Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

SURAT | Srikandi PKR memandang serius video tular yang dikaitkan dengan seorang anggota sayap ini bagi Wilayah Persekutuan terlibat dalam salah laku rasuah atau politik wang kepada pengundi semasa musim pemilihan parti.

Ingin ditegaskan bahawa, Srikandi PKR menolak keras amalan rasuah dan politik wang dalam apa jua bentuk dan situasi kerana amalan tersebut tidak mencerminkan prinsip serta bertentangan dengan nilai utama perjuangan parti yang bencikan korupsi serta salah guna kuasa.

PKR sentiasa dijulang sebagai sebuah parti yang lantang dan komited melawan barah rasuah yang berlaku dalam negara sejajar dengan prinsip dan matlamat diperjuangkan oleh presiden kami, Anwar Ibrahim, selama ini.

Nilai perjuangan ini seharusnya dijiwai dan diterapkan dalam segenap anggota parti pada setiap masa.

Isu ini juga telah dibawa untuk perhatian pihak jawatankuasa pemilihan parti (JPP) dan lembaga disiplin untuk tindakan selanjutnya.

Jawatankuasa tertinggi Srikandi PKR juga menggesa pimpinan sayap wanita agar meneliti dan mempertimbangkan tindakan tatatertib sekiranya ada bukti kukuh wujud kesalahan tersebut, khususnya pada musim pemilihan ini.

Kami akur bahawasanya kuasa lantikan mahupun pemecatan jawatankuasa Srikandi PKR di peringkat negeri adalah di bawah bidang kuasa Wanita PKR.

Sekali lagi, kami menegaskan bahawa pihak kami tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang salah laku rasuah dan amalan politik wang kerana boleh mencemarkan imej parti.


HANANI DHAMIRAH ialah Setiausaha Srikandi PKR Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS