SURAT | Rural Malaysia merujuk kepada kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat berkenaan isu buli, sama ada di sekolah, institusi pengajian, tempat kerja mahupun di alam siber.
Buli bukanlah satu gurauan atau “proses membina ketahanan diri” seperti yang sering dipesongkan naratifnya. Ia adalah satu bentuk keganasan senyap yang boleh membawa kepada kesan psikologi berpanjangan, malah kehilangan nyawa.
Kes-kes tragik membabitkan pelajar dan remaja yang maut akibat dibuli, atau mengambil nyawa sendiri kerana tidak tahan menanggung tekanan emosi, membuktikan bahawa isu ini bukan perkara kecil.
Mangsa bukan sekadar terluka fizikal, malah hidup dalam trauma bertahun-tahun lamanya. Ada yang kehilangan keyakinan, menjauhkan diri dari masyarakat, dan gagal membina masa depan.
Rural Malaysia, ingin menegaskan bahawa buli adalah jenayah. Ia tidak boleh dianggap remeh atau dimaafkan atas alasan “biasalah tu”.
Kesan buli sangat mendalam dan berpanjangan. Kita tidak boleh hanya bersimpati selepas tragedi berlaku. Pencegahan mesti bermula sekarang.
Pendidikan nilai dan empati perlu ditekankan. Kita perlu membina generasi yang peka, menghormati dan menyayangi sesama insan.
Pelaku buli perlu dikenakan tindakan tegas, sambil dibimbing melalui proses pemulihan agar tidak terus menjadi pemangsa.
Setiap orang memainkan peranan. Jangan diam. Laporkan. Bantu mangsa. Lawan budaya bisu terhadap buli.
Rural Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu hati membanteras budaya buli dari akar umbi. Jadilah suara yang membela, bukan mata yang membisu.
Hanya dengan keberanian, kasih sayang dan tindakan kolektif, kita mampu hentikan penderitaan ini.
Buli bukan budaya kita. Hentikan sekarang — sebelum ada lagi nyawa yang terkorban.
M.S. ANUAR MAHMOD merupakan setiausaha agung Rural Malaysia, pertubuhan pengguna luar bandar yang memperjuangkan hak pengguna, kesihatan awam, keadilan sosial, melindungi ekologi dan menggalakkan kehidupan lestari.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
