NOTA EDITOR: Berlaku kesilapan teknikal sebelum ini apabila Malaysiakini menyiarkan nama penulis sebagai Amran Ahmad. Untuk makluman surat ini ditulis oleh Ahmad Amran. Kesilapan amat dikesali.
SURAT | Dalam dunia sukan yang penuh cabaran dan emosi, bukan mudah untuk mencari pemimpin yang benar-benar memahami jerih perih seorang atlet.
Namun, kisah yang dikongsikan oleh jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang – atau gelarannya “Pocket Rocketman” – menampilkan satu susuk pemimpin wanita yang bukan sahaja menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi, tetapi membawa sentuhan kemanusiaan yang luar biasa dalam setiap tindakannya.
Azizulhasni menceritakan satu detik yang sangat peribadi dan bermakna, ketika dia dan pasukannya menghadapi kekalahan di Sukan Olimpik Paris pada tahun lalu – satu titik rendah dalam kerjaya mereka. Dalam dunia sukan, kemenangan diraikan dengan penuh gemilang, namun kekalahan sering kali membawa kesunyian.
Di saat ramai berpaling, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh tetap hadir, menjadi antara insan terawal yang memberikan sokongan moral dan kata-kata semangat.
Tidak seperti kebanyakan individu yang hanya ada ketika sorakan kedengaran, Yeoh sanggup menunggu sehingga semua urusan perlumbaan selesai hanya untuk memberikan kata-kata semangat kepada para atlet.
Bahkan, dalam perjalanan panjang pulang dari Paris ke Malaysia, dia meluangkan masa berdiskusi bersama Azizulhasni, bukan sebagai menteri tetapi lebih kepada seorang kakak yang prihatin terhadap adiknya.
Menurut Azizulhasni, Yeoh memberitahunya untuk pulang bersama keluarga terlebih dahulu dan mengambil masa untuk berfikir, serta akan menyokong setiap keputusan yang dibuatnya.
“You have done enough for the country (anda sudah lakukan yang terbaik untuk negara),” kongsi Azizul dalam nukilan di Instagram.
Sokongannya bukan sekadar bersifat simbolik atau bersandarkan populariti, tetapi bersandarkan realiti dan keperluan sebenar atlet negara. Apa yang membezakan Yeoh dengan pemimpin lain ialah keikhlasan dan kesungguhannya dalam memperjuangkan hak atlet dan jurulatih di peringkat dasar.
Salah satu langkah besar yang dilaksanakan Yeoh ialah menaik taraf elaun bulanan kepada sistem gaji untuk 393 atlet, termasuk atlet para, di bawah Program Podium dengan gaji asas minimum RM1,500 sebulan, sekaligus menerima caruman KWSP.
Ia pengiktirafan yang lebih tinggi kepada mereka yang berjuang mengharumkan nama negara.
Dengan itu, para atlet bukan sahaja menerima imbuhan untuk usaha mereka tetapi turut dijamin masa depan kewangan selepas persaraan. Ia melibatkan peruntukan sebanyak RM16 juta setahun oleh Majlis Sukan Negara (MSN), satu pelaburan besar untuk memastikan kebajikan para atlet yang membawa nama negara di persada dunia terus terpelihara.
Keprihatinan Yeoh bukan sekadar kepada atlet malah ia melimpah kepada para jurulatih.
Kisah Azizulhasni bukan hanya sebuah penghargaan peribadi, tetapi juga cerminan kepada bagaimana seorang menteri menjalankan tanggungjawabnya dengan hati dan jiwa.
Dalam dunia politik yang sering kali penuh dengan permainan persepsi, dia memilih untuk menunjukkan nilai kemanusiaan yang sejati.
AHMAD AMRAN adalah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
