ADS

Bukan mudah untuk kita kalahkan lawan. Seni pertarungan itu sendiri telah diperdebat dan diperhalusi sehingga dibukukan.

Kita masih lagi ingat The Art of War oleh Sun Tzu dan Rasulullah sendiri pernah mengatakan "peperangan itu satu penipuan".

Begitulah pentingnya strategi dalam perlawanan.

Namun apa yang telah dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu hebat. Anwar tahu Umno dan BN dalam keadaan yang lemah.

Beliau tahu bahawa dalam keadaan lemah dan parah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menerima sesiapa sahaja agar isu dapat dialihkan.

ADS

Justeru Anwar menyuntik ejennya untuk memastikan bahawa, sekiranya Pakatan Rakyat gagal membentuk kerajaan persekutuan, beliau masih lagi boleh menjayakan cita-citanya untuk memperkasakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan seterusnya mengheret mereka yang merasuah dalam kerajaan dan parti pemerintah ke penjara.

Kini kita dapat melihat Mohamad Ezam Mohd Nor masih lagi menguar-uarkan ungkapan-ungkapan "syirik" bagi Umno.

"Reformasi" atau "agenda perubahan" termasuk ungkapan dahsyat "saya tiada kesetiaan pada parti atau individu".

ADS

Apakah Umno sebegini daif sehingga terpaksa menerima ahli yang mengucapkan ungkapan sebegini - yang terus terang menentang dasar Umno dan BN?

Saya pernah dahulu bersama-sama isterinya Bahirah Tajul Aris dan isteri-isteri tahanan lain memberikan ceramah untuk membebaskan suaminya daripada ditahan bawah ISA, sambil memungut derma untuk disalurkan kepada keluarga-keluarga mangsa ISA.

Malah tangan saya ini juga yang mengutip RM1 dan kepingan 50 sen atas nama membela keluarga Mohamad Ezam.

Bahirah menceritakan betapa peritnya kehidupan sebagai seorang isteri yang suaminya ditahan bawah akta tersebut.

Pemuda PKR pula, dengan menghayati Sumpah Keramat, berdiri teguh di belakang ketua mereka itu dan bersumpah menyebarluaskan sebanyak mungkin kempen betapa zalimnya akta ini dan betapa terseksanya keluarga tahanan.

Apakah perdana menteri merasakan azab yang dilalui Mohamad Ezam bersama Abdul Ghani Haron itu boleh dilupakan mereka begitu sahaja?

Persoalannya, mengapa Mohamad Ezam masih tidak menyatakan bangkangan beliau terhadap akta ISA?

Apakah Mohamad Ezam, melihat "kesungguhan Umno untuk membanteras rasuah", dengan mudah boleh melupakan penderitaan ISA?

Atau, adakah beliau terlalu yakin dengan adegan pembanterasan rasuah sehingga beliau boleh melupakan kesengsaraan para tahanan yang masih lagi meringkuk di kem Kamunting?

Soalan itu saya serahkan kepada Umno untuk dijawab kerana ia sudah komited untuk mengekalkan ISA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS
ADS
ADS