Goh Kah YongSaya terpanggil untuk mengulas kenyataan Afdlin Shauki, pelawak yang kini mencuba nasib kali kedua untuk menjadi Ketua Cabang PKR Setiawangsa, kononnya ingin “menawarkan alternatif” kepada Nik Nazmi Nik Ahmad kerana beliau terlalu sibuk sebagai seorang menteri.
Pertama sekali, ingin saya tegaskan — menjadi menteri bukan alasan untuk tidak turun padang, dan Nik Nazmi telah buktikan perkara ini berkali-kali.
Semasa menjadi anggota parlimen pembangkang dahulu pun, beliau aktif membantu rakyat ketika krisis Covid-19, termasuk memberi bantuan makanan, bantuan untuk pelajar IPT, dan menyelesaikan isu tempatan walaupun tanpa peruntukan parlimen, apatah lagi kuasa menteri.
Baca: Pemilihan cabang PKR: Afdlin dakwa Nik Nazmi terlalu sibuk
Soalan saya mudah: masa rakyat susah dulu, di mana Afdlin? Tengah buat content TikTok atau sibuk ‘audition’ jadi calon politik?
Mudah sungguh menjaja naratif “saya alternatif yang lebih dekat dengan rakyat” sedangkan yang kita nampak hanyalah persembahan semula skrip lama yang gagal dalam pemilihan 2022.



Ironinya, beliau juga pernah buat laporan polis selepas tewas — jadi kalau kalah nanti, adakah skrip yang sama akan dimainkan semula?
Dan mengenai dakwaan “ramai tak pernah jumpa YB Nik” — maaf, aduan sebegitu selalu datang dari mereka yang hanya muncul masa pemilihan.
Orang yang bekerja tak selalu sempat selfie, tapi hasil kerjanya boleh dilihat di setiap pelusuk kawasan.
Nik bukan sahaja bekerja keras, beliau juga memperkasa pimpinan di setiap peringkat — memberi ruang dan sokongan penuh kepada AMK dan Wanita Setiawangsa untuk terus berkembang dan menyumbang secara aktif.
AMK dan Wanita di sini tak perlukan ‘alternatif’ — kami sudah bergerak, dan kami tak tunggu musim pemilihan baru nak muncul.
Untuk rekod, Nik bukan calang-calang pemimpin. Beliau berjaya menembusi dua kubu kuat Umno — memenangi Seri Setia dua penggal, dan Setiawangsa dua penggal.
Ini bukan hasil lawak atau populariti semata, tapi hasil kerja keras dan prinsip perjuangan yang konsisten sejak zaman Reformasi.
Sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam, Nik Nazmi juga membawa nilai kelestarian terus ke akar umbi, termasuk di Setiawangsa.
Beliau bukan hanya cakap soal alam sekitar di pentas antarabangsa — beliau laksanakan di kawasan sendiri.
Melalui inisiatif seperti EkoSetiawangsa, beliau mendorong gaya hidup lebih bersih dan lestari, program kitar semula komuniti, sokongan kepada urban farming, pengurusan sisa lebih cekap, dan penambahbaikan kawasan rekreasi seperti Bukit Dinding.
Beliau guna mandat nasional untuk beri manfaat setempat.
Kepimpinan bukan soal populariti atau punchline. Ini soal amanah, prinsip dan rekod kerja.
Dan Nik Nazmi bukan sahaja berjasa di Setiawangsa, malah sedang menggalas tanggungjawab besar untuk masa depan negara — termasuk isu alam sekitar dan kelestarian yang memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk anggota PKR.
Kami di Pemuda PKR (AMK) Setiawangsa berdiri teguh menyokong beliau — bukan kerana gelaran, tetapi kerana beliau konsisten bekerja walaupun tanpa kamera, tanpa drama.
GOH KAH YONG ialah calon ketua AMK Setiawangsa, merangkap pengarah komunikasi AMK Wilayah Persekutuan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
