hadapan PH.

Di Batang Sadong, keputusan tidak rasmi meletakkan GPS dengan kelebihan 8,000 undi berbanding calon PH.


8.15pm: Ada pengundi Padang Serai tak tahu pengundian ditangguh

Bernama melaporkan beberapa pengundi di Padang Serai, Kedah tidak menyedari pengundian di situ telah ditangguhkan dan hadir ke pusat pengundian untuk mengundi.

Seorang pengundi OKU pendengaran dilaporkan menyerahkan sekeping kertas kepada wartawan bertanya kenapa pusat mengundi ditutup.

Dia dikatakan memandu sejauh 14km dari Bukit Mertajam bersama keluarganya untuk mengundi.

Pengundi Saad-Idi Ismail, 43, dilaporkan kelihatan terkejut apabila diberitahu pengundian bagi kerusi itu ditangguhkan berikutan kematian calon PKR M Karupaiya.

Seorang lagi pengundi Low Teck Chai, 28, dilaporkan memberitahu Bernama dia mengetahui kematian Karupaiya tetapi tidak menyedari penangguhan pengundian di kerusi itu.

Seorang pengawal keselamatan di pusat mengundi SK Sri Limau berkata kira-kira 40 pengundi hadir setakat jam 3 petang tadi.

“Kasihan mereka. Ada juga keluarga dari Kuala Lumpur,” kata pengawal Muhammad Zuhairi Asri seperti dilapor.


8.08pm: Isu pengiraan undi di Segambut

Di kubu kuat PH di Segambut, calonnya Hannah Yeoh berkata parti itu tidak dapat mengeluarkan keputusan tidak rasmi dari pusat pengundian berkenaan.

Dia berkata pegawai pengurus pilihan raya tidak mahu menandatangani Borang 14 ejen pengundian dan pengiraan undi PH.

Borang 14 juga dikenali sebagai 'Borang Penyata Pengundian Selepas Pengiran Undi', dan menunjukkan jumlah undi yang dikira.

Borang itu perlu ditandatangani oleh pegawai pengurus pilihan raya di pusat mengundi untuk mengesahkan kiraan undi.


8.10pm: Pemimpin PH mula tiba di Subang Jaya

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, menyertai pemimpin dan calon PH yang lain.

Hujan lebat sejak awal petang tadi melambatkan ketibaan pemimpin dan calon dari luar Selangor .

Setakat ini antara yang dilihat termasuk calon Pasir Gudang Hassan Karim dan calon Putrajaya Dr Noraisyah Mydin Abdul Aziz.

Skrin terus menayangkan keputusan tidak rasmi dan ulasan semasa undian sedang dikira.


8.00pm: Pegawai SPR meninggal dunia ketika bertugas

Seorang kakitangan SPR meninggal dunia ketika bertugas di sebuah pusat mengundi di Klang tengah hari tadi.

Menurut polis, lelaki berusia 45 tahun itu pengsan di Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dengan menaiki ambulans.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia semasa pemeriksaan di bilik kecemasan.

Ketua Polis Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata bedah siasat sedang dijalankan untuk memastikan punca kematian.

Katanya kes itu dianggap sebagai kematian mengejut.

Menurut isterinya, Allahyarham menghidap penyakit jantung.


7.46pm: PH mendahului di Pasir Gudang

Keputusan tidak rasmi daripada PH menunjukkan calonnya mendahului di Pasir Gudang.

Penyandang Hassan Karim dari PKR kini mempunyai 7,066 undi, manakala BN 3,548 undi, PN 2,004 undi dan Pejuang 74 undi.

Dengan kata lain, Hassan Karim mendahului dengan majoriti 3,518 undi.


7.46pm: DAP kembali mendahului di Labis

DAP kembali mendahului BN di Labis, dengan kira-kira separuh daripada jumlah undi dikira.

Pak Hok Liong dari DAP kini mempunyai 7,365 undi, menurut sumber DAP.

Chua Tee Yong dari BN mengekori dengan 6,004 undi diikuti oleh Alvin Chang dari PN dengan 2,174 undi.

Di Ayer Itam, Sheikh Umar Baghrib Ali dari DAP mendahului dengan beza tipis dengan Wee Ka Siong dari BN dan Muhammad Syafiq A Aziz dari PN, dengan kira-kira dua pertiga undi masih belum dikira.

Sementara itu, keputusan tak rasmi menunjukkan DAP turut mendahului di Kota Melaka, Bukit Bintang, Bakri, dan Rasah.


7.42pm: 75.62 peratus keluar mengundi di Pahang

Peratusan keluar mengundi penuh untuk negeri Pahang sebanyak 75.62 peratus.


7.30pm: Tak rasmi - DAP mendahului di Sibu

Keputusan tidak rasmi daripada DAP meletakkan parti itu di hadapan di Sibu, dengan 19,230 undi manakala GPS mempunyai 11,159 undi.

Presiden PSB Wong Soon Koh, ketinggalan dengan kini hanya memperoleh 4,575 undi setakat ini.

DAP juga mendakwa meraih 10,029 undi di Bandar Kuching, mendahului pesaingnya dengan beza 6,600 undi.

GPS meraih 3,438 undi manakala PSB mempunyai 374 undi setakat ini.


7.15pm: Pemimpin PN dijangka berkumpul di Shah Alam

Perikatan Nasional (PN) menjadikan dewan hotel Glenmarie Golf and Country Resort, sebagai pusat gerakan untuk memantau keputusan pilihan raya secara langsung.

Setakat ini, hanya petugas parti yang kelihatan di premis itu memastikan semuanya berjalan lancar apabila pemimpin PN tiba nanti.

Mereka juga menyediakan skrin besar untuk memaparkan kemas kini secara langsung dari pusat pengiraan undi di seluruh negara.

Tiada pemimpin parti dikesan setakat ini.

Menurut seorang pegawai parti, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan pemimpin lain akan mula tiba di tempat itu selepas solat Maghrib dan seterusnya.


7.15pm: Pemimpin PH berkumpul di Subang Jaya

Pemimpin PH berkumpul di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, di mana keputusan tidak rasmi secara langsung dipaparkan pada skrin besar.

Meja disediakan untuk media di luar dewan, manakala pemimpin dan calon PH berada di dalam dewan.

Kakitangan keselamatan memastikan hanya media dan ahli parti yang dibenarkan masuk ke kawasan yang ditetapkan.

Suasana setakat ini tenang dan beberapa penyokong PH kelihatan di sekitar lobi hotel.


7.20pm: Baru Bian mendahului di Lawas

Keputusan tidak rasmi yang dilaporkan Bernama meletakkan Baru Bian dari PSB mendahului di Lawas dengan majoriti tipis 310 undi dengan 77 daripada 82 peti undi dikira.

Baru sebelum ini bersama PKR, sebelum meninggalkan parti itu melalui Langkah Sheraton.

Bagaimanapun, dia tidak menyertai atau menyokong kerajaan PN-BN, sebaliknya menyertai PSB - yang merupakan parti pembangkang terbesar di Sarawak.

Lawan Baru di Lawas ialah timbalan menteri pengangkutan Henry Sum Agong dari GPS dan Japar Suyut dari PH


7.10pm: Peratusan keluar mengundi akhir di Johor ialah 72.66 peratus

Ini adalah 17.75 peratus lebih tinggi daripada peratusan keluar mengundi semasa PRN Johor pada Mac.

Dari segi jumlah sebenar, 2.6 juta, iaitu 1.2 juta lebih daripada jumlah keluar mengundi pada PRN.


6.50pm: 10 cadangan Bersih sekiranya parlimen tergantung

NGO Bersih mempunyai 10 syor untuk menangani situasi sekiranya tiada parti atau gabungan mempunyai majoriti jelas.

Cadangan tersebut ialah:

1) Kerajaan dibentuk melalui rundingan rentas parti oleh pemimpin parti, dan bukannya melalui akuan berkanun (SD) atau temu bual dengan ahli parlimen. Ini adalah untuk mengelak daripada mengheret Istana Negara dalam pertikaian.

2) Blok terbesar mendapat keutamaan untuk membentuk kerajaan terlebih dahulu, dan diberi tempoh masa untuk berbuat demikian. Apabila tempoh itu tamat, giliran blok kedua terbesar untuk cuba membentuk kerajaan.

