Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT l Rakyat berhak tahu kebenaran skandal Menara KL

SURAT l Saya menulis sebagai rakyat biasa yang resah melihat betapa skandal penjualan Menara Kuala Lumpur seolah-olah mahu ditenggelamkan oleh bunyi bising propaganda dan mainan sentimen. Sedangkan, pada asasnya, ia adalah soal pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat dan salah guna kuasa yang melibatkan wang berjuta-juta.

Siasatan dan pendakwaan terhadap Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak, pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, telah membuka mata ramai. Beliau bukan sekadar terpalit — tetapi dituduh merancang sogokan RM7.5 juta untuk mempercepatkan pengambilalihan Menara KL daripada kerajaan.

Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak

Lebih mengejutkan, sogokan itu bukan sekali dua, tetapi RM500,000 setahun selama 15 tahun — sesuatu yang tidak berlaku tanpa sebab dan pengaruh kuat dari pihak tertentu.

Nama Tan Sri Annuar Musa berulang kali disebut — bukan oleh lawan politik, tetapi dalam dokumen mahkamah, kenyataan SPRM dan laporan media. Beliau ketika itu adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang bertanggungjawab penuh ke atas konsesi Menara KL. Anehnya, hingga ke hari ini, beliau terus diam membisu.

Annuar Musa

Bagaimana Menara KL — yang menjana keuntungan lebih RM20 juta setahun — boleh dijual kepada Hydroshoppe hanya dengan RM3.8 juta? Dan lebih pelik, kenapa ia berlaku selepas Parlimen dibubarkan dan semasa kerajaan hanya berstatus caretaker?

Sebagai rakyat, saya bertanya:

  • Kenapa Annuar Musa masih senyap?

  • Kenapa beliau tidak tampil menjelaskan urus niaga ini?

  • Adakah benar beliau terlibat dalam mempercepatkan proses bagi membolehkan Hydroshoppe ambil alih Menara KL?

  • Dan jika tidak bersalah, mengapa tidak tampil membersihkan nama sendiri?

Saya juga pelik bagaimana individu yang kini didakwa boleh terus mendakwa kononnya dianiaya — sedangkan Hydroshoppe sendiri turut didakwa di bawah Seksyen 17A SPRM. Ini bukan kes terpencil. Ini kes besar. Ini tentang aset negara yang dijual murah, dan proses itu didakwa melibatkan rasuah berjuta-juta.

Rakyat berhak tahu siapa yang bertanggungjawab. Rakyat berhak lihat keadilan ditegakkan. Dan yang paling penting — rakyat berhak dengar penjelasan daripada Annuar Musa.

Jangan terus menikus. Ini bukan lagi soal politik — ini soal amanah dan maruah negara.


MIRZA MOHD adalah pekerja sosial, dari Segambut.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS