Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Usrah @McD ajak nilai isu secara adil, syarie

SURAT | Dalam hiruk-pikuk sambutan Aidilfitri yang sinonim dengan ziarah, baju baru dan kuih raya, satu pertemuan kecil namun memiliki keunikan berlangsung secara sederhana di sebuah premis McDonald's di ibu kota.

Lebih tepat lokasinya ialah di Jalan Tun Perak.

Usrah @McD – nama yang kami guna sendiri-sendiri tanpa diperakui mana-mana pihak – merupakan kelompok kecil anak muda yang ingin prihatin.

Kami berhimpun bukan saja untuk mengeratkan ukhuwah dan menyambut lebaran. Melalui program sesederhana itu kami bertemu mata untuk menilai arah tuju umat, atau setidak-tidaknya Melayu Muslim dalam dunia yang semakin kompleks.

Pada zahirnya pertemuan tersebut sekadar usrah ringan. Pun begitu , di sebalik suasana santai terhasil juga beberapa resolusi penting yang wajar dikongsikan kepada pembaca Malaysiakini selain semoga ia dibaca dan dihayati pembuat dasar, agamawan dan aktivis masyarakat.

Paling utama, Usrah @McD menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif kerajaan dan pihak Jakel Group dalam majlis pecah tanah projek Masjid Madani. Terletak di kawasan strategik di tengah Kuala Lumpur, ia menjadi saksi kepada pertembungan budaya dan ideologi yang rencam.

Pada masa sama, perlu ditegaskan bahawa sesebuah masjid ini bukan sekadar binaan fizikal, tetapi simbol harapan kepada kebangkitan dakwah yang segar dan inklusif. Ia diharapkan menjadi pemangkin kepada wacana Islam yang lebih progresif dan berpaksikan rahmah.

Namun, antara perbincangan paling mendalam ahli Usrah @McD ialah keinsafan akan kemiskinan tegar yang masih menghantui sebahagian umat Islam, terutamanya dalam kalangan Melayu bandar.

Tidak disangka topik ini terpilih untuk dibincangkan oleh anggota usrah. Ya, kami memberi kebebasan topik kepada setiap ahli yang hadir.

Usah pencil diri dari dakwah

Usrah Madani menyedari bahawa dakwah tidak akan bermakna jika perut rakyat tidak terisi dan zuriat mereka terpenjara dalam kemiskinan. Justeru, pembangunan ekonomi umat bukan pilihan. Bahkan ia satu kewajiban.

Kesejahteraan bukan datang daripada seputar retorik, tetapi strategi dan kesungguhan. Kerajaan melalui pelbagai agensi mesti berjaya dan gagal bukan satu pilihan.

Diskusi itu turut menyentuh isu global, khususnya konflik Palestin yang terus berdarah. Ahli usrah menyatakan sokongan penuh terhadap seruan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia  agar umat Islam tidak lagi berdiam diri.

Bantuan kemanusiaan perlu digembleng segera. Pun begitu, wujud perbezaan pandangan dalam kalangan peserta berhubung seruan jihad bersenjata – tanda kesedaran bahawa jalan penyelesaian bukan hanya satu dan emosi tidak boleh mengatasi hikmah.

Menariknya, perbincangan tidak terhenti pada isu-isu makro. Usrah turut menyentuh soal keharmonian antara kaum yang menjadi agenda penting kerajaan Madani.

Isu lawatan ke rumah ibadat bukan Islam – yang sering dimanipulasi dalam medan politik – dinilai secara adil dan syarie.

Selagi ia berteraskan fiqh kemasyarakatan dan fiqh daulah yang membawa manfaat kepada rakyat, kami sepakat bahawa ia tidak harus diperbesarkan secara semberono.

Apatah lagi disalah tanggap sehingga tersebar sangkaan-sangkaan buruk.

Lebih jauh, ahli usrah menyeru agar setiap individu Muslim tidak memencilkan diri daripada gerakan dakwah dan siasah. Sama ada dalam parti politik, NGO, mahupun sebagai penjawat awam – setiap posisi adalah peluang.

Taasub memang berbahaya

Ambillah apa-apa langkah yang difikirkan perlu demi membina negara dan bangsa mengikut acuan sendiri. Sikap menjadi ‘batu api’ dan pemecah belah dalam masyarakat perlu ditolak mentah-mentah.

Salah satu seruan yang paling segar dari usrah kali ini ialah gesaan agar wacana rakyat terus dihidupkan – bukan semestinya dalam surau atau dewan seminar, tetapi di mana-mana ruang awam yang membenarkan percambahan fikiran.

Pilihan kami hari ini McDonald’s. Mungkin juga kedai kopi atau perpustakaan pada esok hari. Atau sesekali di Menara Kuala Lumpur yang hangat diperdebatkan pengurusannya.

Inilah bentuk dakwah yang membumi dan kontekstual – pada penilaian kamilah.

Usrah @McD juga mengangkat satu resolusi penting yang sering diabaikan: bahaya taasub dan pendewaan tokoh.

Dalam era media sosial yang menyuburkan ‘kultus individu’, seruan agar tidak menjadi pentaasub membuta tuli amat signifikan.

Umat Islam mesti menilai dengan akal dan ilmu, bukan dengan sentimen.

Jika guna sentimen, para ulama dan pendakwah besar pun boleh tersungkur di laman media sosial sendiri!

Akhirnya, anak muda diseru agar menjadikan ilmu dan kefahaman agama sebagai teras perjuangan.

Semangat tanpa panduan hanya akan melahirkan pelampau dan golongan ghuluw yang membahayakan dakwah dan kestabilan politik Islam.

Daripada satu usrah kecil di McDonald's dan sebuah batu asas masjid, mungkin akan lahir wacana besar tentang masa depan umat. Ia bukan sekadar bicara.

Ia adalah harapan. Dan daripada sinilah kebangkitan sebenar boleh bermula.

Mungkin kami terlalu bercita-cita, namun apa salahnya?

Bayangkan kita ada 100 usrah sebegini yang tidak lagi bergantung kepada wacana rasmi kerajaan.


ABU IHSAN ELBARITI ialah antara penggerak asal Usrah @McD bersama rakan2 pelbagai latar belakang. Dia cenderung kepada jalur sederhana dalam pertembungan aliran dakwah dan pemikiran akidah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS