Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika hadir majlis sambutan Aidilfitri Madani di Kelantan sekali lagi menegaskan bahawa kerajaannya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Rakyat Sabah tertanya-tanya bagaimana dengan skandal rasuah di Sabah? Kenapa ucapan perdana menteri bertentangan dengan tindakannya? Beliau seolah-olah tidak nampak apa yang berlaku di Sabah.
Terdapat elemen rasuah yang sangat jelas dipaparkan dalam video tular membabitkan Yang di-Pertua DUN dan lapan Adun terlibat dalam kegiatan rasuah lesen perlombongan mineral.
Bagaimanapun, Anwar memilih sistem pentadbiran dua standard dalam kerajaannya.
Apabila tiba di Kelantan, Anwar Ibrahim pakai standard pertama iaitu memerangi rasuah. Pada 22 Mac, Anwar pergi ke Sabah, beliau pakai standard kedua iaitu berkompromi dengan rasuah.
Dalam majlis di Sabah, Anwar memuji kepimpinan Ketua Menteri, Hajiji Noor dalam menerajui negeri Sabah. Kenyataan Anwar seolah-olah memberi bayangan bahawa dia merestui kegiatan rasuah yang melibatkan Hajiji Noor.
Bukan saja rakyat Sabah, seluruh rakyat Malaysia keliru dengan perjuangan reformasi Anwar Ibrahim sejak tahun 1998. Hala tuju beliau agak membingungkan masyarakat, di Kelantan dan di Sabah mempunyai dua set standard berbeza. Tidak tahulah di Kuala Lumpur mungkin ada standard ketiga?
Sebenarnya rakyat Sabah hanya meminta Anwar menunaikan janjinya semasa memegang jawatan ketua pembangkang iaitu tegas memerangi rasuah. Rakyat Sabah merayu kepada perdana menteri untuk mengambil tindakan terhadap sembilan orang YB yang didakwa terlibat dalam kegiatan rasuah.
Jika sembilan orang YB tersebut ditangkap dan dituduh ke mahkamah, seluruh rakyat Malaysia akan kembali yakin dan percaya kepada perdana menteri.
DUNCAN CHENG ialah presiden Sabah Entitlement and Equity Now.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