3) Parti yang membentuk kerajaan akan melancarkan dasar berpandukan manifesto masing-masing.

4) Kerajaan harus berkhidmat sepenggal penuh dengan majoriti selesa untuk menanam keyakinan orang ramai.

5) Undi percaya kepada perdana menteri di parlimen dalam tempoh dua minggu pelantikan, untuk memperkukuh keabsahan kerajaan dan menghalang percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

6) Semua perjanjian perbekalan keyakinan atau membentuk gabungan perlu didedahkan kepada umum.

7) Pembentukan dan pengiktirafan kabinet bayangan dengan gaji dan sumber yang setimpal.

8) Perundangan untuk memastikan pengagihan dana pembangunan yang saksama kepada kawasan pilihan raya, untuk memastikan padang yang sama rata.

9) Akta Pembiayaan Politik, yang dicadangkan di bawah pentadbiran Najib Razak, Dr Mahathir Mohamad dan Ismail Sabri Yaakob, diluluskan di parlimen. Ia mesti termasuk pembiayaan awam untuk parti politik berdasarkan bahagian undi pada pilihan raya lalu.

10) Pengasingan pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara untuk melindungi kerajaan gabungan daripada dakwaan mempunyai kuasa yang tidak terkawal, dan untuk kes mahkamah yang sedia ada berjalan tanpa gangguan. Semua ahli parlimen yang mempunyai kes mahkamah yang belum selesai tidak terlibat dalam kabinet.


6.40pm: Pengundi dakwa nama diguna individu lain

Seorang pengundi di Lembah Pantai mendakwa dia dihalang mengundi kerana seseorang telah mengundi menggunakan namanya.

Lelaki itu, yang mengenalkan dirinya sebagai Jega, berkata dia cuba mengundi di SK Petaling 1 & 2 hari ini.

“Ketika saya berada di bilik mengundi, saya dapati seseorang telah mengundi atas nama saya.

"Apabila saya semak, ternyata nombor kad pengenalan orang lain berbeza tetapi dia telah mengundi menggunakan nama saya," katanya, dalam klip video yang diedarkan kepada media oleh pasukan kempen PH Lembah Pantai.

Dia memaklumkan dia akan membuat laporan polis.

Selain Jega, seorang lagi pengundi di Rawang mengalami perkara yang sama, dan telah membuat laporan polis.


6.35pm: 70 peratus keluar mengundi setakat 4 petang

Setakat jam 4 petang, peratusan keluar mengundi ialah 70 peratus.

Dari segi jumlah pengundi, ini adalah 2.5 juta lebih daripada jumlah keluar mengungi pada PRU 2018.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum mengeluarkan jumlah akhir keluar mengundi pada pukul 5 petang dan 6 petang


6.30pm: Pemimpin Umno berkumpul di KL

Empat skrin gergasi dipasang di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur untuk memudahkan pemimpin BN menonton siaran langsung keputusan pilihan raya umum.

Difahamkan acara di situ akan bermula pada jam 8 malam ini.

Kakitangan media hanya boleh menonton keputusan di tingkat bawah WTC.


6.30pm: - Kiraan undi tidak rasmi mula masuk.

Di Sibu, Astro Awani melaporkan Clarence Ting dari GPS mendahului dengan 2,332, manakala Oscar Ling dari DAP mengekori 1,670 dan Wong Soon Koh dari PSB di tempat terakhir dengan 1,624.

Jumlah ini adalah kurang daripada lima peratus daripada jumlah pemilih berdaftar di Sibu.

Sementara itu, di Labis, calon BN Chua Tee Yong mendahului, dengan memperoleh 388 undi, mengekori Pang Hok Liang dari PH dengan 249 undi dan calon PN Alvin Chang dengan 72 undi.

Ini adalah kurang daripada satu peratus daripada jumlah pemilih berdaftar.


6.00pm - Pengundian tamat

Pusat mengundi ditutup secara rasmi pukul 6 petang tadi.

Jumlah pengundi berdaftar untuk kali ini: 21,173,638


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS